PROSES PdP kepada mod dalam talian tidak menjadi permasalahan yang besar kepada pensyarah dan pelajar.
PROSES PdP kepada mod dalam talian tidak menjadi permasalahan yang besar kepada pensyarah dan pelajar.
Suliati Asri


SEJAK penghujung 2020 lagi, seluruh dunia mula menerima kenyataan bahawa jalan keluar paling realistik dari kemelut pandemik Covid-19 sedunia ini adalah dengan menempuhi fasa endemik atau fasa kehidupan yang diteruskan bersama virus.

Kawalan pergerakan secara besar-besaran untuk mengawal penularan pandemik ini tidak lagi dilihat sebagai alternatif penyelesaian terbaik, memandangkan impak negatifnya kepada hampir semua aspek sosioekonomi negara.

Walaupun pelaksanaan program vaksinasi di seluruh dunia dilihat turut membantu di dalam usaha mengekang penularan pandemik ini, hakikatnya kehidupan mesti diteruskan.

Proses pembangunan ekonomi, kesihatan, keselamatan makanan dan pembangunan modal insan antara elemen utama dalam memastikan kestabilan sesebuah negara.

Dalam aspek pengajian tinggi, universiti juga tidak ketinggalan meneroka semua alternatif dan penyelesaian yang praktikal bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak terjejas, bermula dari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama Mac 2020 lagi.

Sebagai sebuah universiti penyelidikan negara, Universiti Malaya (UM) juga berusaha memastikan kerja-kerja penyelidikan terus dapat dilaksanakan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya Profesor Dr Yatimah Alias berkata, jika masih diingat, fokus ketika tempoh PKP pertama adalah menjurus kepada pengawalan penularan melalui kawalan pergerakan sehingga penutupan fizikal semua sektor ekonomi yang bukan perlu (non-essential).

Menurutnya, warga UM pada ketika itu boleh dikira bertuah kerana sudah pun dibiasakan dengan kaedah pembelajaran dalam talian.

"Sejak lebih lima tahun lalu, semua program pengajian ijazah sarjana muda wajib menjalankan minggu pengajian secara dalam talian, sekurang-kurangnya sekali setiap semester pengajian.

KEBANYAKAN pelajar sudah selesa dengan PdP secara dalam talian atau hibrid.
KEBANYAKAN pelajar sudah selesa dengan PdP secara dalam talian atau hibrid.

"Jadi, perubahan proses PdP kepada mod dalam talian tidaklah menjadi permasalahan yang besar kepada pensyarah dan pelajar UM," katanya.

Selain itu kata Dr Yatimah, platform 'open-source' Moodle sudah digunakan sekian lama oleh warga universiti, bagi tujuan pengurusan pembelajaran.

"Platform yang dinamakan 'Spectrum' adalah portal sehenti bagi semua urusan PdP, sebagai pelantar pembelajaran, repositori nota kuliah dan soalan-soalan latihan.

"Ia juga berfungsi sebagai pelantar pentaksiran di mana pelajar boleh menjalani ujian dan peperiksaan secara dalam talian, menghantar tugasan sehinggalah kepada penandaan kehadiran kuliah.

Melihat kepada keperluan fizikal beberapa kursus pengajian, terutamanya yang membabitkan kerja-kerja klinikal dan makmal, penerokaan alternatif proses PdP secara hibrid juga sudah bermula pada sesi pengajian 2020/2021.

Kata Dr Yatimah, melalui sedikit penambahbaikan keperluan teknikal, dewan dan bilik kuliah sedia ada sebenarnya sudah pun memadai untuk melaksanakan PdP secara hibrid.

"Hasilnya bermula sesi pengajian 2021/2022 pada Oktober 2021 di mana semua fakulti di UM sudah mampu untuk melaksanakannya dengan baik di peringkat ijazah sarjana muda, tanpa impak yang rumit terhadap proses PdP pelajar dan tempoh graduasi mereka," katanya.

