KHAIRUDDIN (dua dari kiri) menandatangani plak simbolik pelancaran e-READ KEMAS Bagan Datuk.
KHAIRUDDIN (dua dari kiri) menandatangani plak simbolik pelancaran e-READ KEMAS Bagan Datuk.
Muhamad Lokman Khairi


PUSAT sumber di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kini dalam proses penjenamaan semula kepada e-READ KEMAS.

Menelusuri sejarah awal penubuhannya pada 1971, ia lebih dikenali sebagai Khutub Khanah Desa yang berfungsi melanjutkan usaha memastikan masyarakat yang mula kenal huruf atau 'neo literates' tidak kembali menjadi buta huruf.

Selepas 53 tahun, kini ia bukan sekadar menyediakan bahan bacaan, perpustakaan desa itu turut berfungsi sebagai book cafe, pusat latihan perniagaan, pusat aktiviti Sahabat Komuniti Desa (SKOD) KEMAS, pusat latihan aktiviti komuniti, pusat bantuan perkhidmatan komuniti dan guna sama kelas Bina Insan.

Untuk rekod, enam projek rintis sudah dilaksanakan sepanjang tahun lalu melibatkan e-READ KEMAS Kampung Desa Murni Kerdau Pahang; e-READ KEMAS PKM Serkam Melaka, e-READ KEMAS Kompleks PS Taman Gunung Mas Negeri Sembilan, e-READ KEMAS Kampung Hala Cara Baru Selangor, e-READ KEMAS Pusat Komuniti Kuala Penyu Sabah dan e-READ KEMAS PKM Limbang, Sarawak.

Tahun ini, pengubahsuaian bangunan pusat sumber KEMAS dilaksanakan di lapan lagi buah negeri dengan terkini e-READ KEMAS Bagan Datuk, Selekoh di sini.

Pengarah KEMAS Perak, Taufik Mohd Yusop berkata, program penjenamaan semula itu bertujuan memberi nafas baru kepada KEMAS agar dapat terus

menawarkan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat luar bandar mengikut peredaran zaman.

e- READ mengekalkan buku-buku ilmiah sebagai rujukan masyarakat luar bandar.
e- READ mengekalkan buku-buku ilmiah sebagai rujukan masyarakat luar bandar.

"Sebenarnya konsep masih sama saja pusat sumber dengan pengekalan buku-buku di rak seperti biasa, tapi kita tambah dengan beberapa aktiviti contohnya di sini kita ada kafe menawarkan menu ringkas pastri, kopi dan teh bersesuaian dengan gaya hidup anak muda atau trend semasa.

"Selain itu, kita sediakan komputer dengan akses internet yang boleh digunakan masyarakat luar bandar secara percuma di mana pelajar boleh mengulang kaji pelajaran dan golongan usahawan boleh mendapatkan maklumat seperti pembiayaan dan sebagainya.

"e-READ juga menjadi pusat sehenti kepada usahawan tempatan mempromosi produk seperti kraftangan dan makanan yang membantu menambahkan pendapatan mereka," katanya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran e-READ KEMAS Bagan Datuk, di sini, pada Rabu.

Turut hadir, Pegawai Tugas-Tugas Khas III kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Khairuddin Tarmizi yang merasmikan pelancaran e-READ KEMAS Bagan Datuk, sekali gus menjadi pusat seumpamanya yang pertama di Perak.

PRODUK usahawan pelbagai bidang seperti kraftangan, gubahan bunga hadiah dan minyak kelapa dara dipromosikan di e-READ KEMAS Bagan Datuk.
PRODUK usahawan pelbagai bidang seperti kraftangan, gubahan bunga hadiah dan minyak kelapa dara dipromosikan di e-READ KEMAS Bagan Datuk.

Tambah Taufiq, pengubahsuaian ruangan dalaman bangunan KEMAS menunjukkan komitmen anggota dan pegawai KEMAS bagi menyampaikan perkhidmatan terbaik berasaskan perkembangan digital kepada penduduk setempat.

Tegasnya, KEMAS mengambil pendekatan 'beri jala, bukan ikan' kepada masyarakat melalui penyediaan kursus-kursus seperti masakan, jahitan dan kraftangan yang kemudiannya boleh dikembangkan bagi melahirkan usahawan tempatan yang berdaya saing.

"Saya berharap masyarakat terus memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada kami untuk menyalurkan ilmu serta kemahiran bermanfaat.

"Masyarakat datang kepada KEMAS agar dapat tingkatkan ilmu dan kemahiran dalam bidang yang mereka minati, seterusnya menjadi usahawan dan tidak mustahil dari usahawan boleh jadi jutawan juga," katanya.

BOOK Cafe menawarkan produk pastri, kopi dan teh kepada pengunjung.
BOOK Cafe menawarkan produk pastri, kopi dan teh kepada pengunjung.

Sementara itu, Khairuddin berkata e-READ yang merujuk kepada 'Read, Education, Accessibility and Development' selari dengan hasrat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memperkasa masyarakat luar bandar.

"Usaha kementerian menjenamakan pusat sumber KEMAS kepada nama baru e-READ bersesuaian mengikut suasana semasa anak-anak muda.

"Kita percaya program memperkasa e-READ ini idea yang baik dari KEMAS untuk membantu ke arah pembangunan sosial dan insan kerana konsep ini amat diterima masyarakat setempat.

"Bangunan ini sendiri berhampiran Masjid Al-Khairiah, Selekoh membuatkannya berpotensi dikunjungi untuk tujuan mencari bahan bacaan sambil bersantai," katanya.

PELBAGAI jenis makanan seperti rempeyek, tiram manis, bawang goreng pedas, biskut kelapa, kerepek pisang, kek marble jelita dan roti sosej yang dijual membantu usahawan meraih pendapatan tambahan.
PELBAGAI jenis makanan seperti rempeyek, tiram manis, bawang goreng pedas, biskut kelapa, kerepek pisang, kek marble jelita dan roti sosej yang dijual membantu usahawan meraih pendapatan tambahan.

Beliau percaya apabila usaha promosi dilaksana pihak KEMAS dan pemimpin tempatan kelak, semakin ramai penduduk bakal mengunjungi e-READ.

Pemaju masyarakat pusat sumber KEMAS Bagan Datuk, Rohayati Shahruddin, beliau berpandangan wajah baharu pusat kegiatan KEMAS bukan lagi terhad kepada sumber ilmu pengetahuan, malah pemangkin kemajuan usahawan tempatan.

Menurutnya, ada 10 usahawan pelbagai produk sudah berdaftar dan mula mempamerkan produk buatan mereka di situ.

"Kebanyakannya produk makanan seperti biskut, roti bun, kerepek, kek dan manisan pencuci mulut digemari semua lapisan masyarakat boleh didapati di sini.

"Selain itu, e-READ di sini mengetengahkan produk kraftangan berasaskan tempurung kelapa yang sinonim dengan daerah ini dan produk hiliran lain seperti minyak kelapa dara.

"Mudah kata, penjenamaan semula ini memberi 1001 manfaat kepada pembangunan masyarakat dari segi ilmu, pendigitalan dan pemerkasaan usahawan," katanya.

Rohayati yang sudah berkhidmat puluhan tahun dalam KEMASmengakui berasa gembira dengan suasana baharu diwujudkan melalui inisiatif KKDW itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 6:20 AM