GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

UNTUK mencapai keharmonian setempat dan global, kita perlu mengkaji sejarah keadaan serta dinamik hubungan itu.

Pihak yang mahukan keharmonian mesti ikhlas, bermotivasi, bersatu dan cekap.

Bukti sejarah sudah mendokumenkan bahawa keharmonian boleh dicapai dengan baik walaupun dengan kepelbagaian kepercayaan, ideologi dan politik.

Berikut adalah contoh penting sejarah yang menggambarkan keharmonian antara kumpulan agama yang berbeza.

Ketika zaman Nabi Muhammad SAW, delegasi suku Bani Najran tiba untuk bertemu Baginda.

Orang-orang Najran itu mendapat bantuan pemerintah Byzantine untuk menghantar delegasi berkenaan ke Madinah.

Mereka diterima baik Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi. Banyak isu serta soalan dikemukakan.

Apabila membincangkan sifat Allah, Nabi Muhammad SAW membacakan Surah Al-Ikhlas, ayat 1 hingga 4 di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah: “Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia.”

Sebahagian ahli delegasi Najran terkesan dengan makna ayat al-Quran itu. Sementara yang lain tidak bersetuju kerana mereka percaya bahawa Nabi Isa adalah anak Tuhan.

Pada keesokan harinya, ayat berkaitan Isa iaitu Surah Ali Imran, ayat 59 hingga 61 diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Baginda membacakannya kepada delegasi Najran: “Sesungguhnya perbandingan (penciptaan) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam daripada tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya, ‘Jadilah’ (seorang manusia), maka jadilah dia. (Apa yang Kami ceritakan itu), itulah yang benar, yang datang daripada Tuhanmu. Kerana itu, janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu. Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya), “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kalian, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kalian, diri kami dan diri kalian, kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta.”

Kebanyakan delegasi Bani Najran tidak dapat menerima Isa hanya seorang manusia dan juga seorang nabi.

Namun, Allah SWT mencabar mereka dengan ayat di atas. Pada mulanya delegasi bersetuju untuk menerima cabaran itu, tetapi mereka takut kemarahan Tuhan sehingga mereka memutuskan untuk menafikannya.

Anggota delegasi meminta dibuat perjanjian damai. Nabi Muhammad SAW bersetuju pada hari berikutnya.

Dalam waktu yang singkat bersama Nabi Muhammad SAW itu, mereka berjanji untuk menerima syarat perjanjian perdamaian tanpa persoalan kerana melihat keadilan dan kejujuran Baginda.

Jelas, Islam tidak membiarkan satu bidang kehidupan melainkan diletakkan prinsip serta panduan yang jelas.

Hubungan antara orang Islam dan bukan Islam dalam konteks kehidupan bersama dalam sesebuah negara, apatah lagi seperti negara kita yang bersifat majmuk antara topik penting pada zaman ini.

Islam menggariskan kaedah dan prinsip jelas berkaitan kehidupan bersama iaitu ta’ayush atau co-existence.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik yang wajib diikuti umat Islam. Baginda menunjukkan beberapa kaedah dan prinsip al-ta’ayush bersama orang lain dalam banyak keadaan, zaman dan tempat.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia (UPM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 9:17 AM