KERJA-KERJA memberi baja dilakukan supaya pokok ubi keledek membesar dengan baik.
KERJA-KERJA memberi baja dilakukan supaya pokok ubi keledek membesar dengan baik.
Hafiz Ithnin


Aktiviti pertanian sudah menjadi sebahagian daripada hidup lelaki ini kerana ibu dan bapanya adalah petani. Sebaik sahaja bersara dari sebuah syarikat minyak dan gas pada 2008, Baharudin Zainal Abidin, 65, tidak berlengah untuk menjadi 'pekebun' sepenuh masa. Ternyata, 'tangan sejuknya' kepada tanah membuahkan hasil yang lumayan.

Mengimbau kisah permulaan pembabitan secara serius di dunia pertanian, Baharudin atau lebih mesra disapa Wak Baha berkata, sebaik sahaja bersara dia mula meninjau jenis pertanian yang boleh diusahakan dan mampu menuai hasil yang berbaloi.

"Jadi, awalnya pada tahun 2013 saya mula membeli sebidang tanah seluas kira-kira 0.8 hektar di Sepang, Selangor pada RM38,000 dan memulakan tanaman ubi keledek kerana ia bukan sahaja mudah untuk dijaga malah mampu dituai pada waktu yang singkat.

"Ketika itu, hasil tuaian pertama ubi keledek saya mampu mencecah antara 15 hingga 20 tan pada suatu pusingan musim tuaian. Jadi, beberapa bulan seterusnya, saya membeli tambahan 0.8 hektar tanah untuk mengembangkan lagi tanaman ubi keledek," katanya.

Wak Baha berkata, modal awal aktiviti pertaniannya hanya membabitkan pembelian tanah sahaja kerana anak pokok ubi keledek diberikan rakan-rakannya yang sudah berjaya di dalam tanaman itu.

"Jadi melihat kepada tanaman yang memberangsangkan saya membeli tanah baharu secara berperingkat dan sehingga kini saya mempunyai kira-kira 4.4 hektar tanah yang menanam ubi keledek, ubi kayu dan pelbagai sayur-sayuran lain. Paling utama pastinya ubi keledek kerana ia mempunyai permintaan yang tinggi," katanya.

Jelasnya, benih ubi keledek yang berusia tiga bulan adalah paling sesuai untuk ditanam dan tempoh matang untuk sesuai dituai selepas empat bulan. Manakala ubi kayu pula mengambil masa antara 11 bulan hingga setahun untuk dituai hasilnya.

"Ubi keledek ini mudah untuk dijaga kerana ia tidak memerlukan banyak air. Namun, pada usia 10 hingga 15 hari ketika baharu ditanam ia berada pada tahap yang perlu diberi perhatian kerana memerlukan air yang cukup dan harus dipastikan tidak diserang serangga perosak.

KERJA menarik ubi kayu dilakukan pekerja Wak Baha.
KERJA menarik ubi kayu dilakukan pekerja Wak Baha.

UBI keledek yang sedia untuk dijual.
UBI keledek yang sedia untuk dijual.

WAK Baha mampu menuai hasil sehingga 100 tan setahun.
WAK Baha mampu menuai hasil sehingga 100 tan setahun.

"Selepas tempoh 15 hari ditanam, pokok ubi keledek boleh dibiarkan membesar tanpa memerlukan air yang banyak kerana ia sejenis tumbuhan yang tahan lasak. Bagaimanapun, perlu diberikan 'ubat' bagi memastikan ubi itu tidak dimakan anai-anai dan serangga," katanya.

Katanya lagi, pada tempoh awal tanaman jika tidak hujan atau musim panas, dia perlu menyiram secara manual anak-anak pokok ubi keledek yang baharu ditanam dan air embun pada sebelah pagi memberi bantuan siraman semula jadi yang amat baik.

"Saya juga sudah mempunyai tiga pekerja yang bukan sahaja membantu ketika musim tuaian tetapi perlu membersihkan sekitar kebun supaya kawasan tanaman tidak bersemak dengan rumput.

"Keadaan yang bersih boleh mengelakkan daripada gangguan serangga seperti anai-anai dan semut," katanya.

Katanya, tanah seluas 4.4 hektar miliknya kini mampu menuai sehingga 100 tan setahun dan cara tanaman juga dilakukan secara berperingkat bagi membolehkannya menuai dua kali setahun.

"Saya menanam ubi keledek ini secara berperingkat supaya hasil tuaian boleh dilakukan dua kali setahun dan mampu untuk memenuhi permintaan pelanggan. Perkara ini kerana ubi keledek mempunyai permintaan yang agak memberangsangkan," katanya.

Jelasnya, harga pasaran ubi keledek jika belum dibersihkan boleh dijual pada RM2.40 sekilogram. Manakala, bagi ubi keledek yang sudah siap dibasuh dan dibersihkan dijual pada RM3 sekilogram.

Katanya, ubi keledek mempunyai permintaan yang tinggi kerana ia boleh dijadikan pelbagai menu makanan sehinggakan ada kalanya tidak dapat memenuhi permintaan di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 6:47 AM