Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan berusaha menambahbaik kriteria garis pencapaian universiti awam bagi memastikan sasaran QS Ranking 100 universiti terbaik berjaya dicapai menjelang 2020.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sekurang-kurangnya dua universiti awam akan berada pada kedudukan itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kementerian yakin untuk mencapai sasaran itu berdasarkan prestasi ditunjukkan universiti awam negara pada masa sekarang.

“Dalam hal ini antara kriteria yang harus ditingkatkan merangkumi aspek penyelidikan, jumlah pelajar antarabangsa, nisbah pelajar dan pengajar yang seimbang serta hubungan antarabangsa yang diperluaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Konvensyen Kepemimpinan Siswa Pendidikan Kebangsaan 2015 di Akademi Kenegaraan Biro Tatanegara (BTN), di sini, semalam.

Hadir sama Rektor Institut Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia Sulaiman Wak, Timbalan Ketua Pengarah Rancangan Transformasi BTN Zainal Abidin Abu Hassan.

Menurut Idris, kebanyakan universiti tempatan menunjukkan peningkatan cemerlang antara 20 hingga 30 peratus di dalam kedudukan universiti terbaik dunia, malah ia turut menunjukkan kedudukan yang baik dari segi fakulti dan subjek pengajian.

“Sebelas subjek utama menjadi bidang terbaik ditawarkan universiti awam kita termasuk bahasa moden, kejuruteraan, sains komputer, pendidikan, pertanian dan farmasi,” katanya.

Sementara itu Idris turut berbangga apabila sebuah media tempatan Thailand kelmarin melaporkan Malaysia berjaya mengatasi Thailand dan Singapura dalam penerbitan penyelidikan ilmiah.

“Itu satu kejutan besar kerana sebelum ini Singapura dan Thailand selalu mendahului Malaysia dalam penerbitan penyelidikan universiti.

“Justeru saya harap lebih banyak pensyarah mengeluarkan penerbitan pada tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 10:16 AM