Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seorang lelaki menggunakan kreativiti menghasilkan kraftangan daripada tempurung kelapa terbuang sebagai sumber pendapatan tambahan selepas terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yusran Hamat, 49, berkata, sebelum ini dia mengambil upah menjual barang kitar semula dan pelaksanaan PKP menyebabkan sumber rezekinya terjejas, sekali gus memaksa diri mencari alternatif lain untuk menyara keluarga.

Katanya, sejak pandemik Covid-19 tahun lalu, dia melihat ramai dalam kalangan masyarakat di negara ini aktif dengan pelbagai aktiviti dan dia ternampak peluang menghasilkan produk kraftangan daripada tempurung kelapa.

"Saya mempelajari teknik menghasilkan kraftangan tempurung kelapa daripada YouTube dan sebagai percubaan pertama, saya menghasilkan kraftangan pokok kelapa daripada tempurung kelapa.

"Lama-kelamaan, saya semakin mahir dan kini mampu menghasilkan pelbagai produk lain seperti bekas pensil, bekas air, lampu, burung, tabung, cawan dan teko.

"Bagi memudahkan ukiran dibentuk, saya membuat lakaran di atas kertas dan ditekap di tempurung kelapa sebelum ia dipotong dan permukaan tempurung diratakan dengan menggunakan mesin canai.

"Tempoh paling cepat menghasilkan sesuatu produk adalah dua jam dan paling lama setengah hari bergantung kepada kraftangan hendak diukir," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Tok Kasim, Sabak, di sini.

YUSRAN Hamat menunjukkan kraftangan yang dihasilkan  menggunakan tempurung kelapa terbuang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
YUSRAN Hamat menunjukkan kraftangan yang dihasilkan menggunakan tempurung kelapa terbuang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Menurutnya, idea tercetus apabila melihat banyak tempurung kelapa yang hendak dibuang diletakkan di dalam guni di kedai runcit di kampungnya dan dia memintanya daripada pemilik kedai itu.

Katanya, dia kemudian berbincang dengan isteri, Fazilah Ab Ghani, 45, dan mencari idea untuk menghasilkan kraftangan daripada tempurung serta kini mampu meraih pendapatan sampingan mencecah RM300 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 2:52 PM