KEBAHAGIAAN sesebuah keluarga memerlukan tahap kesabaran yang tinggi serta pengorbanan yang luar biasa. FOTO Arkib NSTP
KEBAHAGIAAN sesebuah keluarga memerlukan tahap kesabaran yang tinggi serta pengorbanan yang luar biasa. FOTO Arkib NSTP
Dr Zuraimy Ali

Islam sangat menitikberatkan isu kekeluargaan berumah tangga dengan memberi panduan yang terbaik bagi setiap pasangan. Islam juga melarang keras perbuatan dan tindakan membawa kepada perbalahan dan ketidakharmonian rumah tangga.

Pembinaan rumah tangga yang utuh dan kekal memerlukan komitmen semua pihak termasuk pasangan suami isteri, anak, keluarga dan seluruh masyarakat di dalam memahami fungsi kekeluargaan Islam.

Allah SWT mengingatkan hamba-Nya melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai lelaki) isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup bahagia dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (al-mawaddah) dan belas kasihan (ar-rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan yang menimbulkan (kesedaran) bagi orang yang berfikir." (Surah Ar-Rum ayat 21)

Oleh itu, al-Quran menekankan konsep kasih sayang dan belas kasihan sebagai asas bagi membina keluarga yang bahagia.

Isu berkaitan rumah tangga sangat penting bagi memastikan kehidupan dan masa depan anak lebih terjamin.

Pergaduhan dan perceraian hanya membawa banyak masalah dan kebimbangan terhadap nasib anak. Ibu bapa sepatutnya mempunyai pemikiran yang matang serta bijak menyelesaikan sebarang kemelut dengan jalan terbaik.

Peranan ini sepatutnya digalas oleh suami yang bertindak sebagai pemimpin dalam keluarga. Bagi memastikan tanggung jawab dilaksanakan dengan sempurna, suami perlu bijak mencari titik persamaan serta menyemai kasih sayang terhadap isteri.

Suami isteri perlu bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan kebahagiaan rumah tangga sentiasa kekal serta sentiasa beringat bahawa kebertanggungjawaban ini akan disoal kelak pada hari akhirat.

Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggung jawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang penguasa adalah pemimpin rakyat dan ia bertanggungjawab atas rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggung jawab atas keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga suaminya
dan anaknya serta ia bertanggungjawab atas mereka. Dan seorang hamba adalah pemimpin harta benda milik tuannya dan ia bertanggungjawab atas keselamatannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, kebahagiaan sesebuah keluarga memerlukan tahap kesabaran yang tinggi serta pengorbanan yang luar biasa bagi memastikan kelangsungan hidup dapat diteruskan. Setiap pasangan perlu sedar jika sikap sabar
dan pengorbanan terhadap kebahagian keluarga tidak menjadi keutamaan di dalam penyelesaian masalah maka kesannya akan kembali terhadap emosi dan perasaan zuriat.

Hal ini sudah tentu menambahkan kerumitan serta kekesalan yang berpanjang jika anak tidak diberikan kasih sayang sepenuhnya akibat daripada sikap gopoh dan perbalahan yang berpanjangan bagi setiap pasangan.

Allah SWT mengingatkan kita melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu) kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah at-Taghabun ayat 14)

Selanjutnya Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya harta benda serta anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah jualah pahala yang besar."(Surah at-Taghabun ayat 15)

Justeru, kesabaran dan pengorbanan bagi setiap pasangan suami isteri diperlukan bagi mencapai kebahagian hidup serta melepasi segala ujian melayari bahtera perkahwinan yang lebih berkat.

Sebagai kesimpulan akhir, hidup ini sebenarnya indah jika semua pasangan suami isteri saling memahami di antara satu sama lain. Jika setiap insan mengetahui syariah sudah memberikan penyelesaian terbaik bagi menghadapi desakan hawa nafsu serta bisikan syaitan yang hanya akan memerangkap manusia untuk terus mewujudkan kebencian dan permusuhan yang tiada henti.

Untuk itu, janganlah kita sebagai Muslim masih lalai dan leka terhadap tipu muslihat syaitan dan jangan pula sebahagian manusia terlepas pandang sisi akhlak Islam yang menghendaki kita semua hidup dengan penuh kerukunan serta saling membantu di dalam membina keluarga bahagia. Setiap orang berhak mendapat kasih sayang yang sempurna dan sudah pasti zurait anugerah dan amanah yang perlu dipikul oleh setiap pasangan. Bina keluarga bahagia melalui persefahaman yang baik demi kelangsungan hidup zuriat dan merasai nikmat berkeluarga.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 7:00 AM