Untuk rekod, selain usaha holistik ke arah penambah baikan proses PdP, UM juga turut agresif mempelbagaikan penawaran produk-produk akademia baharu, termasuklah 'Open Distance Learning' (ODL), 'Remote Learning' (RL), dan pentauliahan mikro (micro-credential) untuk kursus-kursus pendek terpilih.

"Walaupun diakui produk sebegini mempunyai sedikit kelebihan apabila digandingkan dengan kehadiran jaringan Internet pantas dan desakan impak Revolusi Industri 4.0, kewujudannya juga dilihat mampu memberi UM sedikit kelegaan dalam mengharungi perlumbaan dunia akademik yang semakin mencabar.

"Produk-produk baru ini dilihat mampu menjana kewangan yang mampan untuk jangka masa panjang, demi kelangsungan UM sebagai universiti tertua negara," katanya.

PDP secara hibrid adalah alternatif penyelesaian terbaik dalam keadaan keadaan sekarang.
PDP secara hibrid adalah alternatif penyelesaian terbaik dalam keadaan keadaan sekarang.

Selain daripada mengoptimumkan penggunaan teknologi, kata Dr Yatimah, kewujudan polisi dan garis panduan baru juga menjadi salah satu inisiatif yang sudah dilaksanakan.

"Online Teaching and Learning Guideline by Universiti Malaya (4th Edition) bukan sahaja menjadi panduan kepada semua warga UM, bahkan menjadi panduan kepada universiti dan sekolah di luar negara.

"Pelaksanaan Universiti Malaya Vaccination Policy kepada pelajar baharu yang mengikuti semua program klinikal juga sudah berkuatkuasa mulai Sesi Akademik 2021/2022.

"UM antara universiti tempatan terawal yang memperkenalkan polisi-polisi seperti ini," katanya.

Peperiksaan juga adalah salah satu elemen penting dalam proses pembelajaran. Semua pelajar dan pensyarah dapat menjadikan Guidelines for Online Final Examination sebagai panduan dalam melaksanakan penilaian.

Universiti juga bertindak bagi memastikan integriti pelajar dalam menjalani penilaian terpelihara dengan kebolehan menyemak pelantar 'homework-help' seperti chegg.com dan lain-lain bagi membantu pengesahan sesuatu bukti sebagai tindakan ketidakakuran akademik, membabitkan penilaian sesuatu kursus.

Langganan perisian Respondus Monitor dan Lockdown Browser juga dapat meningkatkan integriti ketika mengendalikan peperiksaan akhir secara dalam talian.

Dari aspek penyelidikan pula, menurut Prof Dr Yatimah, cabaran utama fasa pandemik ialah memaksa keseluruhan ekosistem untuk terus beroperasi dan memastikan apa yang termeterai di dalam perjanjian geran penyelidikan dapat disempurnakan.

"Dengan kerjasama semua pihak, terutamanya sokongan pihak pengurusan UM yang diketuai Datuk Profesor Ir Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor, segala proses penambahbaikan dan adaptasi dapat dilaksanakan demi manfaat semua pemegang taruh yang terbabit.

"Komitmen Naib Canselor UM, biar pun baru sahaja dilantik pada Oktober 2020, dilihat ramai sebagai titik tolak yang positif kepada perubahan yang diperlukan oleh universiti," katanya.

Tidak dinafikan, pelbagai cabaran turut ditemui dalam 'mengdalam-taliankan' keseluruhan proses universiti di sepanjang tempoh pandemik ini, terutamanya yang membabitkan polisi dan arahan kerja terkait secara langsung dengan proses kualiti.

MAKIN banyak universiti awam dan swasta serta pelajar lebih
MAKIN banyak universiti awam dan swasta serta pelajar lebih

"Pengajaran yang jelas dari tempoh 24 bulan ini bukanlah menjawab persoalan sama ada sesebuah universiti itu mampu atau tidak menghadapi keseluruhan kesan yang dibawa penularan wabak SARS-CoV-2 ini; namun ialah persoalan sama ada kita cukup berdaya tahan (resilient) atau tidak.

