PENARAFAN satu landasan untuk menjalin kerjasama dengan institusi luar, sekali gus membantu universiti tempatan memperkukuhkan jenama di peringkat antarabangsa selain menjadi hub pendidikan. - Gambar hiasan
PENARAFAN satu landasan untuk menjalin kerjasama dengan institusi luar, sekali gus membantu universiti tempatan memperkukuhkan jenama di peringkat antarabangsa selain menjadi hub pendidikan. - Gambar hiasan
PENARAFAN kepada universiti tempatan boleh membantu melonjakkan lagi kualiti graduan yang bakal dilahirkan. - Gambar hiasan
PENARAFAN kepada universiti tempatan boleh membantu melonjakkan lagi kualiti graduan yang bakal dilahirkan. - Gambar hiasan
SISTEM penarafan antarabangsa menjadi landasan siswa tempatan untuk memperkasakan kemampuan diri sejajar piawaian tinggi yang disasarkan. - Gambar hiasan
SISTEM penarafan antarabangsa menjadi landasan siswa tempatan untuk memperkasakan kemampuan diri sejajar piawaian tinggi yang disasarkan. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin

Kejayaan lima universiti penyelidikan negara memperbaiki kedudukan dalam senarai QS World University Ran­kings, baru-baru ini, membuktikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mampu memberikan saingan kepada institusi bertaraf dunia.

Ia juga secara tidak langsung 'menutup mulut' dan pandangan negatif segelintir pihak yang suka memperlekehkan kemampuan institusi tempatan sehingga dikatakan tidak setanding dengan institusi antarabangsa.

Namun, untuk mengekalkan kejayaan itu adalah satu cabaran besar bagi institusi terbabit apatah lagi dengan insiden turun naik, bahkan ada yang tersingkir mahupun tidak tersenarai langsung sebelum ini.

Begitupun, kedengaran juga suara yang beranggapan bahawa kedudukan dalam sistem penarafan antarabangsa sebenarnya tidak penting kerana institusi kita masih belum bersedia sepenuhnya. Usaha untuk memperbetulkan persepsi seperti itu sesungguhnya bukan satu tanggungjawab mudah.

Justeru, bagaimanakah justifikasi kita dalam membicarakan isu ini? Apakah mekanisme ampuh yang boleh digunakan bagi memastikan kejayaan dicapai mampu dipertahankan?

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia ( UPM), Profesor Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata, kejayaan menempatkan nama institusi tempatan di persada antarabangsa perlu dianggap sebagai satu lonjakan dunia pendidikan tinggi negara.

Menurutnya, sebagai sebuah negara yang meletakkan pendidikan terting­gi sebagai sasaran utama, kejayaan menempatkan nama institusi bersama institusi bertaraf dunia adalah persiapan awal bagi tujuan itu.

"Kejayaan meletakkan lima universiti penyelidikan dalam lonjakan kedudukan adalah satu pencapaian membanggakan untuk sistem pendidikan tinggi negara kita.

"Ia boleh dijadikan penanda aras bagi memulakan langkah menjadikan IPT tempatan bertahap lebih antarabangsa serta dikenali dunia luar, sekali gus membolehkan pihak luar mengenali jenama serta kemampuan IPT negara untuk bersaing dengan jenama antarabangsa," katanya.

Lima universiti penyelidikan negara baru-baru ini berjaya melonjakkan kedudukan masing-masing dalam QS World University Rankings, sekali gus meletakkan nama dalam kala­ngan institusi ternama dunia.

QS World University Rankings adalah berdasarkan kepada empat tonggak utama-penyelidikan, pengajaran, pekerjaan dan pengantarabangsaan.

Lima universiti terbabit ialah UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia.

Beliau berkata, ramai pihak suka memperlekehkan kemampuan institusi tempatan dengan tidak me­ngambil kira sensitiviti mahupun usaha keras dilakukan.

Menurutnya, sikap itu perlu diubah kerana bukan saja akan memberi imej buruk kepada masyarakat malah seperti memperlekeh­kan usaha pelbagai pihak bagi memartabat­kan lagi jenama institusi tempatan.

"Saya akui, sukar memuaskan hati semua pihak tapi sikap seperti itu tidak bagus untuk perkembangan sistem pendidikan negara.

"Kita perlu positif dan berusaha menjadikan IPT tempatan setanding universiti ternama dunia serta dikagumi," katanya yang juga menolak tanggapan segelintir pihak bahawa kedudukan sesebuah universiti tidak penting.

"Kedudukan penting dari segi untuk memperkenalkan nama dan jenama sesebuah universiti kepada orang lain.

"Jika ( tiada) dalam kedudukan, bagaimana orang mahu mengenali institusi kita, sedangkan pada masa sama mahu menjadikan negara sebagai hub pendidikan?

"Saya berpendapat, ia penting untuk memberitahu serta memperkenalkan nama institusi kita kepada pihak lain dan bukan sekadar memperoleh kedudukan dalam sistem penarafan semata-mata," katanya.

Beliau berkata, de­n­gan lonjakan itu juga secara tidak langsung akan memberi banyak manfaat kepada universiti penyelidikan secara keseluruhannya.

"Misalnya nama UPM bukan saja dikenali kerana berjaya memenuhi syarat ketat ditetapkan pihak penilai tapi juga memberi penilaian serta impak besar kepada bidang penyelidikan, siswa dan fakulti antarabangsa, tenaga akademik dan kemudahan pengajian.

"Bukan mudah sebenar­nya universiti kita yang masih baru ini bersaing dengan universiti ternama, namun melalui lonjakan kedudukan dalam penarafan ini sekurang-kurangnya mereka (pihak luar) kenal.

"Ramai pihak juga akan memperoleh manfaat secara tidak langsung terutama dari aspek penyelidikan, jurnal dan warga kampus," katanya.

Melalui penarafan diberikan juga, katanya ia boleh membantu institusi dalam merang­ka pelbagai pelan jangka panjang ter­utama dalam memberikan pening­katan terhadap proses pembelajaran serta pengajian sedia ada.

"Penarafan juga memberi peluang kepada universiti belajar dan membuat penambahbaikan terhadap aspek yang diperlukan dalam jangka panjang selain memperkasakan bidang tujahan utama.

"Antaranya penyelidikan yang menjadi aspek terpenting kepada universiti pe­nyelidikan boleh diperbaiki serta dipelbagaikan.

"UPM juga melihat ini sebagai satu peluang besar yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus mencapai sasaran menjadi sebuah universiti penyelidikan ternama," katanya.

Mengenai tekanan, beliau mengakui ia perkara biasa perlu dihadapi sesebuah universiti yang sudah berada pada tahap antarabangsa.

"Kita tidak boleh menolak harapan yang diletakkan rentetan kejayaan ini tapi UPM menjadikannya sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi dengan penuh rasa tanggungjawab.

"UPM melihat cabaran diberikan itu dari sudut positif bagi membantu universiti melonjakkan lagi pencapaian sedia ada, sekali gus muncul sebagai sebuah institusi membanggakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:02 AM