Nurul Husna Mahmud

Prihatin dengan nasib ribuan usahawan kraf tangan yang terkesan dengan penularan pandemik Covid-19, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) mengambil inisiatif memperkasakan program digital dalam pelan pemulihan industri itu.

Menariknya mengenai inisiatif dibangunkan itu bukan sahaja mengutamakan keperluan dan kemudahan usahawan, malah mengambil kira keselesaan serta kepentingan pembeli dan peminat kraf tempatan.

Menurut Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail, cabaran dihadapi industri kraf terutama usahawan kraf yang terkesan akibat penutupan sempadan dengan ketiadaan pelancong ke dalam negara, sebenarnya dilihat satu peluang untuk lonjakan budaya digital dalam industri itu.

Pihaknya sudah bersedia dengan perancangan digital sejak tahun lalu berdasarkan dasar kerajaan menuju revolusi industri 4.0.

IBRAHIM ISMAIL
IBRAHIM ISMAIL

Selain melihat platform digital satu bidang pemerkasaan terutama pada waktu ini dengan penyertaan semua usahawan di bawahnya mengamalkan norma baharu dalam memasarkan produk masing-masing.

"Fenomena baharu apabila penularan Covid-19 memberi kesan langsung kepada industri penerbangan, pelancongan dan secara tidak langsung kepada industri kraf negara dengan ribuan usahawan kraf terjejas hasil jualan mereka kerana ketiadaan pelancong.

"Sebelum ini mereka boleh berniaga menerusi kedai fizikal selain aktif dengan pameran dan jualan bersama kraftangan Malaysia atau di pusat jualan kraf negeri masing-masing. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka ini tidak dapat 'bergerak' begitu juga pembeli dan peminat kraf.

"Menyedari kesan yang dihadapi itu, Kraftangan Malaysia memikirkan trend baharu dari segi memasarkan produk untuk kelangsungan usahawan dan industri apabila mewujudkan E-Kraf Bazar pada April lalu apabila sehingga kini sudah mengumpul lebih 13,000 ahli terdiri daripada usahawan, pembeli dan peminat kraf tempatan," katanya.

HASIL kraf berkualiti membuatkan peminat terus membeli produk.
HASIL kraf berkualiti membuatkan peminat terus membeli produk.

Menjelaskan sasaran jualan pihaknya tahun ini menurun iaitu RM200 juta berbanding pendapatan tahun lalu mencatatkan hasil jualan lebih RM500 juta. Malah pihaknya mahu bersikap realistik dalam memastikan industri kraf terus menjana hasil selain membantu usahawan menerusi pelbagai inisiatif digital.

Katanya, melihat impak yang sangat positif melalui E-Kraf Bazar yang diwujudkan menerusi platform media sosial Facebook apabila pengusaha kraf sudah boleh menjana pendapatan terutama ketika musim perayaan membuatkan Kraftangan Malaysia optimis membangunkan program E-marketplace iaitu MYCRAFTSHOPPE yang bakal dilancarkan pada November depan.

HASIL komuniti kraf setempat mempunyai nilai komersial tinggi seperti dibangunkan oleh pembuat kraf di Ba’kelalan Sarawak.
HASIL komuniti kraf setempat mempunyai nilai komersial tinggi seperti dibangunkan oleh pembuat kraf di Ba’kelalan Sarawak.

"Dalam peruntukan kerajaan baru-baru ini, sebahagiannya diberikan dalam pembangunan program digital iaitu platform komersial MYCRAFTSHOPPE yang dikendalikan sepenuhnya oleh Kraftangan Malaysia.

"Perbezaan MYCRAFTSHOPPE dengan platform yang lain adalah membuka peluang kepada pengguna perkhidmatan dalam talian untuk terlibat sama dalam memasarkan produk atau perkhidmatan mereka. Menerusi platform ini juga, pengguna ditawarkan dengan kepelbagaian produk yang terdapat dalam rantaian industri kraf merangkumi produk, bahan mentah, rekaan produk, perkhidmatan selepas pembelian dan maklumat berkaitan usahawan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa, malah ia juga menjadikan pemasaran produk lebih sistematik.

