ISMAIL menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara  Mohamad Fatmi (dua kiri) dengan  Prof Dr Refik Polat (dua kanan).
ISMAIL menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Mohamad Fatmi (dua kiri) dengan Prof Dr Refik Polat (dua kanan).
HM Digital

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Karadeniz Technical University (KTU) dan Karabuk University (UNIKA) untuk pelaksanaan program mobiliti pelajar antarabangsa, mobiliti pensyarah, mobiliti staf, geran padanan kerjasama universiti dan lain-lain.

MoU di antara kedua-dua universiti terkemuka di Turkiye itu diadakan sempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Istanbul, baru-baru ini.

Majlis menandatangani MoU antara UMK dan UNIKA disempurnakan Naib Canselor Profesor Dr Razli Che Razak dan Rektor UNIKA, Profesor Dr Refik Polat serta Rektor KTU, Profesor Dr Hamdullah Cuvalci dan disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

Manakala pertukaran MoU pula disempurnakan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi yang turut disaksikan Perdana Menteri.

Menurut Profesor Dr Razli, UMK akan mengambil peluang ini bagi melaksanakan kerjasama dalam aspek penyelidikan, pembangunan program mobiliti pelajar dan staf bagi kedua-dua universiti, perkongsian pintar fasiliti dan maklumat hasil daripada penyelidikan bersama, penganjuran persidangan serta seminar secara bersama.

"KTU adalah universiti yang memfokuskan kepada teknikal, sains dan teknologi yang ditubuhkan pada tahun 1955. Ia antara universiti pertama di Turkiye yang di tubuhkan diluar Istanbul dan Ankara.

"Oleh itu, menerusi MoU ini UMK dan KTU akan menumpukan kepada penerokaan teknologi terkini dalam bidang akademik mahupun penyelidikan, seterusnya akan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua universiti untuk meningkatkan kepakaran penyelidik daripada kedua-dua universiti," katanya.

Sementara itu, kerjasama UMK dan UNIKA pula kata Dr Razli akan berfokus kepada aktiviti akademik dan penyelidikan termasuklah perkongsian fasiliti serta maklumat hasil daripada penyelidikan antara kedua-dua universiti, penganjuran persidangan serta penganjuran seminar secara bersama.

"Kerjasama dengan UNIKA ini juga akan dikembangkan kepada pembangunan program mobiliti pelajar dan staf bagi kedua-dua universiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 6:38 AM