KUMPULAN pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan UniSZA menunjukkan inovasi baharu aiskrim menggunakan ubi keledek lembayung yang dicipta mereka. FOTO BERNAMA
KUMPULAN pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan UniSZA menunjukkan inovasi baharu aiskrim menggunakan ubi keledek lembayung yang dicipta mereka. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Jertih: Penuntut jurusan Teknologi Makanan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencipta sembilan inovasi produk baharu makanan berasaskan ubi keledek variasi vitato (isi oren) dan lembayung (isi ungu) sebagai usaha mendepani pembangunan teknologi makanan masa ini.

Dekan Falkuti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA Prof Dr Hafizan Juahir berkata, ciptaan dihasilkan menerusi Program Hari Pelancaran Produk Makanan Baharu 2024 itu membabitkan sembilan kumpulan pelajar dikehendaki mencipta produk berasaskan ubi keledek yang antara tanaman utama di ladang UniSZA Kampus Besut.

"Menerusi program ini juga kita melatih untuk melahirkan saintis dalam bidang teknologi pemakanan dan pada masa sama mendidik mereka sebagai usahawan. UniSZA sentiasa berusaha untuk memastikan setiap produk dihasilkan penuntut dibawa masuk ke dalam pasaran," katanya ketika ditemui Khamis lalu.

Hafizan berkata, antara ciptaan itu ialah LembaYo Ice Cream iaitu aiskrim atau konfeksi sejuk beku perisa ubi keledek dengan campuran yogurt, Sweetatto Bangkit (biskut berasaskan keledek lembayung), CheezyVitaball (bebola ubi keledek berkeju) dan Cutiebite Gummy Bear (gula-gula kenyal berasaskan ubi keledek oren).

"Ciptaan lain ialah Cheeky Chips (kerepek ubi keledek berperisa paprika), Dotato (donat sejuk beku berasaskan ubi keledek vitato), Sambal Gepto (sambal tumis ubi keledek), Vitatobokki (kuih beras ubi keledek) dan VitAtoff iaitu gula-gula karamel berinti ubi keledek," katanya.

Sementara itu, Nur Atiqah Hanis Mahyudin, 23, berkata, produk LembaYo Ice Cream yang dihasilkan kumpulan itu memiliki kombinasi manis dan masam daripada yogurt, ubi lembayung dan salutan sirap ubi lembayung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 8:32 AM