FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman

Allah SWT mensyariatkan zakat sebagai satu daripada ibadat utama dalam Islam dan termasuk dalam Rukun Islam. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, maksudnya: "Islam itu dibangunkan di atas lima perkara iaitu bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah SWT, Nabi Muhammad SAW itu hamba-Nya dan pesuruh-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Makkah serta berpuasa pada Ramadan."

Zakat ibadat yang sangat istimewa kerana memainkan peranan yang penting dalam membangun dan memangkin pertumbuhan ekonomi umat Islam dan berupaya meningkatkan martabat ummah. Zakat kewajipan yang ditentukan Allah SWT kepada Muslimin. Namun, menurut Prof Yusuf al-Qaradawi, pelaksanaan ibadat zakat bukanlah kewajipan individu, akan tetapi kewajipan yang dilaksanakan di bawah pengawasan dan pengurusan pemerintah.

Peranan pemerintah dalam pengurusan dan pentadbiran zakat menjadi elemen yang sangat penting dalam sistem pemerintahan Islam kerana ia berkait rapat dengan usaha meningkatkan kesejahteraan hidup dalam masyarakat serta salah satu sumber kewangan negara.

Dalil jelas yang menunjukkan tugas mengutip dan mengagihkan zakat tanggung jawab pemerintah ialah firman Allah SWT bermaksud: "Ambillah sedekah (zakat) daripada sebahagian harta mereka supaya dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka serta doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah at-Taubah: 103)

Menurut Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya, Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya untuk mengambil zakat daripada harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan mereka melalui zakat. Namun, terdapat sebahagian orang dalam kalangan Arab Badwi yang enggan membayar zakat dengan menganggap pembayaran zakat bukanlah kepada imam atau pemimpin sebaliknya khusus kepada Rasulullah SAW. Pemahaman yang salah ini dijawab dengan tegas oleh Khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan sahabat lain dengan memerangi mereka hingga mereka bersedia membayar zakat kepada khalifah sebagaimana sebelumnya mereka membayar kepada Rasulullah SAW.

Dalam kes ini, Khalifah Abu Bakar RA pernah berkata: "Demi Allah, seandainya mereka membangkang terhadapku dan tidak mahu menunaikan zakat ternak untanya yang biasa mereka tunaikan kepada Rasulullah SAW, sungguh aku benar-benar akan memerangi mereka kerana kengganan tersebut."

Perkataan yang bermaksud 'ambillah' dalam ayat 103 Surah at-Taubah ini juga 'al-amr' atau perintah ditujukan kepada pihak berkuasa supaya memungut zakat daripada orang yang layak mengeluarkan zakat.

Sehubungan itu, menjadi suatu kewajipan kepada pemerintah untuk mengurus, memungut dan mengagihkan zakat. Perkara ini juga dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW ketika mengutus Muaz bin Jabal ke Yaman dan Rasulullah berwasiat kepadanya yang bermaksud: "Apabila mereka patuh kepadamu untuk hal itu 'bersyahadah' maka beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan zakat kepada mereka pada harta mereka, yang diambil daripada orang kaya di antara mereka lalu diagihkan kepada fakir di antara mereka." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, ulama menyatakan bahawa ia dalil yang menunjukkan pemerintah mempunyai hak untuk menguruskan zakat iaitu dengan mengutip serta mengagihkannya sama ada dilakukan oleh pemerintah itu sendiri atau melalui wakilnya seperti memberi tanggung jawab khusus kepada organisasi zakat.

Selain itu, pandangan Imam asy-Syafii juga menyatakan pemimpin wajib mengutip zakat daripada golongan yang cukup syarat untuk mengeluarkannya.

Selain itu, firman Allah SWT: "Sesungguhnya sedekah (zakat itu) hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, amil yang mengurusnya, orang mualaf dijinakkan hatinya, hamba hendak memerdekakan dirinya, orang berhutang dibelanjakan pada jalan Allah dan musafir (yang keputusan wang) dalam perjalanan." (Surah at-Taubah ayat 60)

