GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Datuk Mohd Ajib Ismail

Menyingkap beberapa lembaran penting dalam catatan sejarah umat Islam, penularan budaya fitnah dilihat berlaku dalam masyarakat sehingga sering menggugat keharmonian ummah. Peristiwa golongan munafik yang menuduh Saidatina Aisyah RA melakukan zina sehingga menimbulkan kekecohan dalam masyarakat di Madinah lalu Allah SWT menurunkan wahyu yang membersihkan kedudukan Aisyah RA daripada tuduhan keji dan jahat. Allah SWT memberikan amaran tentang bahaya perbuatan fitnah melalui firman-Nya dalam al-Quran surah al-Nur ayat 11-12 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan daripada kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat). Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata."

Begitu juga peristiwa pembunuhan Saidina Uthman bin Affan RA yang membawa kepada beberapa siri peperangan sesama umat Islam pada zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib RA. Selain itu, al-Quran turut merakamkan peristiwa Nabi Yusuf AS yang menjadi mangsa fitnah sebagaimana dinyatakan di dalam surah Yusuf ayat 23-29 yang menceritakan baginda cuba digoda Zulaikha iaitu isteri pembesar Mesir untuk melakukan perbuatan yang dilarang kerana wanita tersebut terpukau dengan ketampanan rupa paras baginda. Namun kebenaran akhirnya terungkai bersandarkan bukti keadaan baju Nabi Yusuf AS yang terkoyak di bahagian belakang yang menjadi petunjuk bahawa baginda tidak bersalah.

Pada zaman mutakhir ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk membezakan antara pihak yang benar dan yang salah. Situasi tersebut bertambah parah dengan kemunculan platform media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, Telegram, TikTok dan pelbagai lagi yang membuka lebih banyak ruang kepada penyebaran fitnah. Perbuatan fitnah boleh berlaku apabila seseorang mereka-reka sesuatu berita dan menyebarkannya dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah pihak lain. Fitnah juga boleh terjadi apabila kita menerima berita tentang sesuatu perkara tanpa memastikan kesahihannya kemudian menyebarkannya sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan ataupun tidak.

Pada era media sosial menguasai hampir segenap urusan kehidupan, kandungan berita mudah dieksploitasi sehingga menjadi tular dan cepat tersebar dalam kalangan masyarakat. Sedangkan isu-isu tersebut mungkin dalam bentuk petikan kenyataan dan pandangan yang tidak disiarkan sepenuhnya, rakaman video yang tidak menggambarkan situasi sebenar ataupun berita tentang perbuatan buruk yang benar-benar dilakukan. Bahan-bahan tersebut kemudian dikongsikan dan ditonton oleh segenap lapisan masyarakat.

Justeru setiap warga masyarakat mesti menginsafi tanggungjawab masing-masing dalam memastikan sumber berita yang sahih, tidak menyebarkan berita yang membuka keaiban mana-mana pihak sebaliknya menjadi agen dalam menyebarkan berita yang memberikan suluhan dan pencerahan kepada ummah, menyubur keharmonian bukannya mencetuskan kekeliruan dan memecahbelahkan.

Islam mengingatkan supaya menjauhi fitnah, menghina orang lain dan mengadu domba iaitu melagakan seseorang atau kumpulan dengan yang lain. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas'ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah aku ceritakan kepada kamu apa itu al'adhhu? Itulah namimah, perbuatan menyebarkan berita untuk merosakkan hubungan antara sesama manusia." (Riwayat Muslim). Sebarang perkhabaran yang tidak benar tentang seseorang atau sesuatu perkara pasti mengundang permusuhan dan perselisihan. Justeru umat Islam mesti berhati-hati ketika menerima berita dengan cara meneliti dan mendapatkan bukti mengenai sesuatu tuduhan berkaitan peribadi seseorang. Adab bertabayyun perlu diamalkan agar tidak terjerumus dalam budaya fitnah serta mengelakkan diri daripada mendengar atau membaca berita yang membicarakan keaiban orang lain. Islam amat menitikberatkan agar sentiasa bersangka baik dan cermat sebelum membuat kesimpulan tentang sesuatu perkhabaran. Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Allah SWT melarang berprasangka buruk terhadap saudara Muslim yang lain. Sifat berprasangka buruk akan mengheret kepada tabiat mengumpat dan mencerca. Firman Allah di dalam surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."

Generasi kini lebih banyak berinteraksi di alam maya dan terdedah dengan pelbagai berita dan maklumat. Sekiranya tidak dipandu dengan asas ilmu yang betul masyarakat akan terjerumus dalam budaya fitnah yang berleluasa sehingga melabelkan seseorang atau kumpulan dengan pelbagai tuduhan. Kebebasan memberikan pandangan di ruang maya juga kadangkala mempertajamkan perselisihan sehingga membawa kepada keretakan hubungan persaudaraan Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 46 yang bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar."

Setiap individu perlu menyedari bahawa semua umat Islam adalah bersaudara dan asas utamanya adalah ketakwaan kepada Allah SWT. Justeru, hanya generasi yang bertakwa sahaja mampu memimpin umat untuk bersama-sama menjiwai semangat kesatuan yang amat diperlukan dalam masyarakat. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 7:02 AM