DR Junainah mengibarkan bendera MSU sebagai tanda pelepasan Program MSU Heritage Walk Series: Kajang.
DR Junainah mengibarkan bendera MSU sebagai tanda pelepasan Program MSU Heritage Walk Series: Kajang.
Suliati Asri


MANAGEMENT and Science University (MSU) melalui School of Hospitality and Creative Arts (SHCA) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Tourism Selangor melancarkan program MSU Heritage Walk Series-Kajang Heritage Walk.

Disertai 1,000 pelajar, program ini adalah sebahagian daripada inisiatif dalam memperkasakan kerjasama pintar di antara institusi pengajian tinggi dengan pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, program ini juga bermatlamat untuk menerapkan kesedaran budaya dan mempromosikan keunikan enam mercu tanda utama bandar Kajang.

Ia termasuk Stadium Kajang, Shen Sze Yar Temple, Lorong Sejarah, Kajang Heritage Centre, Kedai Runcit Kwong Sah Woh dan Pejabat Pos Kajang.

Program 'perjalanan sejarah' yang bermula dari Stadium Kajang yang turut mempunyai sejarah tersendiri dilancarkan Naib Canselor MSU Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid. Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Mohd Fareez Mohd Ariss @ Mohd Hatta.

Majlis pelancaran itu turut menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM10,000 kepada Yayasan MSU sebagai sumbangan kepada Gaza Humanity Aids.

MSU Heritage Walk Series sebelum ini membabitkan penganjuran Kuala Lumpur Heritage Walk (2018), Royal Klang Town Heritage Walk (2019), Shah Alam Heritage Walk: Virtual Edition 2021, serta Putrajaya Iconic Tour (2022).

KEDAI Satay Putera Kajang yang memaparkan sejarah sate Kajang antara lokasi bersejarah pada Program MSU Heritage Walk Series: Kajang di Kajang.
KEDAI Satay Putera Kajang yang memaparkan sejarah sate Kajang antara lokasi bersejarah pada Program MSU Heritage Walk Series: Kajang di Kajang.

Menerusi program ini peserta menyelusuri beberapa hentian yang terdiri daripada bangunan warisan dan mercu tanda yang masih kekal strukturnya selain mempunyai nilai sejarah yang menarik.

Program berbentuk bimbingan (mentoring) ini juga bermatlamat menerapkan kemahiran pelajar daripada segi pembangunan diri.

Ia juga mengetengahkan kepentingan sejarah kepada generasi muda mengenai sejarah warisan negara amnya dan khasnya bandar Kajang.

Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) khususnya SDG3 : Good Wellness and Wellbeing; SDG4 : Quality Education; SDG 11: Sustainable Cities and Communities dan SDG17 : Partnership for Goals.

Pelajar SHCA, Emir Luqman Syabil, 21, berkata, program ini memberi peluang kepadanya mengenai daerah Kajang dengan lebih dekat.

"Sebagai anak kelahiran Selangor, saya hanya mengenali Kajang kerana 'satay Kajang.'

"Namun, rupanya terdapat pelbagai tarikan pelancongan dan sejarah yang cukup menarik serta perlu disaksikan sendiri oleh masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 6:40 AM