SETIAP muslim disarankan sentiasa berdoa mendapat kesudahan yang baik dalam kehidupan.
SETIAP muslim disarankan sentiasa berdoa mendapat kesudahan yang baik dalam kehidupan.

SABAN hari kita mendengar berita kematian. Ketika negara dilanda wabak Covid-19, sehingga detik artikel ini ditulis, 63 kes kematian akibat jangkitan ini dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kematian hakikatnya adalah lumrah kehidupan dan rahsia Allah SWT yang tiada siapa pun mengetahuinya. Asbab kematian itu pula berbeza-beza, tanpa mengira latar belakang dan usia.

Kematian boleh jadi membabitkan ahli keluarga kita, saudara-mara dan rakan taulan. Baru-baru ini kita juga dikejutkan dengan pemergian pendakwah, Ustazah Shadiya Abbas yang banyak terbabit dalam kerja dakwah di Malaysia.

Perkhabaran mengenai kematian menjadikan ia terasa semakin hampir dengan kita. Tidak ada sesiapa pun yang boleh melarikan diri daripada kematian. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Jumu’ah ayat 8 bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu lakukan (serta membalasnya).’”

Sebagai seorang Muslim, apabila mendengar berita kematian, kita dianjurkan mengucapkan takziah, berpesan dengan kesabaran dan mendoakan, menguruskan jenazah, mengiringi ke perkuburan serta meringankan beban ahli keluarga si mati.

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Buatkan untuk keluarga Ja’far makanan yang sesungguhnya sesuatu (musibah kematian) menimpa mereka dan menyibukkan mereka.” Riwayat Abu Daud, No 3132

Mengingati kematian adalah tuntutan agama. Hikmah mengingati kematian adalah agar kita dapat mempersiapkan diri dengan amal soleh dan memperbaiki kualiti amalan selaras tuntutan syariat.

Oleh itu, seseorang yang mengingati kematian akan menyegerakan amal kebajikan dan mencegah diri daripada melakukan perbuatan maksiat.

Terdapat sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang menyifatkan manusia mengingati kematian sebagai manusia cerdik. Daripada Abu Ya’la Syaddad bin Aus RA daripada Nabi SAW bersabda bermaksud, “Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang lemah (imannya) adalah mereka yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya).” Hadis riwayat at-Tirmizi, No 2459

Mereka yang menyedari betapa dekatnya jarak antara dirinya dengan kematian, akal dan mindanya akan segera menyuruh untuk bersegera berbuat baik, memperbanyakkan zikir dan memberikan manfaat dalam kehidupan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Perbanyaklah mengingat sesuatu yang melenyapkan semua kenikmatan iaitu kematian.” Hadis riwayat at-Tirmizi

Bagaimanapun, mengingati kematian bukanlah melemahkan semangat untuk hidup, bahkan menjadikan kita berusaha menjalani kehidupan sebagai Muslim yang lebih baik.

Setiap muslim disarankan sentiasa berdoa mendapat kesudahan yang baik dalam kehidupan. Keadaan kematian yang husnul khatimah atau su’ul khatimah menjadi nilaian sebenar di sisi Allah SWT pada saat akhir amalan dilakukan dalam kehidupan.

Oleh itu, berdoa mendapat husnul khatimah bertepatan dengan maksud hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami dan lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia serta siksaan hidup di akhirat.” Hadis Riwayat Ibn Hibban, No 949

Dalam konteks kematian akibat wabak Covid-19 misalnya, laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu artikel yang diterbitkan pada 27 Mac 2020 menyatakan, “Kami menyimpulkan bahawa sesiapa yang meninggal dunia kerana wabak Covid-19 ini dianggap sebagai mati syahid sebagaimana yang telah difahami daripada hadis-hadis yang sahih. Namun, syahid yang dimaksudkan di sini ialah syahid akhirat iaitu mendapat pahala syahid di hari akhirat kelak.”

Marilah kita semua mendoakan kesejahteraan kepada mereka yang terlebih dahulu meninggalkan kita dan mempersiapkan diri bagi menghadapi saat kematian. Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 18 bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat serta memerhatikan apa yang dia sediakan (daripada amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 7:30 AM