PEMBELAJARAN sepanjang hayat elemen penting bagi pelajar untuk memastikan proses pembangunan insan di dalam masyarakat.
PEMBELAJARAN sepanjang hayat elemen penting bagi pelajar untuk memastikan proses pembangunan insan di dalam masyarakat.
Suliati Asri


KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 bakal diumumkan tidak lama lagi.
Jika ditanya mengenai perancangan calon SPM ini selepas memperoleh keputusan, pastinya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi adalah jawapan mereka.
Hasrat melanjutkan pengajian ini sudah pasti didukung cita-cita peribadi dan keinginan menambah baik status sosioekonomi seseorang.
Namun, ada satu lagi elemen yang seharusnya menjadi pendorong setiap pelajar untuk terus melanjutkan pengajiannya iaitu mencapai kemahiran pembelajaran sepanjang hayat.
Konsep pembelajaran sepanjang hayat yang bermula di Amerika Syarikat sekitar 1960-an, dikenal pasti sebagai antara unsur terpenting dalam proses pembangunan insan dalam masyarakat.
Malah, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui Pertubuhan Sains, Pendidikan dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) turut memperakui kepentingannya dalam membantu sesebuah negara mencapai kestabilan dan kemakmuran.
Berbeza dengan pendidikan secara formal, pembelajaran sepanjang hayat boleh berlaku sepanjang masa dan di mana sahaja.
Konsep ini merangkumi semua jenis minat dan kemahiran serta tidak terhad kepada aktiviti pembelajaran yang bersifat akademik semata-mata.
Walaupun terdapat pelbagai konteks di mana teori pembelajaran sepanjang hayat ini boleh diaplikasikan termasuk sekolah, institut pembelajaran berterusan dan pembelajaran di rumah, semuanya tetap bergantung kepada satu elemen penting iaitu sifat ingin tahu.
Sifat ingin tahu ini dapat diperkasakan dengan kemahiran mengulang kaji, penaakulan, pentaksiran dan berkerjasama dengan orang lain. Maka ini yang akan memastikan objektif pembelajaran sepanjang hayat itu tercapai.

PEMBELAJARAN sepanjang hayat boleh berlaku sepanjang masa dan di mana sahaja . - Gambar hiasan.
PEMBELAJARAN sepanjang hayat boleh berlaku sepanjang masa dan di mana sahaja . - Gambar hiasan.

Kemahiran asas ini yang akan diterapkan kepada semua pelajar lepasan SPM ketika mereka melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi pilihan masing-masing kelak.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya, Profesor Dr Yatimah Alias berkata, calon SPM 2021 bagi pelajar yang bakal menyambung pengajian, mereka perlu bersedia untuk menghadapi aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang sedikit berbeza dibandingkan ketika di peringkat sekolah menengah.
Ditambah pula dengan pelbagai perubahan akibat daripada pandemik Covid-19 terutama dalam mod PdP secara dalam talian dan secara hibrid selama beberapa tahun ini, menambahkan lagi cabaran pelajar dalam menyediakan diri menghadapi transisi ini.
"Bakal graduan perlu bersedia mengikuti program berbentuk konvensional yang lebih khusus atau program yang memfokuskan kepada kaedah pembelajaran pendidikan berasaskan kompentesi dan pengalaman iaitu Kerangka Pembelajaran Berpengalaman dan Landskap Pendidikan Berasaskan Kompetensi (Experiential Learning and Competency-Based Education Landscape, EXCEL).
"Kerangka EXCEL yang baharu dilancarkan ini adalah bagi memperkasakan pelaksanaan Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 bertujuan untuk melahirkan graduan yang berkualiti secara holistik dan berkemahiran tinggi," katanya.
Graduan juga menurut Dr Yatimah, perlu bersedia melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan dalam revolusi industri semasa iaitu IR4.0.
Antara kemahiran yang diperlukan adalah kreativiti, kecerdasan emosi (EQ), pemikiran analitikal, pembelajaran aktif, penyelesaian masalah dan membuat keputusan yang seterusnya dapat membangunkan bakat kalis masa hadapan (future-proof talents).
"Selaras dengan ini, Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Bahagian Penganjuran Pelajaran (BPP), Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membuka permohonan bagi Young Talent Programme (YTP) secara dalam talian untuk pelajar lepasan SPM yang melepasi syarat umum dan kelayakan akademik yang ditetapkan.
"Pengajian pembelajaran di UM selaras dengan agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) diperingkat Nasional bagi memastikan segenap lapisan masyarakat mendapat peluang pendidikan merentasi peringkat umur, latar belakang pendidikan dan lokasi pembelajaran," katanya.

PELAJAR perlu bersedia melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan dalam revolusi industri semasa iaitu IR4.0. - Gambar hiasan.
PELAJAR perlu bersedia melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan dalam revolusi industri semasa iaitu IR4.0. - Gambar hiasan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Wan Nurul Izza Wan Husin berkata, pembelajaran sepanjang hayat konsep yang menekankan kepada proses pembelajaran secara berterusan yang mana setiap individu berhak mendapatkan dan meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran melalui pendidikan formal atau tidak formal.
Katanya, debaran bukan hanya terasa untuk menerima keputusan SPM, malah turut dirasai ketika memasuki alam baharu iaitu alam universiti lebih hebat penangannya.
"Banyak persediaan yang perlu dilakukan calon lepasan SPM sebelum memasuki fasa 'campus life' yang jauh lebih mencabar dari fasa persekolahan.
"Antara persediaan utama ialah pelajar perlu mengenal pasti hala tuju selepas tamat pengajian universiti. Jika kita ingin memilih kerjaya sebagai guru contohnya, apa bidang pengajian yang perlu kita pilih," katanya.
Menurutnya, pemilihan bidang pengajian perlu seiring kelayakan atau keputusan SPM yang kita miliki dan minat kita sendiri.
"Pelajar perlu tahu laluan kursus pengajian yang boleh diteruskan ke peringkat seterusnya. Sebagai contohnya, adakah diploma yang dimiliki melayakkan mereka menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda seperti yang diinginkan?
"Kita tidak mahu meyesal di kemudian hari, bukan? Oleh itu, rancang hala tuju kita selepas SPM dengan teliti," katanya.
Menyambung pengajian di peringkat universiti juga memerlukan ketahanan mental yang tinggi dan fizikal.
Nasihat Dr Wan Nurul Izza kepada calon SPM yang juga bakal graduan, berperang dengan kehidupan di alam universiti adalah cukup mencabar. Selain itu, semak struktur program pengajian yang kita akan ambil dan program ko-kurikulum yang boleh sertai.
"Rebut sebanyak mana peluang untuk mengasah bakat yang sedia ada (bakat kepimpinan, bakat bersukan, bakat bermain alatan muzik) dan buat sedikit kajian mengenai peluang penajaaan atau pembiayaan pendidikan untuk mengurangkan beban kewangan ibu bapa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 7:01 AM