PESERTA mengambil bahagian dalam bidang kulinari.
PESERTA mengambil bahagian dalam bidang kulinari.
Mohamad Hussin

Kejayaan dan pencapaian wanita dalam sektor pertanian serta industri asas tani (IAT) begitu membanggakan. Ini kerana wanita juga mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara.

Terdapat lima sumber kekayaan baru di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas tani (MOA) iaitu kulinari, jagung bijian, durian, kelapa dan tenusu yang membabitkan peruntukan RM200 juta.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, pada tahun lalu, Jabatan Pertanian (DOA) membimbing 7,128 usahawan IAT.

Beliau berkata, sebanyak RM1.1 bilion pendapatan hasil daripada aktiviti pemprosesan makanan membabitkan 481 usahawan (6.7 peratus) melepasi purata nilai jualan tahunan melebihi RM300,000 dan ada di dalam kalangan mereka sudah pun bergelar jutawan.

“Seramai 85,109 atau 18 peratus daripada jumlah keseluruhan adalah usahawan wanita.

“Berdasarkan kepada pencapaian ini, kami berhasrat melahirkan lebih ramai lagi usahawanita yang mampu mencapai kejayaan menjelang 2020,” katanya selepas merasmikan Bengkel Memperkasa Keusahawan Wanita DOA 2018 di Putrajaya, baru-baru ini.

SEBAHAGIAN peserta bengkel yang hadir.
SEBAHAGIAN peserta bengkel yang hadir.

Jamal Harizan berkata, adalah menjadi hasrat kerajaan dan DOA khasnya untuk memastikan keperluan makanan negara sentiasa terjamin, selamat serta bermutu tinggi.

“Ia juga dapat membantu petani meningkatkan pendapatan dan mempunyai kualiti hidup yang tinggi.

“Pengeluaran yang tinggi adalah hasil daripada peningkatan produktiviti melalui pengwujudan sektor pertanian yang lebih moden, komersial dan mampan di mana daya gerak pertumbuhan dan pembangunan akan berpandukan pasaran serta sumber manusia.

“Tumpuan diberikan kepada wanita sebagai sasaran untuk membangunkan keluarga tani sebagai salah satu strategi mencapai hasrat yang murni ini,” katanya.

Menurutnya, ini kerana kerana golongan itu sudah terbabit sejak turun-temurun dalam aktiviti pertanian dan berupaya mempertingkatkan sumbangan di sektor pertanian negara.

“Ia selaras dengan pengisytiharan Perdana Menteri di mana 2018 sebagai Tahun Memperkasakan Wanita dan konsep Segalanya Wanita.

“Perkara itu diketengahkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika program jelajah ‘Road to MAHA,” katanya.

SEBAHAGIAN pelajar bidang kulinari.
SEBAHAGIAN pelajar bidang kulinari.

Katanya, DOA menyahut seruan itu dengan menyediakan bengkel ini sebagai ruang kepada wanita untuk berkongsi idea dalam meningkatkan taraf hidup dan pendapatan menerusi pembabitan di dalam keusahawanan sub sektor tanaman serta IAT.

“Objektif bengkel ini untuk meningkatkan kesedaran kepada peserta berkenaan perubahan dan cabaran yang perlu dihadapi dalam mempertingkatkan pengeluaran serta pendapatan mereka.

“Ia juga dapat meningkatkan kefahaman peserta mengenai peranan serta hala tuju jabatan dalam memperkasakan program kumpulan pengembangan wanita dan Agronita.

“Bengkel ini juga sebagai satu platform untuk membentuk jaringan perkongsian maklumat dan kepakaran antara usahawan, jabatan dan agensi,” katanya.

BIDANG kulinari antara sumber kekayaan baru negara.
BIDANG kulinari antara sumber kekayaan baru negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 12:26 PM