PENUNTUT UniSZA melihat sayur dan buah sumbangan FAMA. FOTO GHAZALI KORI
PENUNTUT UniSZA melihat sayur dan buah sumbangan FAMA. FOTO GHAZALI KORI
Ahmad Rabiul Zulkifli


SEBANYAK 250 kilogram buah-buahan dan sayur-sayuran disumbangkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kepada penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, sumbangan itu sedikit sebanyak menceriakan 150 penuntut yang masih berada di Blok Kediaman Penuntut UniSZA sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac lalu.

“Sumbangan menerusi Pasar Segar Terkawal FAMA antaranya, termasuk tembikai, nanas, labu, kacang, lada dan ubi keledek.

“Kami berterima kasih di atas keprihatinan FAMA terhadap penuntut yang tidak dapat pulang,” katanya ketika ditemui pada Program Pengagihan Hasil FAMA kepada Penuntut UniSZA.

Selain itu, Hassan Basri berkata, Taman Mini Botani yang diwujudkan di setiap blok asrama penuntut mengeluarkan hasil sayuran organik antara 20 ke 30 kilogram yang dapat dimanfaatkan penuntut untuk sumber makanan mereka.

“Antaranya tanaman ini, kacang panjang, bayam, sawi dan timun yang dapat menjadi bekalan sayur segar buat mereka,” katanya yang memberitahu projek tanaman itu kendalian Fakulti Bio Sumber.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 11:58 AM