MATLAMAT boleh dicapai dengan penggunaan teknologi, bekalan benih bermutu.
MATLAMAT boleh dicapai dengan penggunaan teknologi, bekalan benih bermutu.
Muhammad Saufi Hassan


SEBUT saja pasal kelapa, pasti semua orang akan mengaitkan bahan komoditi itu dengan masakan dan sudah menjadi tradisinya, resipi masakan di negara rantau ini sangat terkait dengan kelapa.

Bermula dengan santapan sarapan, 'nasi lemak' memerlukan kelapa sebagai bahan asas. Kemudian untuk makan tengah hari pasti dihidangkan aneka gulai yang turut menjadikan kelapa sebagai 'pemangkin' masakan.

Begitu juga juadah petang seperti bubur, kuih inti kelapa dan sebagainya menjadikan kelapa sebagai bahan asas dalam masakan.

Kegunaan kelapa akan meningkat berlipat kali ganda khususnya ketika musim perayaan iaitu menjelang Ramadan, Aidilfitri dan Aidiladha.

Kelapa adalah komoditi yang sering digunakan dalam industri pemprosesan makanan sekali gus permintaan terhadap bahan itu meningkat sehingga kerajaan terpaksa mengimport kelapa khususnya dari Indonesia.

Pengerusi Persatuan Usahawan Kelapa Malaysia (PUKM) Mohd Azizi Irwan Sukimin berkata, wujud sisi negatif apabila terdapat lambakan kelapa import di pasaran.

Beliau berkata, pengusaha kelapa berskala kecil akan terjejas teruk khususnya selepas pemansuhan Permit Import (AP) kelapa beberapa tahun lalu sekali gus memperlihatkan lambakan kelapa import.

"Sejak pemansuhan AP dua tahun lalu, peniaga kelapa berskala kecil menghadapi kesukaran akibat lambakan kelapa import.

"Peniaga kecil ini perlu bersaing dengan harga kelapa import khususnya dari Indonesia yang jauh lebih rendah dan keadaan itu 'membunuh' pendapatan mereka.

KACUKAN kelapa menerusi penyelidikan mampu menghasilkan buah lebih baik dan lebat.
KACUKAN kelapa menerusi penyelidikan mampu menghasilkan buah lebih baik dan lebat.

"Jika AP ini diperkenalkan semula, mana-mana individu atau syarikat yang ingin membawa masuk kelapa perlu membeli 30 peratus kelapa tempatan dan keadaan itu dapat menjaga peniaga skala kecil ini," katanya.

Beliau berkata, PUKM juga membuat resolusi kepada kerajaan supaya menubuhkan Lembaga Kelapa Mal

aysia supaya dapat menjaga tanaman berkenaan serta memberi penyelesaian kepada masalah lambakan kelapa, anak benih tiruan dan sebagainya.

Berdasarkan laporan Jabatan Pertanian pada 2020 menyatakan terdapat pelbagai cabaran dihadapi industri kelapa pada masa kini yang menyumbang kepada pengurangan hasil antaranya produktiviti rendah dan pengurangan keluasan bertanam.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian, Dr Khairil Mahmud berkata, kadar tahap SSL (Self Sufficient Level) semasa kelapa di negara ini adalah 66.6 peratus.

"Bagi meningkatkan SSL daripada 66.6 peratus kepada 80 peratus menjelang 2040, agensi pertanian perlu melihat polisi guna tanah penanaman bagi menambah kawasan bertanam kelapa.

"Ini bagi memelihara kawasan guna tanah daripada sebarang penukaran kepada status aktiviti pembangunan dan aktiviti pertanian lain.

"Selain itu penggunaan varieti kelapa yang berkualiti dan berhasil tinggi seperti matag akan dapat meningkatkan pengeluaran kelapa di samping memberi keuntungan kepada pengusaha," katanya.

Menurutnya, isu seperti penukaran status tanah penanaman kelapa kepada aktiviti lain seperti penanaman kelapa sawit dan juga ancaman pembangunan menyebabkan berlaku penurunan keluasan bertanam kelapa di negara ini.

Beliau berkata, dianggarkan terdapat penurunan keluasan bertanam kelapa sebanyak 22 peratus daripada 71,856 hektar (ha) pada 2013 kepada 55,664 ha (2020).

Sekiranya penurunan ini berterusan, ia akan menjejaskan bekalan kelapa di negara kita sekali gus menambah kebergantungan kepada kelapa import.

SAIZ pokok juga tidak terlalu tinggi memudahkan pengusaha kelapa memetik buah.
SAIZ pokok juga tidak terlalu tinggi memudahkan pengusaha kelapa memetik buah.

Katanya, insentif dan sokongan daripada pelbagai pihak adalah perlu bagi menggalakkan pembangunan industri kelapa termasuk program secara berstruktur, galakan kepada pembabitan agropreneur muda di samping penggunaan teknologi dan bekalan benih varieti kelapa berkualiti serta berhasil tinggi bagi menjamin peningkatan pengeluaran kelapa negara.

"Penghasilan benih kelapa yang tulen dan bermutu seperti matag perlulah dipertingkatkan dengan kerjasama agensi penyelidikan memainkan peranan dalam menjalankan penyelidikan dalam penghasilan variasi berkualiti.

"Kelapa matag misalnya adalah salah satu variasi kelapa yang berkualiti dan berhasil tinggi.

"Kelapa matag adalah kacukan Malayan Red Dwarf dan tanaman dilihat cepat membesar dalam tempoh tiga hingga empat tahun boleh mengeluarkan buah dan pokoknya tidak tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 6:02 AM