GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


JAWATANKUASA khas di peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan menyiasat rungutan beberapa persatuan nelayan berhubung larangan eksport bagi enam jenis ikan yang bermula 1 Januari lalu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya menerima aduan daripada beberapa persatuan nelayan supaya membenarkan eksport bagi empat jenis ikan yang tidak mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.

Menurutnya, beliau sudah membawa aduan berkenaan ke peringkat kementerian dan satu jawatankuasa khas sudah diwujudkan bagi meneliti sama ada rungutan itu berasas atau tidak.

“Mereka meminta supaya kelonggaran eksport diberikan kepada ikan yang tidak mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan seperti kembung, selayang, pelaling dan selar.

“Mereka juga mendakwa berlaku lambakan ikan berkenaan di dalam simpanan sejuk mereka,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Amanat Tahun Baharu Pengerusi LKIM di Wisma LKIM, di Puchong, hari ini.

Baru-baru ini, Presiden Persekutuan Perikanan Xie Tian Xi memaklumkan, beberapa jenis ikan termasuk kembung, selayang, pelaling dan selar kurang mendapat sambutan di pasaran tempatan menyebabkan berlaku lambakan dalam kemudahan sejuk beku di seluruh negara.

Menurutnya, wakil industri perikanan akan bertemu Jabatan Perikanan pada 22 Januari supaya kerajaan membenarkan eksport untuk empat jenis ikan berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dipetik berkata, kerajaan melaksanakan Sekatan Eksport Spesis Ikan Terpilih mengikut kaedah-kaedah Pemasaran Ikan LKIM 2010 bermula 1 Januari hingga 28 Februari depan bagi enam jenis hasil laut termasuk udang; ikan bawal; kembung; selayang; pelaling dan selar.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz berkata, pihaknya akan membuka lebih banyak pasar nelayan di seluruh negara bagi membolehkan pengguna mendapatkan hasil laut pada harga lebih murah dan segar.

“Ia juga dapat membantu nelayan menjual hasil tangkapan masing-masing seterusnya menjana pendapatan tambahan.

“Kami dalam proses untuk memperbanyakkan pasar nelayan di seluruh negara. Peluang ini patut diambil pengguna bagi mendapatkan hasil laut yang harga lebih murah dan segar,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya juga akan mewujudkan 10 jeti baru di beberapa lokasi terpilih mengikut kesesuaian dan kepadatan nelayan khususnya di Labuan dan Pontian, Johor.

“Kami juga akan meneliti fungsi dan kesesuaian lapan jeti dan kompleks pendaratan ikan yang sudah dibina sebelum ini. Ada antara kemudahan berkenaan tidak digunakan sepenuhnya selain tidak sesuai dengan pendaratan bot nelayan.

“Antara jeti dan kompleks berkenaan termasuk Kompleks LKIM Kuala Selangor dan Kompleks Perikanan LKIM Batu Maung,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, pihaknya akan membawa cadangan kepada kerajaan bagi membina kuarters kakitangan di tanah milik LKIM di Pulau Meranti, Puchong dan berharap ia dapat dipertimbangkan.

“Kami mempunyai tanah seluas 39.6 hektar di sini (Pulau Meranti, Puchong),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 6:08 PM