ROMBONGAN menaiki tram melawat ladang mempelam Tobiar MADA.
ROMBONGAN menaiki tram melawat ladang mempelam Tobiar MADA.
Mohamad Hussin

Pelancongan agro adalah satu konsep pelancongan yang berkembang pesat kerana Malaysia menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan kepada pelancong.

Malaysia sebagai negara yang kaya dengan hasil pertanian mempunyai hasil bumi yang subur dan pelbagai.

Pelancongan agro adalah subsektor pelancongan berteraskan aktiviti pertanian merangkumi empat cabang utama iaitu pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani (IAT).

Sehubungan itu, Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) menganjurkan Program ‘Road to Agro Tourism’ (RTA) Siri 4 - Zon Utara, baru-baru ini.

Lebih 40 wakil media dan blogger dibawa menjelajah ke Kedah dan Perlis selama enam hari lima malam bagi merasai sendiri pengalaman berkonsepkan pelancongan agro.

Memang banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi jika ke utara tanah air bersama keluarga dan rakan sambil menikmati pemandangan dan hasil pertanian di bumi jelapang padi dan Indera Kayangan itu.

LAMAN padi di Langkawi.
LAMAN padi di Langkawi.

Majlis pelepasan konvoi disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Azulita Salim. Turut hadir, Presiden MTC, Uzaidi Udanis.

Program RTA Siri 4 itu membabitkan kerjasama LPP, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Selepas menempuh perjalanan lebih lima jam dari Kuala Lumpur, peserta singgah di lokasi pertama iaitu ke ladang nipah Ismail Che Kar yang terletak di Jalan Kuala Sedaka, Yan.

Rombongan turut dijamu air nira dan laksa Kedah yang popular di negeri itu. Kemudian, peserta bergerak ke Kompleks Latihan MADA bagi meneruskan aktiviti menanam padi dan menuba ikan.

Aktiviti seterusnya, melawat ladang mempelam tobiar, industri asas tani (IAT) Bizz @ MADA Corp, Tam Teh Kampung Stay, pelancaran karavan, lawatan ke muzium padi dan Keriang Hill Resort, pembuatan wau, demonstrasi mesin potong padi dan pengumpulan jerami oleh MNH Harvester.

PESERTA diberi peluang menanam padi.
PESERTA diberi peluang menanam padi.

Peserta berpeluang menikmati makan tengah hari di Mak Teh Gulai Temenung dan ladang nipah Khipli di Perlis sebelum berangkat ke Langkawi untuk melihat Laman Padi dan Taman Agroteknologi MARDI Langkawi untuk melihat pelbagai jenis tanaman buah-buahan.

Pada hari terakhir, peserta dibawa meninjau ladang mempelam harumanis milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Paya, Perlis dan Pusat Kraf MADA sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Uzaidi berkata, objektif program ini ialah untuk mempromosi destinasi pelancongan agro domestik yang menarik, mempromosi juga kebudayaan dan kesenian penduduk tempatan serta mempromosi sejarah dan warisan tempatan.

PEKERJA MADA sedang menunjukkan teknik cantuman mempelam Tobiar MADA.
PEKERJA MADA sedang menunjukkan teknik cantuman mempelam Tobiar MADA.

Beliau berkata, RTA adalah program berkonsepkan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di sektor pelancongan.

“Kami percaya dan yakin strategi kerjasama begini akan memberi impak yang besar kepada sektor pelancongan serta dapat menjimatkan kos.

“Selain itu, program ini juga dapat mencetuskan lebih banyak peluang lain bagi membantu ekonomi tempatan terutama kepada penduduk di luar bandar,” katanya.

PESERTA menikmati buah-buahan di MARDI Langkawi.
PESERTA menikmati buah-buahan di MARDI Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 7:01 AM