PEMAIN negara jalani latihan sambil diperhatikan Vingada (kanan). FOTO Rasul Azli Samad
PEMAIN negara jalani latihan sambil diperhatikan Vingada (kanan). FOTO Rasul Azli Samad
Nazri Abu Bakar


Melaka: Harimau Malaya enggan memberikan tekanan kepada barisan serangannya untuk mencetak gol ketika berdepan Hong Kong pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Jurulatih pasukan kebangsaan Nelo Vingada berkata, kebiasaannya barisan depan pasukan akan dikunci ketat oleh lawan justeru beliau meminta semua pemain untuk cuba mencari gol pada perlawanan itu.

Menurutnya, beliau memberi ruang besar kepada pemain untuk membantu penyerang meledak jaringan termasuk dari posisi pertahanan dan tengah.

Vingada berkata, beliau positif anak buahnya mampu menewaskan Hong Kong pada pertemuan penting itu yang harus diterjemahkan dengan baik sepanjang 90 minit.

“Saya pastinya tidak akan menetapkan penyerang saja yang perlu diharapkan untuk meledak jaringan sebaliknya semua pemain mampu dan berpeluang untuk meledak jaringan sekali gus mengelirukan pertahanan lawan.

“Bagi saya pemain tengah dan pertahanan juga perlu bijak menggunakan ruang yang terbuka ketika mereka agresif menutup gerakan pemain depan yang boleh menghasilkan jaringan luar jangkaan untuk menghadiahkan tiga mata buat pasukan,” katanya.

Pengendali dari Portugal itu menegaskan, beliau juga mahu pemain menutup kesilapan membenarkan lawan menjaringkan gol pada minit-minit akhir seperti berlaku ketika bertemu Lubnan dan Syria.

Vingada mengakui persembahan pemain dilihat semakin baik dan positif selepas mengharungi beberapa perlawanan persahabatan termasuk berdepan Syria dan Myanmar baru-baru ini sekalipun mereka tewas.

Kapten pasukan negara Safiq Rahim pula berkata, sokongan peminat amat ditagih pada perlawanan itu kerana kehadiran mereka mampu memberikan rangsangan kepada pemain.

Safiq juga yakin kehadiran penyokong mampu menyuntik semangat pemain untuk bertindak cemerlang.

Perancang utama itu berkata, pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi menerusi arahan jurulatih dan bertindak merencana strategi yang diterapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 4:40 AM