Intan Mas Ayu Shahimi


Mengekalkan kebahagiaan dalam rumah tangga bukanlah perkara yang mudah. Sejak lebih sedekad lalu, cerita mengenai timbunan fail perceraian di mahkamah syariah yang menunggu masa untuk dibicarakan tidak pernah putus. Ternyata perceraian bukanlah kisah baru dalam masyarakat, sebaliknya kian meruncing dari semasa ke semasa.

Dalam Islam, tidak kira sama ada suami atau isteri, kedua-duanya mempunyai peranan sama besar dalam mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. Menjadi tanggungjawab suami untuk memimpin, sementara isteri wajib mentaati perintah selagi tidak berlawanan dengan hukum agama.

Bagaimanapun, asam garam dunia hari ini menyesatkan segelintir daripada kita. Hanya kerana mendambakan perhatian dan kasih sayang suami, ada wanita sanggup mengamalkan doa tertentu untuk menundukkan pasangan. Tidak kurang juga di pihak suami, kasih sayang isteri diikat dengan minyak pengasih hinggakan wanita yang dicintai buta hati kepada insan lain.

Menurut pengamal perubatan Islam dan penceramah bebas, Ustaz Sharhan Shafie, amalan menundukkan pasangan menggunakan azimat, jampi, doa mahupun makanan yang tercemar adalah haram.

“Kenapa perlu menundukkan pasangan dengan amalan tertentu sedangkan tindakan sedemikian menunjukkan kacacatan dalam rumah tangga? Apabila seseorang itu memilih cara salah untuk menundukkan pasangan demi meraih kasih sayang dan perhatian, biasanya tindakan mereka akan disertai pihak ketiga iaitu jin, syaitan dan sebagainya.

“Perbuatan ini haram kerana seolah-olah kita merampas kewarasan pasangan. Isteri atau suami menjadi bodoh gara-gara dikenakan sihir penunduk. Matlamat asal mungkin lain, tetapi hasilnya jadi lebih daripada itu. Malah hari ini, kita boleh lihat betapa ramai lelaki menjadi suri rumah dan tunduk kepada perintah isteri yang bekerja.

“Pada zaman Rasulullah SAW dulu, baginda pernah disihir seorang Yahudi bernama Labid A’sham. Baginda disihir dengan darah haid, rambut dan kuku yang dibalut dengan tujuh ikatan yang ditanam dalam telaga zarwan. Apabila Rasulullah mandi, baginda terus pengsan. Ketika itu, makhluk yang paling sibuk ialah malaikat Jibrail.

“Jibrail bertemu Allah SWT dan mengadu kekasih-Nya jatuh pengsan, lalu diberikan penawar. Apabila Jibrail sampai dan kembali memangku Rasulullah, baginda dibacakan dua surah iaitu al-Falaq dan an-Nas. Berdasarkan hadis inilah dinyatakan barang yang boleh dibuat sihir penunduk,” katanya.

Kerana itu, sebaik-baiknya pasangan berkahwin dianjurkan supaya mengamalkan doa untuk mengikat kasih sayang dalam keluarga. Jelas Ustaz Sharhan, banyak doa mujarab yang boleh dijadikan amalan harian.

“Antaranya surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud, ‘Sesungguhnya antara tanda kekuasaan-Nya, Allah menjadikan bagi kamu pasangan dalam kalangan jenismu sendiri, lalu Allah campakkan dalam hati mereka rasa kasih sayang. Dan demikian itulah tanda-tanda kekuasaan Allah bagi mereka yang berfikir’.

“Ada juga doa yang bermaksud, ‘Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami pasangan dan anak (zuriat) yang menjadi penyejuk mata dan jadika–nlah kami pemimpin kepada orang yang bertakwa’.

“Selain amalan doa, pasangan juga digalakkan mengamalkan ilmu pengasih yang dibenarkan dalam Islam iaitu berhias. Mengikut perubatan Islam, berhias ialah sihir mujarab untuk menambat hati pasangan. Bagaimanapun, kaedah berhias yang dimaksudkan perlulah bersifat halal dan tidak mengubah kejadian Allah SWT.

“Hal yang sama juga untuk lelaki, mereka digalakkan berhias dengan mengekalkan rupa yang sedap dipandang dan berperilaku baik untuk menjaga hati pasangan. Kemudian, sama-sama amalkan menyebut nama Allah dalam setiap perbuatan,” katanya.

