FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Datuk Mohd Ajib Ismail

Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Begitulah sebuah kehidupan yang diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 185 yang bermaksud: "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya". Tiada siapapun yang dapat mengelak dan melarikan diri daripada kematian walaupun cuba bersembunyi atau melakukan pelbagai ikhtiar dengan harapan untuk hidup selama-lamannya. Firman Allah dalam surah al-Nisa' ayat 78 yang bermaksud: "Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh."

Kematian boleh tiba pada bila-bila masa, di mana-mana jua berada sama ada ketika sudah bersedia mahupun sedang terleka. Allah SWT memberikan peringatan melalui firman-Nya dalam surah al-A'raf ayat 34 yang bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan."

Ada kalanya kita mendengar tentang berita kematian secara mengejut yang melibatkan sanak saudara, rakan sekerja, mahupun jiran tetangga. Sebahagiannya kelihatan sihat dari segi fizikal tubuh badan, muda dari segi usia, namun tidak disangka-sangka ajal datang menjemput tiba. Suatu kajian oleh pakar perubatan pernah mendedahkan bahawa masalah jantung menyumbang sebanyak 70 hingga 80 peratus kematian mengejut di Malaysia, bagi semua kelompok umur sekali gus menjadi antara punca utama kematian mengejut dalam kalangan orang muda.

Pelbagai situasi dan asbab kematian direkodkan seperti sakit, kemalangan dan bencana alam. Ajaran Islam menyifatkan kategori kematian yang disebabkan oleh wabak pandemik dan penyakit di dalam perut sebagai mati syahid. Begitu juga kematian yang disebabkan mati tenggelam, tertimpa benda keras dan mati terbakar. Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah." (Riwayat al-Bukhari)

Walau apapun situasi dan punca kematian, umat Islam mendambakan sebuah pengakhiran kehidupan dalam keadaan yang baik dan diredai oleh Allah SWT ataupun disebut sebagai husnul khatimah. Mati dalam keadaan beriman adalah menepati maksud husnul khatimah seperti firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 102 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam."

Manakala tanda-tanda husnul khatimah adalah seperti sempat mengucap kalimah syahadah dan meninggal dunia ketika melakukan amal soleh. Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa mengucapkan laa ilaha illallah kerana mencari wajah (pahala) Allah kemudian amalnya ditutup dengannya, maka ia masuk syurga. Barang siapa berpuasa karena mencari wajah Allah kemudian amalnya diakhiri dengannya, maka ia masuk syurga. Barang siapa bersedekah kemudian itu menjadi amalan terakhirnya, maka ia masuk syurga." (Riwayat Ahmad)

Banyak kisah-kisah kematian dalam keadaan yang mulia seringkali didengar seperti mati ketika sedang menunaikan solat dan menyampaikan kuliah dan tazkirah agama.

Sebaliknya kematian su'ul khatimah pula disifatkan sebagai pengakhiran kehidupan yang buruk seperti meninggal dalam keadaan melakukan maksiat, kufur atau menyimpang daripada ajaran Islam. Su'ul khatimah dapat menutup pintu taubat dan keampunan daripada Allah SWT serta menyebabkan seseorang menerima balasan siksaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT dalam surah As-Sajdah ayat 21 yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit daripada azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat."

Justeru ajaran Islam sering mengingatkan agar setiap muslim menyegerakan amalan bertaubat atas dosa-dosa yang dilakukan sebelum tiba waktu penyesalan yang tidak berguna lagi sebagaimana sabda RasulullahSAW yang bermaksud: "Sesiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum datangnya Al-Ghargharah, maka Allah akan menerima taubatnya." (Riwayat al-Hakim)

Baru-baru ini negara sekali lagi digemparkan dengan tragedi menyayat hati iaitu pesawat terhempas di Bandar Elmina yang menyebabkan 10 nyawa terkorban. Tiada yang lebih sedih dan pilu buat ahli keluarga mangsa nahas tersebut apabila menerima berita tentang kematian insan tersayang. Lapan orang mangsa dikenal pasti sebagai penumpang dan kru pesawat serta dua orang awam iaitu pemandu grab dan e-hailing yang kebetulan berada di lokasi.

Dalam hal ini, sebahagian ulama menegaskan orang yang meninggal dunia ketika keluar mencari nafkah berada dalam golongan yang mendapat syahid di akhirat iaitu mendapat ganjaran syahid di akhirat kelak. Perbuatan keluar bekerja mencari rezeki adalah suatu amal soleh yang amat dituntut oleh ajaran Islam dan menjadi salah satu daripada cabang jihad iaitu berusaha mencari nafkah yang halal untuk menyara ahli keluarga demi meneruskan kelangsungan hidup.

Walau bagaimanapun jenazah mereka tetap dimandikan, disolatkan dan dikafankan seperti biasa. Namun terdapat pengecualian dan kelonggaran (rukhsoh) yang ditetapkan misalnya melalui kaedah renjisan atau melalukan air ke atas jenazah atau cebisan mayat bagi keadaan jenazah yang tidak sempurna. Bahkan jika penggunaan air dikhuatiri mengakibatkan kerosakan atau terputus jenazah, kaedah tayamum boleh dilaksanakan. Pelbagai pihak menyaksikan dan menceritakan tentang amalan kebaikan yang telah ditinggalkan oleh mangsa-mangsa yang terkorban sepanjang hayat mereka. Marilah kita mendoakan keampunan dan kerahmatan serta diberikan ketabahan kepada ahli keluarga dalam menghadapi ujian yang berat.

Ajaran Islam menganjurkan agar berdoa supaya dikurniakan kesudahan dan pengakhiran kehidupan yang mulia dan diredai oleh Allah serta diajuhkan daripada azab siksaan neraka sebagaimana maksud doa yang sering dibacakan selepas selesai solat yang bermaksud: "Ya Allah akhirilah hidup kami dengan husnul khatimah dan janganlah engkau akhiri hidup kami dengan su'ul khatimah". Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 201 yang bermaksud: "Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 6:00 AM