GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
Dr Zulkifli Hasan

Meneliti realiti dunia hari ini dengan dinamika kemajmukan dan kepelbagaian, ia menuntut keberanian zaman menerusi pendekatan berhikmah dan kekuatan ilmu untuk membina negara serta mewujudkan masyarakat yang harmoni. Isu demi isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama terus menguji perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Baru-baru ini, kempen #kitakawan dilancarkan bagi mencetuskan gelombang positif kehidupan bersama di Malaysia. Dalam konteks ini, Fiqh al-Ta'ayush perlu diarusperdanakan dan diwacanakan secara meluas di Malaysia bagi memberikan kefahaman yang dinamik dan progresif mengenai tatacara hidup menangani serta meraikan kepelbagaian.

Al-ta'ayush menyeru kepada kewujudan bersama (al-wujud al-mutazamin) dalam kalangan semua manusia dalam suasana persaudaraan dan toleransi dalam kalangan semua rakyat tanpa mengira bangsa, warna kulit dan kepercayaan. Al-ta'ayush dalam erti kata lain merujuk kepada kefahaman dalam kewujudan bersama antara satu sama lain dalam keadaan kasih sayang dan harmoni. Ini selaras dengan prinsip persaudaraan atas dasar kemanusiaan (al-ukhuwah al-insaniyyah) dan kewajipan berbuat baik kepada semua.

Sahifah Madinah Asas Fiqh al-Ta'ayush

Asas fiqh al-ta'ayush ini sebenarnya sudah pun terukir kukuh dalam Sahifah Madinah atau Piagam Madinah yang dimeteraikan pada tahun pertama Hijrah bersamaan 622 Masihi apabila 23 fasal membicarakan tentang hubungan sesama umat Islam iaitu antara golongan Ansar dan Muhajirin serta 24 fasal yang berbaki membicarakan hubungan umat Islam dengan bukan Islam. Antara kandungan Sahifah Madinah yang relevan disebutkan di sini.

Sahifah Madinah memperlihatkan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan (al-tanawwu' fi itar al-wihdah). Inilah asas kepada al-Taayush yang mampu mewujudkan keamanan dan kedamaian dalam kehidupan bernegara dan masyarakat. Rasulullah SAW menjadikan Piagam Madinah sebagai perlembagaan pertama di dunia mendahului Magna Carta. Sahifah Madinah meletakkan asas sebuah daulah yang tidak mendiskriminasikan antara warganegaranya daripada aspek agama, keturunan, bangsa dan kepelbagaian. Sahifah Madinah dengan jelas meletakkan tanggungjawab memelihara negara sebagai amanah kepada semua warganegara.

Secara umumnya, Sahifah Madinah adalah rujukan Asas Jaminan Hak Minoriti, prinsip universal Islam, meraikan kepelbagaian bersama sebagai satu umat sewarganegara, terbentuk hasil persefahaman dan persetujuan bukannya peperangan, mengangkat prinsip rahmah, hikmah, adil dan maslahah, menjamin hak serta tanggungjawab warganegara.

Al-Ta'ayush bersifat sejagat dan inklusif

Al-Taayush kini menjadi dasar dan gagasan beberapa organisasi peringkat antarabangsa seperti Deklarasi Marrakesh 2016. Persidangan ke-23 Majma al-Fiqh al-Islami al-Dawli yang diadakan di Madinah al-Munawarah pada 19-23 Safar 1440 mengangkat konsep al-Ta'ayush ini apabila resolusi no 229 (13/23) meletakkan al-Ta'ayush al-karim sebagai kerangka keharmonian dalam kepelbagaian. Dalam konteks Malaysia, Mesyuarat Khas Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 3 Disember 2018 juga memutuskan konsep Fiqh al-Ta'ayush adalah penyelesaian yang diterima bagi mewujudkan hubungan yang lebih sejahtera dan aman masyarakat berbilang bangsa serta agama di Malaysia.

Al-Ta'ayush Manhaj Maliziy (Kewujudan Bersama Acuan Malaysia)

Di samping merujuk kepada konsep al-Ta'ayush daripada perspektif nas, orang Melayu juga mempunyai amalan dan model al-Ta'ayush yang tersendiri. Islam mengiktiraf adat resam dan budaya baik yang ada pada sesuatu bangsa atau masyarakat. Beberapa amalan dan budaya orang Melayu amat selari dengan ajaran Islam seperti konsep sejahtera dan muhibah. Mungkin sudah sampai masanya kita juga mempopularkan istilah dan konsep keamanan orang Melayu kepada dunia. Jika orang Jepun terkenal dengan Kaizen dan Ikigai, Hyggae (Denmark), Lagom (Sweden), Ubuntu (Afrika Selatan). Semua konsep dinyatakan ini terpakai dan popular di seluruh dunia, mengapa tidak kita orang Melayu berbangga dengan amalan dan falsafah kehidupan yang selari dengan ajaran Islam seperti sejahtera dan muhibah?

