SITUASI anak Majed yang menyambut Ramadan di Gaza, Palestin.
SITUASI anak Majed yang menyambut Ramadan di Gaza, Palestin.
Nurul Najwa Mohd Noordin dan Nor Syazrina Muhamad Tahir


Kuala Lumpur: "Saya menangis setiap hari mengenangkan nasib keluarga di Gaza pada Ramadan ini," kata Majed Fadel, 44, penuntut Palestin yang menetap di Malaysia.

Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, sudah banyak hari dia tidak mendapat perkhabaran mengenai keadaan keluarganya dan tidak tahu sama ada mereka masih hidup ataupun tidak.

Majed yang mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi Media berkata, dia terkenangkan keluarganya di Gaza setiap kali membuka puasa.

"Di saat semua orang dapat berbuka dengan sempurna, keluarga saya di sana kadang-kadang tidak mampu untuk berbuka puasa tepat pada waktu yang sepatutnya," katanya ketika ditemu bual Harian Metro.

Dia berkata, ramai ahli keluarganya yang sudah terkorban termasuk bapa kerana dibunuh rejim Zionis.

"Setiap hari saya mengambil masa lebih dari lima jam untuk membaca harian mengenai situasi semasa di Gaza, paling saya takut dan bimbang ialah jika terbaca berita mengenai kematian ahli keluarga saya.

"Saya sangat sedih dan takut, saya juga tidak mampu tumpukan perhatian kepada pelajaran.

"Bayangkan diberitahu berkenaan kematian keluarga tetapi saya di sini hanya mampu menangisi berjam-jam tanpa henti," katanya.

Menurutnya, lebih 43 ahli keluarganya sudah terkorban akibat serangan tentera Israel.

"Saya masih ingat tahun lalu, kami sekeluarga dapat berbuka puasa bersama-sama dengan selesa, tetapi tahun ini, ramai ahli keluarga saya terbunuh manakala rumah dimusnahkan oleh rejim Zionis.

MAJEED Alqedra
MAJEED Alqedra

"Saya cuma berharap saya dapat berjumpa dengan keluarga saya dan semoga Allah menjaga mereka semua," katanya.

Sementara itu, penuntut Kejuruteraan Awam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Majeed Alqedra, 23, berkata, keluarganya terpaksa menjadikan makanan haiwan sebagai juadah berbuka puasa disebabkan rejim Israel menyekat bantuan makanan.

"Israel menutup segala akses kepada sumber makanan di Gaza.

"Keluarga saya kebiasaannya dapat menikmati pelbagai hidangan lazat ketika Ramadan, tetapi pada tahun ini, mereka terpaksa makan makanan haiwan sebagai juadah berbuka," katanya.

Menurutnya, Ramadan kali ini amat suram kerana mereka tidak terdaya merasai kemeriahan suasana berpuasa dan keakraban umat Islam di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 6:31 AM