KRAFTANGAN Malaysia lancar program MYCRAFTSHOPPE November depan bantu usahawan.
KRAFTANGAN Malaysia lancar program MYCRAFTSHOPPE November depan bantu usahawan.

"Selain itu setiap usahawan yang menjual dalam platform ini juga dipantau terutama segi kualiti krafnya supaya memenuhi piawaian selain beberapa aspek seperti logistik dan pembungkusan juga akan diselia pegawai kraf di cawangan negeri.

"Kesimpulannya apabila e-dagang itu diuruskan oleh agensi dibawah kerajaan, orang lebih yakin dengan pengurusan pemasaran produk," katanya.

PLATFORM digital bantu ketengahkan produk tempatan.
PLATFORM digital bantu ketengahkan produk tempatan.

Menurutnya dengan kewujudan platform MYCRAFTSHOPPE itu juga peluang lebih luas buat usahawan dalam pada masa sama bagi pihak perbadanan pula objektif untuk memelihara industri terutama hasil kraf tempatan dapat dicapai.

Bagi usahawan ini, adalah peluang lebih luas untuk mereka berkembang dan tingkatkan kualiti kerana setiap pembikinan produk masuk dalam platform ini akan disaring pegawai yang arif mengenai trend pasaran.

"MYCRAFTSHOPPE antara alternatif Kraftangan Malaysia sebagai satu khidmat kepada peminat dan pembeli kraf sementara bagi usahawan kraf ini adalah untuk bantu mereka jana pendapatan ketika dalam keadaan sukar.

PROMOSI produk kraf platform digital di E-Kraf Bazar atau MYCRAFTSHOPPE.
PROMOSI produk kraf platform digital di E-Kraf Bazar atau MYCRAFTSHOPPE.

Platform ini juga sebuah hab informasi atau ekosistem berkaitan industri kraf negara berkonsepkan Global Reach Local Identity. Sebagai permulaan, platform ini akan menghimpunkan seramai 300 pemain industri yang terdiri daripada usahawan kraf, pembekal dan komuniti kraf dalam memasar serta mempromosikan produk kraf secara digital.

Selain itu, dua lagi platform digital yang mesra pengguna diwujudkan termasuk aplikasi CraftOnThe Go bagi membolehkan capaian lebih mudah kepada masyarakat untuk maklumat berkaitan usahawan kraf di seluruh Malaysia. Aplikasi ini juga dalam bentuk direktori secara geolokasi yang mengandungi segala butiran 969 usahawan, produk dan lokasi premis di seluruh negara.

Kerjasama bersama Google Malaysia pula menghasilkan aplikasi Google Arts & Culture di bawah carian Kuala Lumpur Craft Museum dengan paparan 100 koleksi foto produk kraf autentik beserta keterangannya sekali.

Tidak lupa mengenai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dimanfaatkan Kraftangan Malaysia untuk membangunkan komuniti menerusi program pembangunan kemahiran komunti kraf.

KELANGSUNGAN industri kraf ditentukan permintaan pasaran.
KELANGSUNGAN industri kraf ditentukan permintaan pasaran.

"Menerusi pakej rangsangan ekonomi seperti Penjana baru-baru ini kraftangan Malaysia turut memfokuskan untuk melatih komuniti terutama di Kawasan pedalaman bagi mendapatkan kemahiran dan seterusnya menjana pendapatan melalui penghasilan produk kraf.

"Sebagai contoh komuniti di Ba'kelalan, Lawas Sarawak yang dilatih untuk menghasilkan produk batik dan juga produk berpotensi tinggi bagi dipasarkan menerusi platform digital E-Kraf Bazar atau MYCRAFTSHOPPE," katanya.

Selain komuniti pedalaman, golongan yang terkesan dalam pandemik Covid-19 seperti ibu tunggal, belia-beliawanis, golongan B40, orang kurang upaya dan mereka yang hilang pekerjaan turut ditawarkan program kemahiran itu bagi memberi peluang menjana pendapatan menerusi produk kraf.

PRODUK kraf tempatan autentik ada peminat dalam kalangan penggemar tempatan atau pasaran global.
PRODUK kraf tempatan autentik ada peminat dalam kalangan penggemar tempatan atau pasaran global.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 6:33 AM