PETANI menerima anak pokok kelapa matag.
PETANI menerima anak pokok kelapa matag.
Mohamad Hussin

Sebanyak 9,000 anak pokok kelapa matag dibekalkan kepada petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi membantu mereka menjana pendapatan tambahan selain mengusahakan tanaman padi.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) pula melalui MADA menyahut seruan kerajaan bagi memperkasa sumber kekayaan baru dalam bidang pertanian.

Timbalan Menteri Kewangan 1 merangkap Pengerusi MADA Datuk Wira Othman Aziz berkata, sumber kekayaan baru dalam industri pertanian diberi penekanan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, pihaknya melaksanakan program sumber kekayaan baru kelapa matag bagi membantu petani menjana pendapatan tambahan selain mengusahakan tanaman padi.

“Sebanyak 9,000 anak pokok kelapa matag dibekalkan ke seluruh Kawasan Muda pada fasa pertama.

“Dianggarkan sebanyak 1.2 juta biji kelapa dapat dikeluarkan pada tahun keempat penanaman dengan nilai pengeluaran mampu mencecah hingga RM2.4 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Sumber Kekayaan Baru (Kelapa Matag) Peringkat MADA dengan Kerjasama Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Jerlun, Kedah, baru-baru ini.

SEBAHAGIAN petani yang mendaftar untuk mendapatkan anak pokok kelapa matag.
SEBAHAGIAN petani yang mendaftar untuk mendapatkan anak pokok kelapa matag.

Othman berkata, bagi setiap Parlimen pula, dianggarkan sebanyak 150,000 biji kelapa dapat dihasilkan pada tahun keempat penanaman.

“Dianggarkan nilai pengeluaran berjumlah RM300,000 dengan menjual sebiji kelapa bernilai RM2.

“Petani perlu merebut peluang menanam pokok kelapa bagi menambah hasil pendapatan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, setiap penerima mendapat empat pokok berserta pakej input pertanian seperti kapur, baja organik dan racun.

“Kita melihat dengan bantuan ini, petani dapat menghasilkan anggaran pengeluaran sebanyak 600 biji kelapa dan nilai pengeluaran berjumlah RM1,200 pada tahun keempat penanaman.

“Industri kelapa adalah salah satu industri penting negara kerana menyumbang kepada sosio ekonomi negara khususnya bagi pembasmian kemiskinan dalam kalangan pekebun kecil kelapa,” katanya.

Pada majlis itu, Othman mengagihkan sebanyak 2,000 anak pokok kelapa matag kepada 500 penerima bagi Parlimen Jerlun dengan anggaran sebanyak 300,000 biji kelapa dapat dihasilkan dengan nilai pengeluaran berjumlah RM600,000 setahun.

OTHMAN menanam kelapa matag sebagai gimik pelancaran.
OTHMAN menanam kelapa matag sebagai gimik pelancaran.

KELAPA MATAG

• Hasil buah yang banyak

• Setiap pokok mampu mengeluarkan hingga 12 tandan setahun

• Potensi hasilnya boleh mencapai lebih 25,000 biji sehektar setahun

• Kelapa ini disyorkan ditanam untuk memenuhi bekalan kelapa tua dan muda

• Pokoknya jenis sederhana tinggi dan mempunyai tapak gajah

• Hasil buah kelapa seragam dan stabil selepas berusia lapan tahun.

• Jangka hayat ekonomik antara 20 hingga 25 tahun

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 3:02 AM