SEGALA kejadian alam yang berlaku bukanlah semata-mata untuk direnungkan, sebaliknya mengajak umat manusia untuk bertadabbur iaitu berfikir.
SEGALA kejadian alam yang berlaku bukanlah semata-mata untuk direnungkan, sebaliknya mengajak umat manusia untuk bertadabbur iaitu berfikir.
Datuk Mohd Ajib Ismail

MUTAKHIR ini pelbagai kejadian dan fenomena alam yang berlaku mengejutkan dan menarik perhatian orang ramai seperti gempa bumi di pantai barat Utara Sumatera yang turut dirasai di sebahagian kawasan di Malaysia, kejadian tanah runtuh yang menenggelamkan kenderaan di Serdang Selangor, angin ribut yang memusnahkan kediaman di Chemor Perak, hujan batu sekitar Kuala Lumpur, salji di Gunung Kinabalu dan banjir besar yang melanda beberapa negeri. Lantas fenomena dan peristiwa tersebut sering dikaitkan dengan pelbagai teori dan andaian tentang tanda-tanda usia bumi yang semakin menuju ke penghujung.

Walau apapun teori dan andaian yang diberikan namun perkara lebih utama bagi seorang Muslim adalah menginsafi bukti kekuasaan dan keagungan Allah SWT pada setiap kejadian yang berlaku di langit dan bumi. Firman Allah dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 117 bermaksud: "Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia." Justeru tiada perkara yang mustahil di sisi Allah dan boleh berlaku dalam sekelip mata dengan kehendak dan keizinan-Nya.

Segala kejadian alam yang berlaku bukanlah semata-mata untuk direnungkan, sebaliknya mengajak umat manusia untuk bertadabbur iaitu berfikir, mengkaji dan meneliti hikmah di sebaliknya bagi meningkatkan keimanan kepada Allah SWT. Firman Allah dalam surah al-Fussilat ayat 10-11 yang bermaksud: "Dan Ia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya serta Ia melimpahkan berkat padanya dan Ia menentukan ada pada-Nya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa. Kemudian Ia menunjukkan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!" Keduanya menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela." Ayat tersebut menggambarkan mengenai permulaan kejadian alam semesta bahawa langit dan bumi sentiasa tunduk dan patuh kepada ketetapan Allah SWT.

Fenomena alam yang terjadi juga mengajak manusia untuk memuji kebesaran Allah SWT dengan cara berzikir, bertasbih, berdoa, dan mengabdikan diri kepada-Nya. Perkara tersebut selaras dengan firman Allah dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 190-191 yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada siksa neraka."

Antara contoh ibadah sunat yang dilakukan berikutan fenomena alam adalah seperti solat sunat gerhana matahari dan bulan (Khusuf), solat minta hujan (Istisqa') dan lain-lain. Kejadian alam yang berlaku bukanlah semata-mata dikaitkan dengan bala dan kesedihan. Rasulullah SAW sewaktu melihat golongan yang menyatakan kejadian gerhana matahari berlaku kerana kematian anak kesayangan baginda Ibrahim, Rasulullah SAW lantas mengingatkan matahari dan bulan ialah tanda kebesaran Tuhan, yang tidak akan menjadi gerhana kerana kematian atau hidupnya seseorang. Sekiranya melihat kejadian tersebut maka berlindunglah dengan berzikir kepada Tuhan dan berdoa. 

Peristiwa bencana alam sering dikaitkan dengan kemungkaran dan penentangan manusia ke atas ajaran rasul dan nabi. Akibat keingkaran manusia untuk tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan menjauhi perbuatan mempersekutukan- Nya, maka turunlah bala bencana yang tidak mampu menyelamatkan manusia. Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 78 bermaksud: "Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing." Ayat tersebut mengisahkan tentang kisah kaum Tsamud iaitu kaum Nabi Soleh yang menerima azab seksa daripada Allah akibat perbuatan mereka. Namun umat Islam juga dianjurkan supaya melakukan muhasabah diri serta mengambil iktibar daripada fenomena bencana alam sebagaimana firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 56 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya." Kerosakan alam juga adalah disebabkan oleh perbuatan dan tindakan manusia. Justeru memelihara alam sekitar adalah sebahagian daripada tuntutan agama bagi menjamin kelestarian kehidupan seiring dengan matlamat maqasid syariah.

Selain itu, peristiwa israk dan mikraj yang diperingati baru-baru ini juga mengajak manusia untuk berfikir tentang kekuasaan Allah SWT dalam menciptakan alam semesta yang terdiri daripada tujuh tingkatan langit dan perjalanan nabi Muhammad SAW sehingga ke langit ketujuh untuk bertemu dengan Allah bagi menerima perintah ibadah solat. Perkara tersebut dijelaskan dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 29 yang bermaksud: "Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." Di dalam surah al-Najm ayat 13-18 pula Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi Sidratul-Muntaha; Yang di sisinya terletak Syurga Jannatul-Makwa. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa Sidratul Muntaha itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian daripada sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya." Sesungguhnya segala peristiwa keajaiban fenomena alam semesta kepada manusia adalah asbab untuk mendekatkan diri hamba kepada Pencipta.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 5:59 AM