Anggota Tentera membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir Taman Sri Muda. FOTO OSMAN ADNAN
Anggota Tentera membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir Taman Sri Muda. FOTO OSMAN ADNAN
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Musibah banjir yang melanda negara minggu ini meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada seluruh anggota masyarakat. Banjir yang datang secara mengejut selepas hujan lebat dalam tempoh yang lama menyebabkan paras air sungai meningkat dan melimpah ke tempat rendah.

Dalam keadaan yang tidak dijangka ini, ramai yang terkandas di kediaman dan ada turut berada dalam kenderaan di jalan raya.

Akhirnya selepas beberapa hari, air mulai surut dan menampakkan kesan yang sangat menyedihkan. Namun, di sebalik kesan banjir itu, lebih menyedihkan adalah angka korban banjir semakin meningkat.

Kematian di sebabkan lemas ini satu kematian yang baik. Ini berdasarkan hadis daripada baginda Nabi SAW yang bermaksud: "Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal kerana penyakit taun, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh dari bangunan atau tebing dan syahid di jalan Allah." Hadis Riwayat al-Bukhari

Selain kematian tenggelam atau lemas ini, ada beberapa kematian lain digambarkan sebagai kematian yang baik. Kematian yang baik ini impian bagi semua manusia khususnya Muslim. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji serta menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat)." Surah al-Mulk ayat 2

Maka apabila dilihat kepada tujuan hidup manusia, pasti kita sedar kehidupan manusia hanyalah persinggahan sementara bagi menanam benih untuk dituai di akhirat kelak.

Di antara kematian baik sebagaimana sabda Nabi SAW adalah melafazkan syahadat sebelum meninggal dunia. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: "Barangsiapa yang akhir perkataannya 'Tiada tuhan melainkan Allah', nescaya dia akan memasuki syurga."

Kita sering mendengar, jika seseorang itu meninggal pada Khamis atau Jumaat, kematian mereka itu adalah baik. Adalah benar? Terdapat hadis daripada Baginda Nabi SAW bermaksud: "Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali Allah SWT akan melindunginya daripada fitnah kubur." Hadis Riwayat at-Tirmizi

Selain itu, digambarkan juga keadaan seseorang apabila berada dalam saat kematian dengan peluh jernih mulai keluar pada dahi. Gambaran ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Tanda kematian bagi seorang Mukmin ialah dengan berpeluh dahinya." Hadis Riwayat at-Tirmizi

Situasi ini berlaku kepada mereka yang sebenar-benar mentaati perintah Allah SWT sama ada dalam keadaan terang atau tersembunyi. Mereka beramal soleh dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala bentuk larangan-Nya. Manusia khususnya berada pada akhir zaman ini akan banyak 'dihidangkan' dengan cabaran kehidupan yang turut melibatkan perkembangan teknologi. Hasilnya, ia akan menjadi sebahagian daripada ujian besar bagi mempersiapkan manusia untuk bertemu Allah SWT kelak.

Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Jika Allah SWT menginginkan kebaikan terhadap hamba-Nya maka Allah SWT menjadikannya sentiasa melakukan amal. Sahabat RAnhum bertanya, "Bagaimana dia menjadikannya sentiasa melakukan amal?". Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT akan memberikan taufik kepadanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya." Hadis Riwayat at-Tirmizi

Pada ketika ini, apabila Allah menggerakkan hati untuk kita membantu mangsa banjir, hulurkanlah bantuan sama ada melalui tenaga, kewangan, makanan, pakaian dan lainnya. Selain itu, bantuan yang paling besar adalah sentiasa mendoakan kesejahteraan buat mereka.

Sekiranya seseorang itu meninggal dalam keadaan membantu orang lain, mempermudahkan urusan orang lain, bersedekah bagi memberi kesejahteraan orang lain, ia termasuk di dalam kematian yang baik. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barangsiapa yang mengucap 'Laa ilaaha illallah' ikhlas kerana mencari keredaan Allah SWT dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barangsiapa yang berpuasa pada suatu hari kerana ingin mencari keredaan Allah SWT dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barangsiapa yang bersedekah ikhlas kerana Allah SWT kemudian dia meninggal dunia maka dia akan masuk syurga." Hadis Riwayat Ahmad

Kematian akan datang pada saat dan ketika yang dijanjikan oleh Allah SWT. Tidak akan cepat dan lambat walaupun sesaat.

Allah SWT berfirman, maksudnya: "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terperdaya." Surah Ali Imran ayat 185

Nabi SAW menganjurkan kepada kita untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dimatikan dalam keadaan yang baik. Baginda bersabda maksudnya: "Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan 'husnul khatimah' dan janganlah kamu matikan kami dalam keadaan 'su'ul khatimah'."

Oleh itu, sebagai manusia yang pasti akan mati, bersedialah untuk menghadapi saat berkenaan. Mereka yang muda jangan yakin mampu sampai ke usia tua dan yang tua jangan yakin esok masih ada kerana itulah hakikat kiamat kecil manusia.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 6:00 AM