SEMUA pemenang bersama hadiah.
SEMUA pemenang bersama hadiah.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Kerja keras warga media membuat liputan berkaitan aktiviti membabitkan golongan nelayan diiktiraf sempena Majlis Penghargaan Media Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) 2014, baru-baru ini.

Ini kali pertama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu menganjurkan majlis berkenaan membabit­kan media cetak dan elektronik.

Majlis itu dihadiri 300 warga media daripada pelbagai agensi.

Wartawan Harian Met-ro, Mohd Sabran Md Sani memenangi tempat ketiga dan membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai RM5,000.

Artikel bertajuk 'Jihad Perangi Orang Tengah' disiarkan menerusi sisipan Agro pada 2 September lalu.

Hadiah disampaikan Pengerusi LKIM, Datuk Irmohizam Ibrahim serta Ketua Pengarah LKIM, Abdul Rahman Ellis.

Ia kemenagan kedua penulis selepas kali pertama artikel bertajuk 'Apung-apung si obor-obor' yang disiarkan menerusi sisipan Agro pada 17 Disember 2013 melayakkannya memena-ngi Anugerah Juri Media Cetak sempena Malam Apresiasi Kementerian Industri Asas Tani di Menara LPP, tahun lalu.

Abdul Rahman berkata, majlis yang julung kali dianjurkan agensi itu bagi mengiktiraf warga media.

"Majlis penghargaan media ini adalah cetusan idea Datuk Irmohizam.

"Beliau mahu LKIM merapatkan lagi hubungan mesra dengan media," katanya.

Menurutnya, idea itu dilontarkan kerana media boleh memainkan peranaan besar dalam usaha menyampaikan maklumat kepada golongan sasar.

Sementara itu, Irmohizam dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada warga media yang hadir.

"Saya lihat berkat sokongan media, ia memberi semangat dan memperkukuhkan lagi iltizam kepada pengurusan LKIM.

"Ia membolehkan kami berusaha bagi memastikan kerahmatan, kesejahteraan dan kesihatan khususnya bagi pembangunan nelayan dan LKIM," katanya.

Berucap lanjut, katanya, LKIM kini memberi fokus kepada usaha meningkatkan pendapatan nelayan dan memajukan industri perikanan negara.

"LKIM banyak membantu mengubah sosioekonomi nelayan supaya kehidupan mereka lebih maju menjelang 2020.

"Malah, nelayan berperanan menyumbang kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

LKIM juga katanya, menggiatkan usaha bagi menjamin bekalan makanan (ikan) mencukupi untuk menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat.

Antara usaha terbaru ialah 'Jihad Memerangi Orang Tengah Di Sub-Sektor Perikanan (JIMOT)'.

"Data yang ada membuktikan kerajaan menurunkan peratus kemiskinan nelayan.

"Pada 1970, kemiskinan nelayan berada pada 73.2 peratus dan angka itu menurun kepada 11.8 peratus pada 1987 dengan penurunan 61.4 peratus," katanya.

Kini, katanya bilangan nelayan yang berdaftar seramai 107,508 orang.

"Ahli Persatuan Nelayan (PN) adalah 99,902 orang, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) (87 buah), Persatuan Nelayan Negeri (PNN) (13 buah) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 9:23 AM