Merungkai ilmu pengasih yang boleh diamalkan suami isteri mengikut lunas Islam, Ustaz Sharhan berkata, terdapat beberapa ayat yang sekiranya diamalkan, berupaya mengekalkan kerukunan rumah tangga daripada digugat iblis.

“Ini menarik untuk dikongsi bersama. Ramai yang tidak tahu iblis mempunyai tujuh ‘kabinet’ dan sembilan ‘kementerian’. Salah satu kabinet adalah menceraikan suami isteri dan ‘portfolio’ ini dipegang iblis bernama Dasim. Perkara ini turut disebut dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah, ayat 102.

“Ia menyebut bagaimana ada dalam kalangan suami isteri bercerai kerana sihir. Jadi, untuk mengelak Dasim campur tangan dalam rumah tangga, amalkan tiga perkara berikut: Pertama, apabila meninggalkan rumah dalam keadaan kosong kerana balik kampung atau keluar melancong, beri salam ketika hendak masuk ke dalam rumah.

“Kerap berlaku apabila tidak memberi salam, suami isteri akan berbalah sebaik melangkah masuk ke rumah. Salam ini untuk malaikat yang menjaga rumah. Kedua, amalkan bacaan tiga Qul iaitu surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.

“Yang terakhir, amalkan bacaan penghujung ayat 57, surah Hud setiap kali selepas solat. Ini bertujuan menyelamatkan diri daripada gangguan manusia, jin dan iblis,” katanya.

Menjelas lanjut, Sharhan berkata, banyak kaedah untuk menyuburkan kasih sayang dalam keluarga. Apa yang penting, suami dan isteri perlulah mentaati suruhan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang.

Ini bermakna, tidak perlulah bersusah payah menuntut ilmu penunduk semata-mata untuk menagih cinta daripada pasangan. Memadai sama-sama sedar akan kewajipan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

“Susuli setiap amalan yang baik dengan mentaati suami. Belajar untuk ikhlas dalam perhubungan. Hari ini, banyak suami isteri tidak lagi ikhlas terhadap pasangan masing-masing. Mereka menjalin hubungan de–ngan orang ketiga menerusi aplikasi WhatsApp, Instagram dan Facebook, kemudian telefon bimbit dikunci dengan kata laluan yang tidak diketahui pasangan. Inilah antara punca rumah tangga huru-hara.

“Sedangkan dalam membina hubungan bahagia, suami isteri perlu mempercayai satu sama lain, jujur, bertimbang rasa dan saling memahami. Seharusnya dalam hubungan itu perlu ada matlamat untuk melahirkan zuriat soleh, perlu ada cita-cita mewujudkan rumahku syurgaku. Selebihnya, berdoalah sebaik-baiknya kepada Allah SWT.

“Bagi pasangan yang tidak dikurniakan cahaya mata, anggaplah itu ujian daripada-Nya untuk melihat sejauh mana kesabaran kita. Bersangka baiklah dengan setiap ketentuan Allah. Mungkin jika diberi zuriat, anak itu cacat, tidak sempurna. Biarlah lambat, tetapi cukup bermakna. Dalam surah al-Baqarah (ayat 216) disebut, ‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui’.

“Perbanyakkan berdoa khususnya doa Nabi Zakaria, disusuli amalan surah al-Hashr (ayat 21), ar-Rum (ayat 21) dan an-Nahl (ayat 78). Sekiranya beroleh rezeki mengandung, amalkan pula surah al-Ghashiyah,” katanya.

Tip kasih sayang bagi pasangan bekerja

1. Perbaiki sikap. Yakinlah isteri atau suami adalah pasangan terbaik.

2. Letakkan kesetiaan dalam rumah tangga.

3. Ingat bahawa kita ada pengikat kasih yang menanti di rumah (anak-anak).

4. Usah dengar cerita daripada orang luar. Mereka biasanya suka melihat rumah tangga orang lain bergolak.

5. Siasat sebarang aduan sebelum menghukum.

6. Amalkan gaya hidup yang dianjurkan al-Quran dan sunah iaitu mentaati Allah serta Rasul-Nya.

7. Terapkan sikap jujur. Berbincang secara tenang.

8. Elakkan memendam perasaan terlalu lama. Sebaiknya utarakan kemusyikilan terhadap pasangan dengan cara baik.

9. Pastikan telefon atau sebarang gajet tidak dikunci dengan kata laluan. Beri kebebasan kepada pasangan untuk mengelakkan syak wasangka.

10. Banyakkan berdoa supaya dikekalkan kebahagiaan rumah tangga hingga ke syurga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 11:35 AM