IRMOHIZAM (depan empat dari kiri), Tajuddin (depan lima dari kiri), Ahmad Shabery dan Ahmad Rudin (depan tujuh dari kiri) bersama nelayan dan pelajar.
IRMOHIZAM (depan empat dari kiri), Tajuddin (depan lima dari kiri), Ahmad Shabery dan Ahmad Rudin (depan tujuh dari kiri) bersama nelayan dan pelajar.
Mohamad Hussin

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melancarkan Kluster Projek Ekonomi Persatuan Nelayan bertujuan mewujudkan sumber ekonomi baru persatuan nelayan sekali gus memberi faedah secara langsung kepada 100,000 ahlinya.

Program ini bagi mengurangkan kebergantungan persatuan nelayan kepada kerajaan dan merakyatkan ekonomi persatuan berkenaan.

Enam kluster utama yang dikenal pasti ialah Penangkapan Ikan, Akuakultur, Pemasaran Ikan, Pemprosesan dan Pemasaran Produk Asas Perikanan, Pengurusan dan Pengoperasian Kemudahan Kompleks serta Agropelancongan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perikanan laut dalam adalah perusahaan bernilai tinggi yang mampu memberikan pulangan menguntungkan kepada pengusaha.

“Nilai keseluruhan industri perikanan berjumlah RM13 bilion setahun dan dari jumlah ini, persatuan nelayan hanya mencatatkan nilai urus niaga sebanyak RM2.0 bilion (15.3 peratus) dengan jumlah keuntungan sekitar RM20 juta (kurang daripada satu peratus).

“Pada masa sama, ia meningkatkan nilai urus niaga persatuan nelayan dalam keseluruhan industri perikanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) kali ke-32 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dan Pengerusi NEKMAT Ahmad Rudin Hussain.

Ahmad Shabery berkata, kejayaan NEKMAT pada tahun lalu menunjukkan mereka berjaya mencatat keuntungan RM5.44 juta.

“Antara senarai projek yang dijalankan NEKMAT ialah pembekalan minyak diesel/selinder, pemasaran ikan, Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Borong Klang, Selangor; Pasar Borong Pandan, Johor Bahru, Pasar Tani dan MyFarm Outlet serta Q’Fish (ikan segar beku).

“NEKMAT mengeluarkan produk sejuk beku berasaskan hasil laut termasuk bebola ikan, jejari ikan, burger ikan dan bebola sotong.

“Buat masa ini, produk berkenaan dipasarkan di beberapa pasar raya di negara ini dan mendapat permintaan yang tinggi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sangat memandang serius kesejahteraan rakyat termasuk golongan nelayan turut tidak dilupakan.

“Bagi menjamin kesejahteraan nelayan, kerajaan merangka dan menambah baik program bantuan dalam usaha untuk mensejahterakan dan seterusnya membantu meningkatkan sosio ekonomi nelayan.

“Ia melalui pemberian Elaun Sara Hidup, subsidi diesel dan petrol, bantuan bencana alam, kebajikan nelayan serta pinjaman dana nelayan,” katanya.

Katanya, organisasi di peringkat akar umbi seperti Persatuan Nelayan perlu menjadi ejen perubahan yang cekap dan berkesan untuk membawa kemajuan kepada kumpulan sasar mereka.

“Peranan persatuan nelayan amat penting bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan bagi masyarakat nelayan.

“Sebagai induk kepada Persatuan Nelayan, NEKMAT mempunyai tanggungjawab besar untuk membangunkan aktiviti ekonomi nelayan secara menyeluruh supaya tiada yang tertinggal.

“Kementerian akan terus bersama untuk membangunkan industri pertanian dan industri asas tani supaya industri ini mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada ekonomi negara,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) dan Pampasan Skim Perlindungan, Kebajikan Nelayan NEKMAT serta menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang kepada 10 pelajar yang menunjukkan potensi memberangsangkan di dalam akademik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 2:09 AM