AL-QURAN bukan sekadar perlu dibaca, malah difahami dan diamalkan dalam kehidupan.
AL-QURAN bukan sekadar perlu dibaca, malah difahami dan diamalkan dalam kehidupan.
Dr Azri Bhari

 

Bersyukur kepada Allah SWT kerana memberi peluang sekali lagi kepada seluruh umat Islam berada dalam bulan Ramadan al-Mubarak yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan.

Ungkapan Ahlan wa sahlan ya Ramadan atau Ramadan Karim sering dilafazkan oleh umat Islam bagi menzahirkan kesediaan menerima dan menyambut kehadiran bulan yang mulia ini secara terbuka dan sepenuh hati. 

Lantaran itu, umat Islam dianjurkan sentiasa berdoa supaya diberikan keberkatan, keimanan, keselamatan untuk menjadi benar-benar mampu menempuhi Ramadan dengan  pelbagai aktiviti ibadah.

Nabi SAW berdoa sebaik sahaja tiba bulan Rejab iaitu dua bulan awal sebelum Ramadan yang bermaksud: "Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Syaaban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadan." (Riwayat Ahmad, no 2346)

Seterusnya, doa lain yang bermaksud: "Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan, keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah." (Riwayat Ahmad, no 1397)

Para salafussoleh (orang soleh terdahulu) turut melazimi doa untuk mendapatkan Ramadan supaya diisi dengan pelbagai amalan yang soleh iaitu: "Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu)." (Riwayat al-Tabarani)

Bulan Ramadan umpama sebuah institusi pengajian atau universiti yang mempunyai kurikulum atau silibus yang khusus melalui amalan soleh untuk melatih mencapai sebuah kejayaan iaitu darjat ketakwaan di sisi Allah SWT.

Terdapat beberapa kurikulum atau amalan soleh yang perlu dilaksanakan dan ditempuhi sepanjang tempoh Ramadan supaya mampu melahirkan individu yang bertakwa dan mendatangkan keberkatan dalam kehidupan.

Pertama mempertingkatkan amalan solat. Solat menurut bahasa mengandungi pelbagai pengertian iaitu doa atau permintaan hamba kepada Allah SWT. Selain itu, juga bermaksud hubungan iaitu suatu amalan menghubungkan antara hamba dengan Allah SWT. 

Umat Islam dianjurkan mengambil peluang di bulan Ramadan untuk mempertingkatkan ibadah solat dalam kehidupan seharian supaya dapat memastikan ingatan dan hubungan berterusan dengan Allah SWT.

Pelaksanaan solat bukan sekadar terhad mendirikan solat fardu lima waktu sahaja, bahkan perlu ditambah dengan ibadah solat sunat yang lain seperti solat sunat Rawatib, solat Tarawih, solat Dhuha, solat Mutlak, solat Tahajud, solat Witir dan sebagainya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu' (sunat) dan bukan fardu, melainkan Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." (Sahih Muslim, no 728)

Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mendirikan solat di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan segala dosa yang telah lalu." (Riwayat al-Bukhari, no 36)

Kedua berinteraksi dengan al-Quran. Nabi SAW, para sahabat dan salafussoleh telah berinteraksi dengan al-Quran melalui tiga cara iaitu pembacaan, pemahaman dan pengamalan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (Surah al-Baqarah: 185)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Jibril akan mengulang bacaan al-Quran bersama Nabi SAW pada setiap tahun sekali dan ketika tahun kewafatan Nabi SAW, Jibril mengulangnya sebanyak dua kali." (Riwayat al-Bukhari, no 4998)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan 'Alif+Lam+Mim' satu huruf akan tetapi 'Alif' satu huruf, 'Lam' satu huruf dan 'Mim' satu huruf." (Riwayat al-Tirmizi, no 2910)

Selain itu, firman Allah SWT yang bermaksud: "Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya." (Surah Sad: 29)

Al-Quran bukan sekadar perlu dibaca, malah difahami dan diamalkan dalam kehidupan. Membaca al-Quran tanpa memahami maksud tetap diberikan ganjaran pahala. Namun, membaca al-Quran dengan bertadabbur jauh lebih baik berbanding membaca sahaja.

Ketiga memperbanyakkan amalan infaq dan sedekah. Nabi SAW banyak bersedekah pada bulan Ramadan menunjukkan terdapat kelebihan yang tersendiri berbanding bulan yang lain.

Kedermawanan Nabi SAW di bulan Ramadan digambarkan dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Adalah Nabi SAW seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril AS bertemu dengannya." (Riwayat al-Bukhari, no 3554)

Nabi SAW turut memberi makan dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang lain. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikitpun daripada pahala orang yang berpuasa itu." (Riwayat al-Tirmizi, no 807)

Demikianlah, amalan soleh yang perlu dirancang dan dilaksanakan sepanjang tempoh Ramadan bagi meraih darjat ketakwaan di sisi Allah SWT. Semoga Ramadan bakal membawa seribu satu keberkatan dan kebaikan dalam kehidupan setiap individu mukmin.


Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 7:01 AM