MENJADI tanggungjawab besar keluarga untuk membentuk keluarga bahagia dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta kemajuan negara. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
MENJADI tanggungjawab besar keluarga untuk membentuk keluarga bahagia dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta kemajuan negara. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Sebuah keluarga adalah cerminan kepada sesebuah masyarakat dan negara. Sebagaimana pentingnya kekuatan setiap anggota dalam sebuah keluarga, begitu pentingnya kemantapan setiap keluarga bagi keutuhan sesebuah masyarakat seterusnya negara.

Maka, menjadi tanggungjawab besar keluarga untuk membentuk keluarga bahagia dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta kemajuan negara.

Setiap keluarga pula biasanya diketuai seorang bapa yang menjadi tunjang kepada keluarga masing-masing. Perkara berkaitan hal ehwal keluarga bukan perkara kecil yang boleh dibincangkan secara terbuka oleh semua orang. Banyak perkara berkaitan hal ehwal keluarga sepatutnya dianggap sebagai perkara eksklusif yang perlu ditangani secara serius dan dengan rasa penuh bertanggungjawab.

Namun, pada hari ini banyak didapati di media (termasuk media sosial) pergolakan yang berlaku dalam sesebuah keluarga dibincangkan secara terbuka dan diperkatakan sesiapa sahaja. Seolah-olah tiada lagi perkara yang privasi dalam hal kekeluargaan.

Dalam konteks agama Islam, setiap orang bertanggungjawab atas setiap perkara yang dilakukan. Termasuk setiap tanggungannya juga disoal di akhirat nanti. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya setiap daripada kalian semua ialah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki ialah pemimpin keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang wanita juga pemimpin terhadap rumah suami dan anak-anaknya, maka dia bertanggungjawab terhadap mereka semua. Seorang hamba ialah pemimpin terhadap harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadap harta berkenaan. Maka, setiap kalian ialah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap pimpinannya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Sepatutnya setiap orang yang terbabit dalam kes yang membabitkan pergolakan rumah tangga sebagai contoh tidak mahu ceritanya ditularkan di media secara terbuka. Sepatutnya apa yang berlaku dalam rumah tangga adalah perkara rahsia dalam keluarga sahaja. Ujian yang dihadapi setiap pasangan yang berkahwin adalah berbeza-beza. Namun, sekiranya berlaku sesuatu yang di luar daripada apa yang dijangkakan perlu diselesaikan dengan merujuk kepada pihak berkuasa agama.

Pasangan yang terbabit tidak perlu berkongsi dengan mereka yang tidak berkenaan. Pihak yang tiada kena-mengena dalam pergolakan sesebuah keluarga pula tidak perlu mengorek rahsia untuk dipaparkan bagi tontonan umum.

Antara tanggungjawab utama setiap ketua keluarga adalah memastikan seluruh anggota keluarganya selamat daripada api neraka. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Allah SWT juga menjadikan manusia itu berpasangan dan memerintahkan supaya sekalian manusia menjaga keturunannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya, Hawa) dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." (Surah an-Nisa', ayat 1)

Sekiranya setiap Muslim menyedari tanggungjawab besar terhadap keluarga sebagaimana yang dinyatakan pastinya tidak berlaku pengabaian terhadap institusi kekeluargaan yang dibina. Jika berlaku perpisahan sekalipun mesti ditangani sebaik mungkin dan tidak menjadikannya bahan sebaran umum yang membuka segala rahsia dalam keluarga.

Sebagai Muslim kita dilarang membuka aib orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Begitu juga sebaliknya, jika kita menutup aib saudara kita maka Allah SWT akan memelihara kita daripada keaiban pada hari kiamat. Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: "Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di hari kiamat." (Hadis Riwayat Muslim)

Kejadian sebagaimana yang banyak berlaku pada hari ini juga pernah dibangkitkan Rasulullah SAW. Bahkan, Rasulullah SAW melarang daripada seorang pasangan itu membongkarkan keaiban pasangannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling buruk kedudukannya pada hari kiamat di sisi Allah SWT adalah laki-laki yang menyetubuhi isteri kemudian ia menceritakan rahsia isterinya." (Hadis Riwayat Muslim)

Tegasnya, tugas utama ketua keluarga adalah memastikan setiap anggota keluarganya selamat daripada api neraka. Ingat bahawa apa sahaja perkara yang berlaku dalam keluarga adalah ujian Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah jualah pahala yang besar." (Surah at-Taghabun, ayat 15)

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 7:00 AM