ZAKAT fitrah perlu dilunaskan untuk menjamin kesempurnaan ibadah puasa seseorang sekali gus menyucikan jiwa pengeluar zakat itu.
ZAKAT fitrah perlu dilunaskan untuk menjamin kesempurnaan ibadah puasa seseorang sekali gus menyucikan jiwa pengeluar zakat itu.
Amirulhakim Ahmad Nadzri

Mereka yang bergelar Muslim apabila disebut Ramadan, perkara pertama terlintas dalam benak fikiran adalah berkaitan satu daripada Rukun Islam iaitu kewajipan berpuasa pada sepanjang bulan itu.

Namun, terdapat satu lagi Rukun Islam yang wajib ditunaikan pada Ramadan iaitu mengeluarkan zakat. Mengeluarkan zakat di sini merujuk kepada zakat fitrah (zakat badaniyyah).

Zakat fitrah adalah fardu ain yang wajib dilaksanakan pada Ramadan bertujuan membersih dan menyucikan jiwa golongan berpuasa daripada perkara sia-sia dan seterusnya bayaran fitrah itu dapat digunakan untuk membantu fakir serta miskin membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Kewajipan mengeluarkan zakat fitrah ini adalah berdasarkan hadis baginda Rasulullah SAW yang dinyatakan oleh Ibnu Umar RA bermaksud: "Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada setiap Ramadan kepada umat Islam iaitu sebanyak satu saa' (gantang) gandum. Kewajipan itu dikenakan pada keseluruhan orang Islam, merdeka ataupun hamba, lelaki ataupun wanita." (Hadis Riwayat Muslim)

Daripada hadis ini, dinyatakan satu gantang gandum untuk bayaran zakat fitrah, namun dalam konteks Malaysia yang makanan asasi adalah beras, ia dikira segantang beras dan berat segantang (gantang Baghdad) adalah 2.7 kilogram. Fatwa di negeri dalam Malaysia menyatakan bahawa bayaran zakat fitrah dalam bentuk nilai daripada makanan asasi yang dominan dimakan oleh individu.

Adapun syarat wajib mengeluarkan zakat fitrah yang pertamanya adalah Islam. Hal ini bermaksud orang bukan Islam tidak diwajibkan membayar zakat fitrah.

Syarat yang kedua adalah hidup dalam dua bulan iaitu Ramadan dan Syawal. Oleh itu, zakat fitrah tidak diwajibkan kepada situasi berikut:

a) Orang yang mati sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadan.

b) Anak yang lahir selepas terbenam matahari akhir Ramadan.

c) Orang yang memeluk agama Islam sesudah terbenam matahari pada akhir Ramadan

d) Tanggungan isteri yang dinikahi selepas terbenam matahari pada akhir Ramadan

Dalam pembahagian masa atau waktu menunaikannya pula terdapat lima pembahagian, pertama ialah waktu harus. Waktu ini bermula dari awal Ramadan sehingga akhir Ramadan. Kedua, waktu wajib iaitu selepas terbenam matahari pada akhir Ramadan. Ketiga, waktu afdhal iaitu selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadan sehingga sebelum mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Keempat, waktu makruh iaitu selepas solat sunat Aidilfitri sehingga sebelum terbenam matahari dan yang terakhir waktu haram iaitu selepas terbenam matahari pada Aidilfitri.

Apabila kita mengeluarkan zakat fitrah ini, ia menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Seterusnya akan terhakislah rasa tamak haloba dalam diri. Akan tersingkaplah tirai kesombongan, diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi harta serta rasa.

Kesimpulannya, Ramadan bukan sahaja difardukan untuk umat Islam berpuasa, malah terdapat kefarduan lain iaitu mengeluarkan zakat fitrah. Ia perlu dilunaskan untuk menjamin kesempurnaan ibadah puasa seseorang sekali gus menyucikan jiwa pengeluar zakat sepertimana firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud: "Ambillah zakat sebahagian daripada harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka serta berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu ketenteraman jiwa mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 6:00 AM