Berdasarkan ayat ini, al-Kasani menyatakan bahawa seseorang imam atau khalifah berhak memungut zakat, oleh yang demikian disebutkan dengan jelas 'amilin' dalam ayat ini. Tambahan daripada itu, al-Jasas dalam kitab Ahkamul Quran menegaskan orang yang wajib membayar zakat tidak boleh mengagihkan zakatnya sendiri. Al-Qaradawi juga menyatakan fuqaha bersepakat bahawa pemerintah mempunyai hak mengutip dan mengagihkan zakat serta hendaklah mengurusnya secara sistematik lagi tersusun. Hal ini supaya zakat dapat diuruskan dengan efisien serta dapat memastikan disalurkan kepada asnaf yang benar-benar memerlukan. (Rujuk Fiqh al-Zakat al-Qaradawi)

Al-Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmuk Syarah al-Muhazzab juga menyatakan apabila terdapat dalam kalangan masyarakat golongan yang tidak mengetahui kewajipan mengeluarkan zakat atau bersifat bakhil, menjadi wajib atas pemimpin untuk melantik wakil bagi memungutnya.

Justeru, dalam menguruskan pungutan zakat terhadap golongan yang wajib berzakat (muzakki) dan harta yang wajib diberikan zakat, kerajaan akan melantik petugas zakat ataupun amil bagi mengutip seterusnya mengagihkan dana zakat kepada asnaf yang berhak (mustahik).

Antara hikmah sistem urus tadbir zakat dilaksanakan oleh pihak berkuasa atau pemerintah adalah seperti berikut:

Pertama: Golongan fakir yang berhak menerima zakat akan berasa lebih selesa dan terpelihara air muka mereka daripada berasa malu untuk meminta serta menerima bantuan zakat daripada pemerintah. Ini berbeza apabila mendapatkan simpati secara terus daripada mana-mana pihak atau individu tertentu.

Kedua: Kaedah agihan zakat institusi yang ditubuhkan pemerintah lebih bersifat menyeluruh dan sama rata daripada segi pembahagian zakat diterima oleh asnaf. Seseorang individu yang kaya mungkin tidak mampu secara persendirian untuk mengenal pasti dan mengagihkan dana zakat dengan nilaian sama kepada penerima zakat.

Ketiga: Sesungguhnya harta zakat yang diberikan secara persendirian dan tidak melalui badan ditubuhkan pemerintah hanya akan terarah kepada beberapa golongan tertentu seperti individu fakir, miskin atau ibnu sabil (musafir). Sebaliknya, falsafah pungutan dan agihan zakat akan lebih bersifat menyeluruh jika dilaksanakan oleh institusi pungutan zakat sesebuah negara dengan menyasarkan kepada semua asnaf yang memerlukan bersesuaian dengan kemaslahatan umat Islam secara kolektif.

Keempat: Sesungguhnya Islam adalah agama yang tidak dapat dipisahkan daripada sistem pemerintahan syumul. Islam bertentangan dengan ideologi sekularisme yang memisahkan agama daripada institusi pemerintahan sesebuah negara. Dengan demikian untuk mengukuhkan lagi sistem pemerintahan dan pentadbiran Islam, institusi zakat adalah aset terpenting bagi memenuhi keperluan negara khasnya yang berkaitan aset kewangan serta harta sesebuah negara.

Kelima: Zaman Rasulullah SAW dan sahabat khususnya pada era Khulafa ar-Rasyidin adalah contoh terbaik bagaimana urusan zakat dikendalikan pemerintah. Saidina Abu Bakar RA memerangi golongan yang ingkar mengeluarkan zakat selepas kewafatan Rasulullah SAW. Selain itu, sekumpulan amil atau petugas zakat dilantik bagi mengendalikan urusan pemungutan dan pengagihan zakat kepada para asnaf.

Keenam: Kaedah dan mekanisme pungutan dan pengagihan zakat melalui badan mengurus zakat yang diwujudkan oleh pemerintah dapat memudahkan umat Islam untuk melaksanakan ibadat itu dan ekonomi umat Islam seterusnya negara dapat dipertingkatkan.

Mengikut undang-undang di Malaysia, kuasa memungut dan mengagihkan zakat diletakkan di bawah kuasa negeri. Tugas itu dijalankan oleh Majlis Agama Islam Negeri (Main). Justeru, tindakan mengagihkan sendiri zakat tanpa melalui wakil yang dilantik pemerintah adalah melanggar undang-undang dan boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76 yang berlangsung pada 2006 juga menetapkan bahawa mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui Baitulmal adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak.

Bagaimanapun, perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang dalam perkara kebaikan seperti ini adalah berdosa. Hal ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk patuh dan taat kepada pemerintah (ulil amri) pada perkara yang membawa kebaikan.

Penulis Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 6:00 AM