MENGELUARKAN zakat hendaklah melalui amil yang dilantik oleh pemerintah. FOTO BERNAMA
MENGELUARKAN zakat hendaklah melalui amil yang dilantik oleh pemerintah. FOTO BERNAMA
Amirulhakim Ahmad Nadzri

Beberapa hari lagi kita akan menyambut kedatangan Syawal. Pada penghujung Ramadan ini, jangan kita lupa satu kewajipan yang juga satu daripada rukun Islam iaitu mengeluarkan zakat dan khusus di sini ialah zakat fitrah.

Hal ini seperti hadis baginda SAW yang bermasksud: "Islam itu dibina atas lima dasar, persaksian (syahadat) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji (ke Baitullah) dan puasa pada Ramadan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Zakat adalah ibadat yang sangat istimewa kerana memainkan peranan yang penting dalam membangun dan memangkin pertumbuhan ekonomi umat Islam serta berupaya meningkatkan martabat ummah.

Zakat adalah kewajipan yang ditentukan oleh Allah SWT kepada umat Islam dan pelaksanaannya bukanlah kewajipan pengawasan individu, tetapi kewajipan yang dilaksanakan di bawah pengawasan dan pengurusan pemerintah. Dalilnya daripada Surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud: "Ambillah sedekah (zakat) daripada sebahagian harta mereka supaya dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka serta doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Para fuqaha bersepakat bahawa pemerintah mempunyai hak untuk mengutip dan mengagihkan zakat serta hendaklah mengurusnya secara sistematik lagi tersusun. Hal ini supaya zakat tersebut dapat diuruskan dengan efisien serta memastikan ia disalurkan kepada golongan asnaf yang benar-benar memerlukan. Dalam kitab al-Majmu' Syarah Muhazzab menyatakan bahawa pemerintah wajib untuk melantik amil dalam memungut zakat. Rasulullah SAW dan khalifah selepas baginda menghantar wakil untuk memungut zakat. Hal ini kerana dalam kalangan masyarakat ada yang tidak mengetahui kewajipan untuk mengeluarkan zakat atau bakhil maka wajib atas pemimpin untuk melantik wakil untuk memungutnya.

Dalam konteks di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76 yang berlangsung pada 2006 menetapkan bahawa mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui Baitulmal adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak.

Bagaimanapun, perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang dalam perkara kebaikan seperti ini adalah berdosa. Ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk patuh dan taat kepada pemerintah (ulil amri) pada perkara kebaikan.

Dari sini jelaslah bahawa dalam kewajipan kita sebagai umat Islam menyelesaikan rukun Islam yang keempat iaitu zakat (dengan fokus pada Ramadan adalah zakat fitrah) hendaklah menyalurkannya kepada amil dilantik pemerintah. Hal ini kerana antara peranan pemerintah adalah menguruskan zakat seperti dinyatakan dalam kitab Ahkam al-Sultaniyyah karangan Imam al-Mawardi. Tugas kita sebagai individu adalah mengeluarkan zakat sesuai dengan saranan hadis dan ia satu daripada rukun Islam.

Selain itu, terdapat juga undang-undang berkaitan membayar zakat fitrah yang tidak melalui amil dilantik seperti Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 menyatakan: "Boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan. Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi - (b) enggan membayar atau sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana pihak lain yang diberi kuasa, oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah, adalah melakukan sesuatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya."

Secara kesimpulannya, mengeluarkan zakat fitrah adalah wajib mengikut kadar yang ditetapkan oleh pemerintah yang mempunyai autoriti dalam hal ini.

Seterusnya zakat itu hendaklah dibayar melalui amil atau wakil yang dilantik pemerintah sesuai dengan fatwa dan cara yang pernah dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW dan khalifah selepasnya.

Hal ini kerana urusan mengutip dan mengurus zakat adalah urusan pemerintah dan kita sebagai rakyat wajib patuh pada perintah ulil amri dalam perkara kebaikan.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 7:01 AM