KEHARMONIAN kaum dan agama dalam negara asas kepada kesejahteraan dan kemajuan sesebuah negara.
KEHARMONIAN kaum dan agama dalam negara asas kepada kesejahteraan dan kemajuan sesebuah negara.
Abdul Muhaimin Mahmood

KERAJAAN Malaysia akan mengadakan  Southeast Asian Ulama Conference  2022 pada 30 Jun 2022 di Subang Jaya sebagai langkah untuk memperkukuhkan lagi semangat toleransi Islam dalam kepelbagaian Keluarga Malaysia. Persidangan berkenaan  akan dihadiri oleh HE Sheikh Dr Mohammad bin Abdul Karim Al-Issa, Setiausaha Agung  Muslim World League  yang akan berkongsi idea dan pandangan beliau dalam memperkukuhkan lagi keharmonian kaum dan agama di negara kita.

Persidangan yang bertemakan kesatuan  (unity @ al-wahdah)  akan melibatkan penyertaan wakil daripada 20 buah negara di Asia Tenggara ini dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Muslim World League. Objektif persidangan ini akan menekankan nilai kesederhanaan, pengukuhan nilai persahabatan dan nilai kerjasama dalam kalangan ummah serta menyebarkan kesedaran terhadap konsep kesatuan, keadilan dan keharmonian antara pemimpin Islam dan masyarakat secara keseluruhan.

Penganjuran  Southeast Asian Ulama Conference  2022 ini adalah sebagai langkah pengukuhan kepada  konsep Keluarga Malaysia yang telah digagaskan oleh YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia ke-9 pada tanggal 22 Ogos 2021 yang lalu. Konsep Keluarga Malaysia ini sebagai inspirasi jangka masa panjang kerajaan ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi dan bagi mewujudkan kesepaduan di kalangan rakyat yang majmuk agar sentiasa berada dalam suasana aman dan harmoni sebagai sebuah keluarga besar yang dipayungi Perlembagaan dan rukun negara. Mengambil semangat sebuah keluarga, semua pihak perlu berlapang dada dan berfikiran terbuka bagi mencari titik persamaan bukannya menggali perbezaan lebih-lebih lagi di saat negara sedang mengharungi krisis ekonomi dan kesihatan disebabkan oleh wabak Covid-19.

Kesepaduan dalam kepelbagaian

Bagi memastikan hubungan agama dan kaum dalam negara sentiasa utuh dan harmoni, kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar bagi memupuk kesepaduan dalam kepelbagaian rakyat. Mengambil kira faktor agama merupakan antara faktor yang dapat menggugat keharmonian dan kesepaduan di kalangan masyarakat majmuk sekiranya tidak diuruskan dengan baik, maka kerajaan mengetengahkan beberapa dasar dan pendekatan Islam di samping dasar-dasar perpaduan. Dasar dan pendekatan agama Islam yang diperkenalkan antaranya Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam (PNI) dalam Pentadbiran 1985, Dasar Islam Hadhari 2004, Dasar  Wasatiyyah  2010, Dasar  Rahmatan Lil Alamin  2019 dan terkini Dasar  Manhaj Rabbani  2021 yang dengan mengetengahkan tujuh prinsip iaitu rahman, aman, bertuhan, bakti, adil, nurani dan insani sebagai pendekatan bagi membentuk keharmonian dan keamanan antara penganut agama dengan cara sederhana jauh dari tindakan eksktrim (ifrat) dan liberal (tafrit).

Dasar dan pendekatan agama yang diperkenalkan adalah bagi mendukung dasar perpaduan di samping memartabatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan seiring dengan peruntukkan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan dalam masa sama membenarkan agama-agama lain diamalkan
di Malaysia dengan aman dan damai.

Gagasan keluarga Malaysia

Gagasan Keluarga Malaysia perlu didokong oleh pendekatan Islam yang sesuai dengan situasi dan realiti semasa dewasa ini. Dewasa ini isu kesepaduan dan perdamaian merupakan antara perkara yang menjadi isu kritikal yang sedang diharungi oleh kebanyakan negara. Isu sedemikian timbul berpunca daripada permainan politik sempit yang dimainkan oleh sesetengah pihak yang tidak mahu akur dan hormat terhadap kepercayaan orang lain, perasaan, nilai, tradisi, adat istiadat, pemikiran, budaya, maruah dan keselamatan orang lain. Sedangkan manusia beragama sewajarnya gigih berusaha untuk mempertahankan perdamaian, keadilan, toleransi, kejujuran dan keikhlasan terhadap sesama manusia meskipun berbeza kepercayaan dan keturunan. Sikap taasub, perkauman melulu dan politik sempit yang dimainkan sering kali mencabuli ajaran agama dan budaya manusia yang murni. Bagi menjaga keharmonian sebuah keluarga yang hidup bersama dan kerukunan dalam beragama pendekatan  fiqh al-ta'ayush  dilihat wajar dan cocok untuk dijadikan pendekatan bagi gagasan Keluarga Malaysia yang baharu diperkenalkan.

Fiqh al-ta'ayush sebagai pendekatan

Fiqh al-ta'ayush  merupakan terminologi kontemporari yang lahir daripada kesungguhan para cendekiawan Islam dalam membahaskan tentang teori-teori perdamaian. Ia adalah satu disiplin ilmu fiqah kontemporari yang membincangkan tentang panduan melestarikan kehidupan bermasyarakat yang mesra atas semangat persaudaraan insan bagi memakmurkan negara dan dunia berpandukan syariat.  Fiqh al-ta'ayush  secara teori dan praktikal amat penting khususnya untuk difahami, dihayati dan diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk yang terdiri dari pelbagai latar belakang keturunan, kepercayaan dan budaya.

Dalam konteks Malaysia, Perlembagaan Persekutuan adalah tiang seri dan asas kepada undang-undang lain. Ia juga menjadi penentu kepada hala tuju bagi negara Malaysia yang berdaulat. Sehubungan itu, Gagasan Keluarga Malaysia hendaklah menjunjung Perlembagan Persekutuan dan perlu berlaku dalam lingkungan yang dibenarkan dalam syariat Islam iaitu dibenarkan selagi mana tidak menyentuh identiti agama Islam, tidak membawa kepada pencabulan terhadap akidah melalui perbuatan, percakapan dan iktikad, tidak boleh menjuruskan kepada perkara yang diharamkan atau meninggalkan perkara yang diwajibkan, tidak membawa fitnah terhadap agama dan berlaku dalam lingkaran kebaikan dan kebajikan yang tidak menjurus kepada perkara mungkar dan maksiat termasuklah melibatkan perihal yang bercanggah dengan nilai akhlak dan budaya masyarakat Islam. 

Keharmonian kaum dan agama dalam negara merupakan asas kepada kesejahteraan dan kemajuan sesebuah negara dan tamadun. Penerapan  fiqh  al-ta'ayush  dalam gagasan Keluarga Malaysia dapat mendatangkan impak yang positif kepada masyarakat dan negara kerana ia dapat menghalang kewujudan golongan yang berfahaman sempit dan dangkal yang membuat tafsiran menyimpang berhubung Islam yang melahirkan golongan yang rasialisme dan ekstrim dalam memahami dan mengamalkan ajaran agama. Penghayatan orang Islam terhadap  fiqh al-ta'ayus  secara tidak langsung dapat menyampaikan mesej keindahan Islam kepada bukan Islam dan menyuburkan kerukunan dalam berugama.

Penulis Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 5:59 AM