BATRISYIA (tengah) baru saja menamatkan pengajiannya dan bekerja di Hotel Galway Bay di Ireland.
BATRISYIA (tengah) baru saja menamatkan pengajiannya dan bekerja di Hotel Galway Bay di Ireland.
Suraya Roslan dan Rosyahaida Abdullah dan Murnaena Muhammad Nasir

BERPUASA di perantauan dalam tempoh panjang melebihi 20 jam sudah menjadi kebiasaan buat rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.

Namun, Ramadan kali ini dengan dengan kehidupan normal baharu akibat penularan Covid-19 sangat menguji mereka dalam melaksanakan rukun Islam ketiga itu kerana kebanyakan negara diisytiharkan darurat ataupun melaksanakan kawalan pergerakan.

Kawalan pergerakan dilaksanakan menghalang mereka mengunjungi rumah rakyat Malaysia lain untuk berbuka dan menunaikan solat sunat Tarawih berjemaah sekali gus gagal mengubat kerinduan sambutan Ramadan di tanah air.

Bagi Batrisyia Amiruddin, 23, yang menetap di Galway, Ireland berkata, Ramadan kali ini dilalui seperti tahun sebelumnya walaupun tempoh berpuasa agak panjang sehingga 20 jam.

"Penularan wabak pandemik Covid-19 menghalang aktiviti berkumpul menyebabkan sambutan Ramadan tidak semeriah sebelumnya.

"Saya sudah menetap di Ireland selama tiga tahun, walaupun cabaran berpuasa dalam tempoh panjang masih dirasai, namun tahun ini sangat terasa dengan kehidupan normal baharu.

"Tahun lalu lebih meriah sambutan Ramadan kerana masih ada Tarawih di masjid dan berbuka puasa beramai-ramai di rumah rakan Islam lain," katanya yang masih bujang.

Dia yang bekerja dalam sektor perhotelan berkata, kerinduan terhadap ibu bapa yang menetap di Cheras, Selangor jelas terasa apatah lagi tahun ini dia tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri dengan keluarga.

"Kini, saya hanya berkurung di rumah memandangkan kes positif Covid-19 di Ireland mencecah lebih 20,000 dan pergerakan hanya pada jarak lima kilometer saja mengikut arahan kerajaan," katanya.

Katanya, penutupan operasi hotel tempatnya bekerja menyebabkan dia terpaksa akur cuti tanpa gaji namun bersyukur dengan bantuan kerajaan yang diterimanya.

"Kerajaan Ireland memperkenalkan Skim Pengangguran Covid-19 untuk membantu pekerja yang cuti tanpa gaji.

"Alhamdulillah, saya menerima AS$350 (RM1,500) setiap minggu untuk sara hidup dan boleh guna untuk bayar sewa rumah," katanya.

Menurut Batrisyia, jumlah itu cukup baginya yang masih bujang namun bagi sesetengah keluarga di luar sana kemungkinan tidak mencukupi.

RAHIMI berbuka puasa bersama isteri dan dua anaknya di New Zealand.
RAHIMI berbuka puasa bersama isteri dan dua anaknya di New Zealand.

Pengalaman sama dirasai bagi rakyat Malaysia, Rahimi Ahmad, 40, yang menetap di Christchurch, New Zealand sejak tujuh tahun lalu.

"Ketika ini kami dikenakan lockdown level 3 sehingga 10 Mei oleh kerajaan New Zealand bagi mengekang Covid-19.

"Paling dirasai, tiada lagi aktiviti kunjung mengunjungi rumah dan berbuka puasa yang menjadi kebiasaan orang Malaysia di negara ini," kata bapa kepada dua anak itu.

Katanya, tempoh panjang berpuasa selama lebih 12 jam tidak begitu dirasai tahun ini tetapi apa yang paling terasa apabila tidak dapat bertarawih di masjid.

"Bukan saja kami merasainya, pastinya semua umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia. Apa pilihan yang kita ada selain duduk di rumah dan berbuka puasa bersama keluarga dalam keadaan dikenakan perintah berkurung ketika ini," katanya.

Tambahnya, jika tahun sebelumnya sambutan Ramadan agak meriah apabila dia dan isteri Noor Azila Mohammad, 40, akan menyediakan juadah berbuka puasa untuk penuntut Malaysia di surau berdekatan.

"Tetapi tahun ini semua orang terpaksa berkurung di rumah masing-masing, berbuka bersama keluarga termasuk juga penuntut Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 8:00 AM