PENGAKHIRAN kehidupan yang baik atau husnul khatimah menjadi impian dan dambaan bagi orang yang beriman.
PENGAKHIRAN kehidupan yang baik atau husnul khatimah menjadi impian dan dambaan bagi orang yang beriman.
Datuk Mohd Ajib Ismail

DUNIA hanyalah tempat persinggahan yang bersifat sementara, manakala akhirat adalah destinasi yang kekal abadi. Kemasyhuran, kedudukan dan kekayaan yang dimiliki di dunia bukanlah jaminan pengakhiran yang baik dalam perjalanan kehidupan seseorang insan. Segelintir manusia tidak dikenali ramai, tidak mempunyai sebarang gelaran, menjalani kehidupan biasa seperti kebanyakan insan lain, namun mengakhiri kehidupannya dengan kisah luar biasa tentang kebaikan dirinya yang ditinggalkan.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Hadid ayat 20 yang bermaksud: "Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan daripada Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

Justeru pengakhiran kehidupan yang baik atau husnul khatimah sentiasa menjadi impian dan dambaan bagi setiap orang yang beriman.

Nabi Muhammad SAW pernah berdoa agar diwafatkan dalam keadaan atau kesudahan hidup yang baik sebagaimana hadis daripada Busr bin Arthoh berkata, aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan siksaan hidup di akhirat." (Riwayat Ibn Hibban)

Syarat utama untuk mendapatkan husnul khatimah ialah mati dalam keadaan menganut agama Islam, beriman kepada Allah SWT dan melafazkan syahadah sebelum meninggal dunia.

Antara tanda-tanda husnul khatimah berdasarkan hadis yang sahih adalah sempat melafazkan kalimah syahadah sebelum meninggal dunia, meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat, meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahi, diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah SWT beramal soleh sebelum meninggal dunia, berasa gembira dan senang hati untuk bertemu dengan Allah SWT, meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut dan wabak, meninggal dunia dalam keadaan lemas tenggelam, jatuh bangunan dan syahid di jalan Allah SWT, meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak, mempertahankan harta dan maruah diri dan meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amal soleh. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang mengucap 'La ilaaha illallah' ikhlas kerana mencari keredaan Allah SWT dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barangsiapa yang berpuasa pada suatu hari kerana ingin mencari keredaan Allah SWT dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barangsiapa yang bersedekah ikhlas kerana Allah SWT kemudian dia meninggal dunia, maka dia akan masuk syurga." (Riwayat Ahmad)

Sebagai seorang Muslim, kita diingatkan agar berusaha melakukan amal kebaikan setiap masa kerana kematian datang tanpa mengira waktu. Antara amalan yang mesti dipelihara sentiasa ialah mendirikan dan memelihara solat, mengerjakan amal soleh dengan ikhlas kerana Allah SWT, menggunakan waktu sebaik-baiknya dengan perkara yang bermanfaat, tidak meremehkan dosa kecil yang dilakukan serta sentiasa berzikir dan mengingati Allah pada setiap masa.

Firman Allah di dalam surah Ali 'Imran ayat 135 yang bermaksud: "Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)."

Dalam sebuah hadis riwayat Anas bin Malik RA, beliau berkata maksudnya: "Suatu ketika para sahabat melewati jenazah yang diangkat menuju pemakamannya, merekapun memuji jenazah ini. Kemudian Nabi SAW bersabda: 'Telah wajib (baginya syurga)'.  Kemudian mereka melewati jenazah lain, maka mereka pun memberikan penilaian buruk, maka Rasulullah SAW bersabda: 'Telah wajib (baginya neraka)'. Maka Umar bin Khattab RA bertanya: 'Apanya yang wajib?' Jawab Nabi SAW: 'Jenazah pertama kalian puji dengan kebaikan, maka dia mendapat syurga. Jenazah kedua kalian cela, maka dia mendapatkan neraka. Kalian adalah saksi Allah di muka bumi." (Riwayat al-Bukhari).

Bagi setiap Muslim yang meninggal dunia, Allah memberikan ilham kepada manusia dan majoritinya untuk memberikan pujian kepadanya, itu adalah petanda bahawa dia adalah penduduk syurga, baik pujian tersebut benar ada padanya atau tidak. Jika memang tidak ada padanya, maka tidak dipastikan mendapatkan hukuman. Namun, ia tetap berada di bawah kehendak Allah. Jika Allah mengilhamkan kepada manusia untuk memujinya, maka itu tanda bahawa Allah menghendaki padanya mendapat keampunan. (Syarh al-Nawawi 'ala Muslim)

Saban waktu kita mendengar berita kematian dengan kisah pengakhiran baik yang dimuliakan. Sesungguhnya perkara tersebut menjadi inspirasi kita memperbaiki diri serta mengambil iktibar daripada kebajikan yang dilakukan. Masih belum terlewat untuk kita meneladani amalan kebaikan yang telah dilakukan oleh mereka yang dikurniakan kematian husnul khatimah dengan berusaha menjadi anak, suami, isteri dan insan yang soleh dan solehah. Marilah kita berdoa agar Allah SWT menganugerahkan pengakhiran hidup ini dengan sebaik-baik kesudahan di dalam iman dan Islam serta tidak mengakhirinya dengan seburuk-buruk kesudahan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 5:59 AM