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pernah mempopularkan dan mempromosikan konsep 'muhibah' dalam memupuk perpaduan kaum.

Tema 'sejahtera' juga pernah dipopularkan bagi mempromosi gagasan kelestarian dan kemakmuran. Dalam konteks ini, sejahtera juga merujuk kepada keamanan dan keselamatan merangkumi ketenteraman di dunia serta di akhirat. Seiring dengan makna al-Ta'ayush, muhibah dan sejahtera juga mengandungi makna yang hampir sama dengan pengertian kekeluargaan, kebersamaan, cinta dan kasih sayang, simpati dan empati, hormat-menghormati dan kesopanan, ketenteraman dan keamanan.

Al-Waqi' al-Malizi (Realiti Malaysia)

Fiqh al-Ta'ayush perlu dilihat dalam konteks realiti Malaysia. Ia berbeza di negara majoriti bukan Islam yang lebih sesuai dibicarakan dalam konteks Fiqh al-Aqalliyyat (Fiqh Minoriti). Dalam konteks Malaysia, orang bukan Islam adalah al-muwatinun (warganegara) kerana mereka adalah warganegara yang sah daripada sudut undang-undang dan Perlembagaan. Perkara 8 Perlembagaan Malaysia secara jelas menyebut semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang. Orang bukan Islam bebas mengamalkan budaya dan agama mereka dalam sebuah negara dengan syarat tidak memberi mudarat kepada orang lain.

Konsep al-Ta'ayush ini menganjurkan orang bukan Islam boleh sama-sama menikmati hak, memikul tanggungjawab sebagai warganegara yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan dan berkongsi komitmen mempertahankan kedaulatan negara. Al-waqi' al-Malizi mengambil kira dinamika nas daripada sudut teks dan konteks mengambil realiti tersendiri keMalaysiaan yang mungkin tiada di tempat lain.

Al-Ta'ayush dengan bukan Muslim

Al-Ta'ayush juga hendaklah berlaku dalam suatu perkara yang baik atau makruf bukan mungkar dan tidak memudaratkan pihak lain. Rasulullah SAW sendiri menganggotai hilf al-fudhul iaitu sebuah pakatan dalam kalangan orang musyrikin untuk memelihara keamanan dan melindungi golongan mustad'afin. Malahan, ada riwayat memetik hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bermaksud: "Aku menghadiri satu perjanjian di rumah Abdullah bin Jud'an. Tidaklah ada yang melebihi kecintaanku kepada unta merah kecuali perjanjian ini. Sekiranya aku diajak menyepakati perjanjian ini pada masa Islam, nescaya aku akan mendatanginya." (Riwayat al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra)

Hadis ini membuktikan adalah harus untuk bekerjasama hatta dengan orang bukan Islam selagi ia mengajak perkara yang makruf dan meninggalkan perkara mungkar. Kerjasama ini selari dengan semangat al-Ta'ayush saling menolong dan melengkapi demi mewujudkan masyarakat aman serta harmoni. Allah berfirman yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil." (Surah al-Mumtahanah: 8)

Al-Ta'ayush membina Malaysia Madani

Konsep fiqh al-Ta'ayush al-Silmi, perlu dijadikan tema perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan lebih segar serta berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep ukhuwah dan hubungan sesama Muslim dan bukan Muslim. Konsep fiqh al-Ta'ayush al-Silmi ini perlu diserapkan secara berhikmah dalam sistem pendidikan di Malaysia. Naratif perpaduan dan keharmonian akan dapat direalisasikan menerusi fiqh al-Ta'ayush apabila masyarakat mengiktiraf kewujudan bersama menghormati kepelbagaian dan perbezaan. Dengan semangat Ramadan dan Aidilfitri, penulis mengajak semua menghayati Fiqh al-Ta'ayush al-Silmi yang membawa gagasan rahmah dan kasih sayang, mewujudkan masyarakat saling memahami, saling mempercayai, menerima kepelbagaian, menghormati perbezaan, semangat toleransi dan saling melengkapi.

Penulis Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 7:01 AM