DARI kiri) ROSLI, Dr Mohd Shukri, Dr Zaini dan Nor Hisham bergambar selepas MOU antara MSU dan JPS.
DARI kiri) ROSLI, Dr Mohd Shukri, Dr Zaini dan Nor Hisham bergambar selepas MOU antara MSU dan JPS.
Suliati Asri


MENYEDARI perlunya kolaboratif pintar antara sektor awam dan swasta khasnya institut pengajian tinggi (IPT) dalam aspek pembangunan lestari alam sekitar, Management and Science University (MSU) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) memerterai perjanjian persefahaman (MoU), baru-baru ini.

Menerusi MoU ini, kerjasama antara MSU dan JPS, jabatan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Ais (KASA) ini akan menyaksikan kerjasama menyeluruh.

Ia merangkumi aspek penyelidikan, pembangunan dan inovasi, aspek hidrologi dan sumber air, program pengurusan sungai dan koridor sungai untuk kelestarian alam sekitar, aspek perundingan dan khidmat nasihat, aspek latihan dan kemahiran kepada staf MSU dan JPS serta aspek penerbitan dan penulisan jurnal berimpak tinggi.

Kolaboratif pintar ini juga menyaksikan MSU dan JPS akan sama-sama terbabit dalam pelaksanaan pelbagai aktiviti khidmat komuniti bagi mencapai hasrat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dalam menyokong matlamat pembangunan lestari (SDG).

Program pilot termasuk pembinaan awal Sungai Damansara River Trail, iaitu projek membabitkan setiap fakulti di MSU yang akan memainkan peranan dan dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan aktiviti apresiasi alam sekitar.

Majlis MoU ini ditandatangani Naib Presiden Kanan Komunikasi dan Endowmen MSU Datuk Rosli Yusof dan Ketua Pengarah JPS Malaysia Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali manakala Naib Presiden Pembangunan Infrastruktur dan Kampus MSU Zulkifly Ab Yajid dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Perniagaan) JPS Malaysia Datuk Ir Mohd Azmi Ismail bagi pihak saksi.

Turut hadir Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Presiden MSU Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid serta barisan pengurusan kanan MSU, KASA dan JPS.

Selain itu, MSU dalam konteks IPT akan meneruskan pembabitannya secara proaktif dalam melaksanakan pelbagai program bagi menyokong inisiatif SDG yang membabitkan alam sekitar sebagaimana dijalankan sebelum ini.

Antara program dijalankan sebelum ini termasuk program MSU Environmental and Sustainability Project (MESP) melalui projek MSU My Mountain Project di Gunung Nuang, Selangor, projek Eco-Marine, MSU My Coral di Teluk Geluk, Terengganu dan program River Revival: The Largest Mudball-Throwing Event of River Revival yang mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records.

Usaha MSU dalam menyokong SDG turut menyaksikan universiti ini disenaraikan dalam kalangan 401 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education University Impact Ranking 2020 kerana menyokong inisiatif United Nations dalam menjayakan matlamat pembangunan lestari (SDG).

Selain itu, MSU turut menawarkan program Bachelor in Environment Health melalui Faculty of Health and Life Sciences (FHLS) yang memberikan fokus kepada alam sekitar, kesan pencemaran, pengurusan dan pengeluaran sisa buangan serta pengawalan kualiti udara dan air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 6:45 AM