UMK tersenarai di kedudukan 601-800 THE Impact Ranking.
UMK tersenarai di kedudukan 601-800 THE Impact Ranking.
Suliati Asri


Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus meningkatkan prestasi cemerlang apabila tersenarai pada kedudukan 601-800 daripada 1,406 institusi pengajian tinggi dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2021.

Naib Canselor UMK, Profesor Dr Razli Che Razak berkata, kedudukan itu jauh lebih baik berbanding pada tahun lalu iaitu di tangga 801-1000 dari 1,115 universiti terbaik dunia.

Menurutnya, kedudukan itu membuktikan UMK menunjukkan prestasi cemerlang berbanding pada tahun 2020.

"THE Impact Rangking diperkenalkan THE yang mengambil kira penilaian berdasarkan petunjuk-petunjuk dari 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) untuk memastikan pihak universiti memainkan peranan yang jitu dalam melestarikan masyarakat setempat.

"UMK mempamerkan prestasi terbaik di peringkat empat SDG di mana universiti menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam SDG 1 (No Poverty) apabila tersenarai dalam kedudukan 96 daripada 769 institusi," katanya.

Dr Razli berkata, penilaian itu adalah berdasarkan kepada empat kriteria utama iaitu penyelidikan, peratusan bantuan kewangan, program universiti dan masyarakat yang berkaitan dengan pembasmian kemiskinan.

Katanya, ini selaras dengan inisiatif mampan dari Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) yang memberi penumpuan kepada penyelidikan dan perkhidmatan berkaitan pengurusan kemiskinan serta kesejahteraan hidup manusia.

"Di samping itu, bagi indikator SDG 2 (Zero hunger) pula UMK berada di kedudukan 201-300 daripada 553 institusi. Penilaian SDG 2 adalah berdasarkan penyelidikan, pengurusan sisa makanan kampus, peratusan pelajar tamat pengajian dalam bidang pertanian dan National Hunger.

"Penilaian SDG 2 di peringkat UMK diselaraskan Institut Penyelidikan Jaminan Makanan Dan Pertanian Lestari (IFFSA) dan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) yang memfokuskan kepada penyelidikan dan inovasi di bidang pertanian, teknologi pertanian dan keselamatan makanan," katanya.

Dr Razli berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif dan strategi turut melonjak kedudukan UMK pada SDG 15 (Life on land) iaitu di tangga 301-400.

"Penilaian ini berdasarkan kriteria penyelidikan, pengajaran dan tindakan dalam ekosistem sokongan darat serta pelupusan sisa sensitif tanah.

"SDG 15 diselaraskan Fakulti Sains Bumi (FSB) yang mengembangkan pengetahuan dan kefahaman mengenai sumber asli bumi perubahan alam sekitar serta sains kelestarian melalui penyelidikan yang berintegrasi dan bersaintifik," katanya.

Sementara itu, Dr Razli berkata, penarafan pada tahun ini adalah pengiktirafan global dan petanda positif kepada pelbagai inisiatif yang dilakukan UMK selari dengan matlamat universiti untuk menjadi Universiti Keusahawanan terkemuka di peringkat global pada 2030.

Katanya, UMK juga menyahut cabaran dengan serius dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai universiti yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat (U4S).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 6:55 AM