SUNAH berkahwin adalah satu daripada tanda kekuasaan Allah SWT.
SUNAH berkahwin adalah satu daripada tanda kekuasaan Allah SWT.
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Perkahwinan di dalam Islam adalah sunah Rasulullah SAW yang menjadi tuntutan yang sangat besar. Perkembangan manusia daripada awal usia sehingga dewasa adalah di bawah lembayung keluarga yang diasaskan daripada perkahwinan antara seorang lelaki dan perempuan. Lahirnya anak hasil pernikahan ini menjadi penyambung zuriat dan pengikat kasih sayang suami isteri. Maka, terbinalah keluarga bahagia hasil perkongsian hidup dua insan.

Falsafah perkahwinan dalam Islam amat unik dan sangat inklusif. Tidak seperti masyarakat Barat pada suatu masa dahulu yang menganggap hubungan antara pasangan suami dan isteri hanya seperti hubungan haiwan semata-mata. Bahkan, pernah dianggap hubungan jenis antara suami dan isteri tidak lebih daripada hubungan binatang dengan binatang. Sehinggakan ada pula yang menjadikan hubungan antara suami dan isteri adalah sesuatu yang mencemarkan kesucian mereka. Malah, ada yang menjadikan hidup membujang tanpa berkahwin adalah satu lambang ketinggian taraf hidup dan kesucian. Mereka menganggap sesiapa yang ingin terus hidup dalam kesucian dan kemuliaan hendaklah tidak berkahwin.

Perkara ini amat bertentangan dengan ajaran Islam. Islam agama fitrah yang memenuhi setiap keperluan manusia sama ada jasmani dan ruhani. Bahkan, sunah berkahwin adalah satu daripada tanda kekuasaan Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan- keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah al-Rum, ayat 21)

Sunah perkahwinan bukan semata-mata memenuhi keperluan jasmani manusia yang mempunyai hawa nafsu. Malah, ia menjadi pengawal kepada kehendak manusia yang mesti dikawal berlandaskan tuntutan syariat Allah. Oleh itu, tuntutan berkahwin juga mempunyai pelbagai peringkat dengan hukum yang berbeza. Setiap Muslim mestilah merujuk kepada syariat dalam menentukan sama ada wajib, sunat, harus, makruh atau haram berkahwin. Rasulullah mengajar kita sebagaimana hadis baginda: "Wahai generasi muda! Bila di antara kamu sudah mampu menikah hendaklah dia bernikah, kerana mata akan lebih terjaga, kemaluan akan lebih terpelihara." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Pastinya ajaran dan petunjuk yang diturunkan Allah melalui al-Quran dan sunah Rasulullah menjadi sebaik-baik pedoman. Tidak ada satu perkara pun yang terlepas daripada perhatian Allah. Termasuklah dalam hal ehwal berkaitan perkahwinan. Firman Allah: "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (Surah al-Nisa' ayat 3)

Sepatutnya tidak menjadi persoalan besar apabila timbul isu poligami dalam masyarakat. Hukumnya sangat jelas di dalam Islam dan sistem perundangan juga ada prosedur untuk diikuti. Perlu lebih berhati-hati dalam mempersoalkan isu sebegini supaya tidak menyentuh perkara yang tidak sepatutnya. Untuk mempertikaikan urusan teknikal dan luaran tidak menjadi masalah. Begitu juga perkara yang berkaitan dengan adab serta tata susila masyarakat. Cuma, dalam perkara yang mempunyai hubung kait dengan hukum hakam perlu dirujuk kepada alim ulama atau pihak yang berautoriti. Pihak ketiga juga tidak sepatutnya menambahkan sensasi kepada rumah tangga yang sedang bergolak. Jangan menambahkan lagi api yang menyemarakkan amarah yang sedang berantakan. Bantulah agar rumah tangga yang sedia ada kekal bahagia. Manakala yang baru dibina pula dapat dikemudi dengan bijaksana.

Syariat berkahwin sebagaimana yang dijelaskan al-Quran dan hadis Nabi menunjukkan ia suatu yang amat penting dalam kehidupan manusia. Di samping menjadi faktor survival umat, banyak lagi manfaat yang sepatutnya diperoleh hasil perkahwinan yang sah mengikut ajaran agama. Antaranya ialah sebagai pengukuhan dan pematuhan kepada sunah Rasulullah. Sabda Rasulullah: "Nikah itu sunahku, barang siapa yang tidak suka dengan sunahku, maka dia bukan daripada golonganku!" (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Pedoman dan petunjuk Allah sememangnya yang terbaik untuk diikuti dalam segala perkara berkaitan manusia. Sehinggalah Allah menegaskan bahawa inilah sebenar-benarnya umat pilihan dan umat yang terbaik. Allah berfirman: "Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 143)

Selain dimurahkan rezeki, mereka yang berkahwin juga sentiasa mendapat pertolongan Allah jika niatnya untuk menjaga kehormatan. Apatah lagi jika beristerikan yang solehah. Sabda Rasulullah: "Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan orang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya." (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 5:59 AM