ANTARA perkara yang perlu dititikberatkan untuk mengubah paradigma manusia sekali gus menaikkan kualiti ketamadunan adalah menyuburkan dunia pendidikan.
ANTARA perkara yang perlu dititikberatkan untuk mengubah paradigma manusia sekali gus menaikkan kualiti ketamadunan adalah menyuburkan dunia pendidikan.
Amirulhakim Ahmad Nadzri

SESUNGGUHNYA sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, miskin, amil yang mengurusnya, mualaf yang dijinakkan hatinya, hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, golongan musafir (yang terputus) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana" Surah at-Taubah ayat 60

Islam agama yang menitikberatkan kebajikan umatnya dalam setiap lapangan kehidupan bagi memastikan keharmonian dan keamanan dalam kehidupan.

Antara bukti yang menunjukkan Islam menitikberatkan kebajikan adalah dengan mewajibkan penganutnya mengeluarkan zakat bagi mereka yang memenuhi syaratnya untuk membantu golongan yang memerlukan pembelaan dan seterusnya menjamin kemakmuran dalam masyarakat.

Pada dasarnya zakat adalah rukun Islam yang keempat yang ia bukan hanya berkonsepkan hablum min Allah (hubungan dengan Allah) semata-mata, bahkan ia berkonsepkan kepada hablum min an-Nas (hubungan sesama manusia) yang dengannya dapat membawa kepada ketamadunan mausia.

Harta zakat ini dipungut daripada individu yang berkelayakan untuk mengeluarkan zakat. Hal ini kerana Islam tidak memberatkan penganutnya supaya mengeluarkan zakat daripada semua harta yang diperoleh, sebaliknya hanya harta tertentu diwajibkan.

Setelah harta zakat dipungut, harta berkenaanakan diagihkan kepada golongan tertentu yang dikenali sebagai asnaf zakat yang ditetapkan di dalam al-Quran iaitu dalam Surah at-Taubah ayat 60 yang bermaksud: "Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, miskin, amil yang mengurusnya, mualaf yang dijinakkan hatinya, hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, golongan musafir (yang terputus) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

Harta zakat tidak boleh dibahagikan secara sesuka hati, tetapi perlu mengikut ketetapan yang dinyatakan. Dalam pengagihan zakat pada masa kini, perlu dilihat kepada pelbagai aspek dan maslahah yang dihadapi. Hal ini supaya zakat yang diagihkan dapat dimaksimumkan penggunaan oleh penerimanya untuk menampung kehidupan seharian penerima. Bahkan adalah lebih besar lagi, bantuan yang diterima itu bukan sahaja mencukupkan pendapatan semata-mata, sebaliknya dapat meningkatkan produktiviti penerima untuk jangka masa panjang. Maka dengan itu, menjadi tanggungjawab bagi umat Islam amnya dan institusi pentadbiran zakat khasnya untuk menjalankan kaedah terbaik dalam kaedah pengagihan zakat agar pihak yang menerimanya dapat mengubah paradigma kehidupan mereka.

Salah satu perkara yang perlu dititikberatkan untuk mengubah paradigma manusia sekali gus menaikkan kualiti ketamadunan adalah menyuburkan dunia pendidikan. Untuk menjayakan perkara ini, peranan zakat dapat dimainkan dengan menyediakan skim bantuan zakat oleh institusi pentadbiran zakat bagi golongan asnaf yang sememangnya tidak mampu untuk 'berlari' di dunia pendidikan ini jika tiada suntikan daripada pihak lain.

Dalam konteks Malaysia, pentadbiran zakat adalah di bawah bidang kuasa dan tanggungawab negeri yang skim agihan zakat ini disediakan mengikut kesesuaian serta maslahah negeri masing-masing. Kebanyakan institusi pentadbiran zakat di negeri di Malaysia menyediakan skim bantuan pendidikan kepada asnaf sama ada tergolong di bawah asnaf fakir, miskin, fisabilillah dan mualaf. Sebagai contoh di Selangor, terdapat skim bantuan pendidikan seperti bantuan yuran sekolah rendah dan menengah, biasiswa pelajaran, elaun kehadiran kelas agama asas, bantuan umum pelajaran dalam serta luar negara. Contoh lain juga terdapat bantuan pendidikan di Perak seperti bantuan am pelajaran, biasiswa fi sabilillah untuk pelajar ke luar negara, bantuan persekolahan dan sebagainya.

Dengan adanya bantuan pendidikan seperti ini, dapat menyuburkan dunia pendidikan yang semua penerima manfaatnya adalah umat Islam. Adalah amat rugi jika umat Islam yang mempunyai bakat dan minat dalam menuntut ilmu tidak dibantu. Kita sebagai umat Islam perlu menyokong usaha yang dimainkan oleh institusi pentadbiran zakat ini bagi membantu asnaf dalam dunia pendidikan. Hal ini kerana umat Islam mempunyai kewajipan mengeluarkan zakat, namun kita perlu membayar zakat kepada institusi zakat yang disusun oleh pemerintah di peringkat negeri.

Jika kita tidak membayar zakat pada saluran yang betul, proses ini tidak akan dapat terlaksana. Oleh kerana itu, ada ulama menganjurkan bahkan mewajibkan membayar zakat kepada pemerintah seperti yang pernah dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu' Syarah Muhazzab yang bermaksud: "Jika pemerintah memungut zakat harta yang zahir wajib diserahkan kepadanya tanpa khilaf tanpa ada perselisishan pendapat dalam kalangan ulama sebagai tanda ketaatan dan jika mereka (rakyat) enggan maka pemerintah boleh memerangi mereka. Meskipun mereka rela mengeluarkan (zakat) dengan sendiri kerana mereka telah meluputkan/mensia-siakan arahan pemerintah."

Sebagai kesimpulannya di sini, kita sebagai orang awam perlu sedar akan kewajipan mengeluarkan zakat kerana ia satu daripada rukun Islam. Zakat itu perlulah diserah kepada pentadbir zakat yang dilantik supaya membolehkan dana zakat ini diagihkan kepada asnaf yang layak terutama dalam bantuan pendidikan. Barulah di sini zakat itu sendiri berperanan dalam menyuburkan dunia pendidikan.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 9:34 AM