"Dengan daya tahan yang tinggi, apa juga impak yang dibawa oleh gelombang penularan mutasi virus ini pada masa akan datang, biar pun dalam bentuk yang belum pernah ditemui, pastinya ada jalan penyelesaiannya.

"Ini adalah kerana kunci kepada tahap kesiapsagaan industri akademia semasa fasa endemik kelak, walau di peringkat mana pun institusi itu, adalah pada tahap daya ketahanan setiap komponen warganya, baik dari pelajar, pensyarah, pegawai, sehinggalah kepada staf sokongan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, negara mengalami suatu keadaan yang sangat luar biasa apabila negara dilanda Covid-19 pada Mac 2020.

Namun, katanya ketika itulah bermulanya senario ataupun landskap baru dalam konteks pendidikan tinggi negara sekali gus medium pembelajaran baru yang dipanggil PdP secara dalam talian diperkenalkan.

"Sebagai negara yang sememangnya menjadikan pendidikan sebagai aktiviti ataupun agenda utama pembangunan, pastinya persiapan atau kemudahan yang disediakan pihak kementerian dan universiti mencukupi dan memadai untuk berhadapan dengan senario ataupun pandemik ini.

"Pihak kementerian juga mempunyai komitmen yang sangat tinggi dalam usaha membantu mempertingkatkan lagi kemudahan yang berkaitan dengan pembelajaran atas talian," katanya.

Selepas hampir dua tahun penularan wabak Covid-19, kebanyakan universiti awam dan swasta serta pelajar selesa dengan kaedah PdP secara dalam talian.

Menurut Dr Mohammad Shatar, apabila negara berhadapan dengan penurunan kes Covid-19, terdapat beberapa universiti yang kembali ke kaedah konvensional tetapi apabila kes meningkat kembali, kaedah PdP dalam talian dilaksanakan semula.

"Justeru untuk zaman endemik ini, saya yakin dan percaya seluruh universiti awam dan swasta di negara ini sudah lebih bersedia.

"Kebanyakan daripada IPT pada hari ini sudah mula memperkenalkan ataupun membuat keputusan untuk mengadakan kaedah secara hibrid iaitu dengan cara bersemuka atau secara dalam talian, ataupun gabungan kedua-duanya.

"Saya yakin dan percaya kaedah ini adalah pendekatan terbaik yang digunakan pada hari ini dan masa akan datang sama ada berhadapan dengan pandemik ataupun kita sudah berada dalam endemik," katanya.

Mengulas mengenai kualiti pendidikan terhadap kaedah ini, kata Dr Mohammad Shatar, kaedah PdP secara dalam talian atau hibrid ini tidak menjejaskan kualiti pendidikan kerana Malaysia bukanlah satu-satunya negara menggunakan kaedah ini.

Beliau berkata, negara-negara maju yang lain sudah mula menggunakan kaedah hibrid ataupun PdP secara dalam talian sebelum pendemik Covid-19 melanda dunia. Justeru, kualiti pendidikan negara-negara terbabit tidak terjejas dan sama juga dengan Malaysia.

Jelasnya, MQA sebagai badan akreditasi tunggal yang mengawal selia kualiti pengajian tinggi pastinya tidak akan berkompromi untuk mengurangkan ataupun menurunkan kualiti pendidikan.

"Sehingga kini selepas dua tahun berhadapan dengan pandemik, kualiti pendidikan tidak kurang malah ada dalam kalangan pelajar yang merasa seronok ataupun mereka mampu meningkatkan lagi elemen-elemen kemahiran insaniah seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kepemimpinan dan sebagainya.

"Ini adalah senario yang sangat positif kepada kemajuan pendidikan tinggi negara selaras dengan agenda Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan global pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 7:01 AM