FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Umat Islam diingatkan tidak terjerumus dengan pemikiran khawarij baharu dan takfiri serta bersifat ghuluw, sebaliknya hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, pemikiran khawarij baharu ialah menjatuhkan mana-mana pemerintah yang dilabelkan sebagai zalim, manakala takfiri pula merujuk kepada tuduhan mengkafirkan orang lain dengan mudah.

Beliau berkata, golongan ghuluw iaitu keterlaluan atau melampau menerapkan kefahaman ekstrem dalam memahami serta mengambil sesuatu tindakan, dan ghuluw dalam beragama adalah sikap melampau batas dalam perintah agama.

"IKIM senada dengan usaha kerajaan yang sentiasa memantau pengajaran agama Islam di semua platform supaya tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

"Ia selaras dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 5 Mei 1996 bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan ASWJ," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mendedahkan gelombang pemikiran khawarij dan takfiri di negara ini kini berada pada tahap membimbangkan.

Berhubung isu panggilan kafir, Mohamed Azam berkata, terdapat sekurang-kurangnya 310 tempat menyebut perkataan kafir dalam al-Quran dan al-Hadis, namun menurut ulama besar dunia Syeikh Dr Yusuf al-Qardawi, hanya terdapat dua ayat sahaja dalam al-Quran yang memanggil mereka secara langsung dengan panggilan "Wahai orang-orang kafir" iaitu dalam surah at-Tahrim ayat 7 dan surah al-Kafirun ayat 1.

Ketetapan itu menunjukkan perbezaan antara keimanan dan kekufuran seseorang individu yang penggunaannya tidak berubah.

Beliau berkata, melihat kepada keadaan dan konteks yang berbeza seperti dalam interaksi antara orang Islam dan bukan Islam, menurut Syeikh Dr Yusuf dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah, boleh memanggil orang yang berbeza agama dengan Islam dengan panggilan bukan Muslim (non-Muslim/ghayru Muslim).

"Istilah ini lebih harmoni dalam konteks di Malaysia dengan kepelbagaian agama dan dalam Kajian Piagam Harmoni Malaysia (PHM) yang sedang dijalankan IKIM juga, terdapat perkara-perkara ditekankan ke arah usaha mewujudkan masyarakat harmoni yang memerlukan kerjasama setiap masyarakat Malaysia.

"Justeru, pendekatan hidup dalam keadaan aman dan damai seperti ditekankan dalam Fiqh al-Ta'ayush (peaceful co-existence) hendaklah diterapkan dalam semua lapisan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 2:44 PM