GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Kembara Mukmin

Dalam satu hadis daripada Abu Umamah al-Bahili, beliau berkata: “Aku pernah mendengar Rasu-
lullah bersabda yang bermaksud: ‘Bacalah al-Quran kerana al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak. Dan bacalah Az Zahrawain iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-dua surah itu akan datang pada hari kiamat, seolah-olah kedua-duanya bagai sekelompok awan atau payung yang menaungi, atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Kedua-duanya akan membela pembacanya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam Ahmad)

Hadis berkenaan bukan ditujukan buat golongan yang menghafal al-Quran. Sebaliknya, seruan motivasi itu adalah buat insan yang sentiasa menjadikan bacaan al-Quran sebagai aktiviti harian yang mesti dilaksanakan.

Contohnya, pada setiap hari selepas menunaikan solat Subuh, kita bersama keluarga sudah membiasakan diri membaca beberapa ayat al-Quran serta saling menyemak bacaan antara satu sama lain.

Al-Quran adalah sumber pahala yang sangat besar dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Di padang mahsyar kelak, semua manusia akan merasai kepanasan dan tiada siapa yang akan dapat membantu.

Hanya orang-orang terpilih sahaja yang akan mendapat teduhan Allah SWT. Mereka adalah golongan terpilih kerana ketika hayatnya sentiasa mendampingi al-Quran.

Maka, al-Quran akan datang memberi syafaat dan pertolongan. Seperti dinyatakan dalam hadis itu, bacalah dua surah yang bercahaya dan bergemerlapan iaitu Surah al-Baqarah dan Ali Imran.

Nabi SAW menjelaskan menerusi hadis itu, dua surah berkenaan akan mendatangi golongan
yang bersahabat dengan al-Quran seperti awan mendung atau dua kawan burung yang akan menaungi serta mempertahankan golongan itu.

Kelebihan al-Quran juga bukan hanya bagi mereka yang membacanya, malah mereka yang mendengarnya juga turut beroleh kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa mendengar (bacaan) satu ayat daripada al-Quran, dia dicatat melakukan kebajikan yang dilipatgandakan. Sesiapa membacanya, maka dia akan mendapat cahaya pada hari kiamat.” (Musnad Imam Ahmad)

Jika membaca dan mendengar al-Quran membolehkan seseorang Muslim mendapat pahala yang cukup besar, apatah lagi jika mampu membaca serta memahami isi kandungannya.

Di dalam al-Quran itu banyak terkandung segala perintah, amaran, larangan serta nasihat. Sekiranya membaca ayat yang menceritakan keagungan Allah SWT, maka kita perlu baca dengan sepenuh rasa kekaguman.

Apabila membaca ayat ancaman daripada Allah SWT, kita perlu menghadirkan rasa kerisauan serta memohon pengampunan daripada-Nya dengan penuh pengharapan.

Sehubungan itu, walaupun sekadar membaca al-Quran dan tidak termasuk lagi memahami isi kandungannya, Allah SWT tetap menyediakan pahala yang melimpah ruah kepada golongan itu.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat At-Tirmizi)

Jika ada yang membaca dalam keadaan sukar, kata Nabi SAW, golongan itu akan mendapat dua kali ganjaran pahala.

Aisyah menyatakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang membaca al-Quran dan menjaganya (membacanya dengan betul dan mengamalkannya) akan bersama para malaikat yang mulia. Adapun orang yang membaca al-Quran dengan sungguh-sungguh dan mengalami kesulitan, dia akan mendapat dua pahala.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

Sekiranya semua motivasi itu masih belum dapat menyentuh hati kita untuk menjadikan al-Quran sebagai amalan harian, berapa lama dan apa cara lagi yang boleh digunakan untuk kita benar-benar ‘terpikat’ dengan al-Quran?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 9:02 AM