SUMBER kekayaan seperti tanah yang subur di sesuatu tempat tidak semestinya penduduknya hidup makmur dan penuh berkat.
SUMBER kekayaan seperti tanah yang subur di sesuatu tempat tidak semestinya penduduknya hidup makmur dan penuh berkat.
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Kemakmuran dan keberkatan hidup suatu yang menjadi impian setiap insan yang menghuni bumi terbentang luas ini. Namun, tidak semua orang akan dapat memperoleh apa yang dihajatinya itu. Bagi orang beriman kepada Allah, mereka sedia maklum dan meyakini Dia akan mengurniakan kemakmuran serta keberkatan hidup kepada orang beriman dan beramal soleh.

Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: "Dan (Tuhan berfirman lagi):'Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan.'" (Surah al-A'raf, ayat 96)

Kebanyakan orang berpendapat kemakmuran dan keberkatan hidup itu berpunca daripada kesuburan sesuatu tempat. Dengan lain perkataan, semakin suburnya tanah sesuatu tempat, daerah, negeri ataupun negara, akan semakin makmur dan berkat hidup penduduknya. Namun, perlu diingat pendapat itu tidak selamanya benar kerana jika ditinjau dalam realiti kehidupan global, betapa banyak negeri atau negara yang subur, tetapi penduduknya masih dibelenggu kemiskinan, kebuluran, kemunduran dan ketinggalan dalam pelbagai lapangan hidup. Begitu juga terdapat banyak negeri atau negara yang tanah tidak subur, bahkan tandus, tetapi penduduknya dapat hidup dengan penuh kemakmuran dan keberkatan.

Perkataan makmur itu bermaksud mempunyai hasil yang banyak, bilangan penduduk ramai, serba cukup pula kehidupannya dan tidak pernah kekurangan apa-apa pun. Perkataan berkat pula membawa erti kebaikan dan kebajikan yang melimpah. Menurut seorang ulama tafsir terkenal, Al-Asfihani, sesuatu yang disebut berkat apabila di dalamnya terkandung kebaikan dan kebajikan amat banyak. Sebagai contohnya, air hujan disebut oleh Allah di dalam al-Quran sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan yang melimpah ruah kerana ia dapat menyuburkan tanah dan menumbuhkan pelbagai tanaman yang amat berguna kepada umat manusia.

Menurut Syeikh Rashid Ridha, keberkatan terdiri daripada dua jenis; pertama ialah keberkatan bersifat fizikal seperti air hujan, rezeki, kesihatan jasmani dan pelbagai lagi aneka kenikmatan yang memberikan kebahagiaan kepada manusia. Kedua, ialah keberkatan yang tidak bersifat fizikal seperti turunnya wahyu, intuisi, ketenangan jiwa yang dapat memandu manusia ke arah kesempurnaan dan kesejahteraan yang abadi.

Dalam kaitan ini, Allah ada merakamkan sebuah ilustrasi sebagai bahan renungan umat Islam berkenaan negeri yang subur tanahnya, tetapi penduduknya berada dalam kelaparan dan ketakutan. Allah berfirman maksudnya: "Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu misalan: Sebuah negeri aman damai dan tenteram yang didatangi rezekinya yang mewah daripada tiap-tiap tempat kemudian penduduknya kufur akan nikmat Allah itu maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa mereka lakukan." (Surah al-Nahl, ayat 112)

Maksud firman Allah di atas secara jelas menyingkap kemakmuran dan keberkatan hidup itu tidak mungkin dapat diperoleh jika penduduknya rata-rata melakukan tindakan dan amalan yang membawa kepada kufur nikmat atau tidak melaksanakan segala perintah Allah serta menjauhi segala larangan-Nya seperti perzinaan, pembunuhan, kezaliman sesama manusia, gejala sosial, rasuah dan sebagainya. Akibatnya, tanah yang subur macam mana sekalipun, ia tetap tidak memberi erti dan makna kepada kehidupan umat manusia. Malah sebaliknya, ia bertukar wajah menjadi suatu azab dan mala petaka yang amat dahsyat dan menggerunkan dalam kehidupan setiap individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Justeru Allah menegaskan bahawa kemakmuran dan keberkatan hidup itu hanya boleh diraih dengan keimanan serta ketundukan penuh ikhlas kepada Allah yang dijelmakan atau diterjemahkan dalam pentas kehidupan dengan ketakwaan, istiqamah, akhlak terpuji, akidah yang suci dan ibadah dituntut.

Jelas di sini bahawa kemakmuran dan keberkatan hidup seseorang manusia, sesebuah bangsa atau sesebuah negara bukannya dinilai daripada sudut material semata-mata seperti kemewahan harta benda, kedudukan pangkat, kemuliaan keturunan dan sebagainya. Sebaliknya iman dan Islam yang bertapak kukuh dalam jiwa seseorang Muslim, sebuah masyarakat Islam dan negara Islam kunci utama yang membuka khazanah kemakmuran serta keberkatan hidup umat manusia alam ini.

Oleh itu, sudah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk bermuhasabah dan menilai keimanan masing-masing sama ada imannya itu benar-benar suci dan hanya ikhlas kepada Allah ataupun tidak. Adakah amalan yang selalu dilakukan pada setiap hari sudah menepati hukum-hakam syarak atau sebaliknya? Adakah akhlak Islam yang dianjurkan Islam sudah menghiasi peribadi setiap Muslim dan anggota masyarakat serta dengan bukan Islam? Jangankan iman itu hanya bermain dan meniti di bibir mulut yang manis sahaja sedangkan amalannya tidak pernah berpijak di bumi yang nyata.

Ini kerana iman itu ialah membenarkan di dalam hati, diikrarkan melalui lisannya dan dibuktikan melalui amalan anggota tubuh badannya. Sehubungan itu, Rasulullah bersabda maksudnya: "Iman itu bukannya angan-angan atau omong-omongan kosong, akan tetapi iman itu ialah apa yang mantap dalam hati dan dibenarkan dengan amal. Sesungguhnya pernah berlaku satu kaum yang terperdaya dengan angan-angan kosong dan akibatnya mereka tidak berusaha serta tidak beramal, lantas mereka berkata: 'Kami bersangka baik kepada Allah sedangkan mereka telah berdusta. Kalaulah betul mereka bersangka baik dengan Allah, nescaya mereka akan berusaha dan beramal dengan sebaik mungkin.'" (Hadis Riwayat ad-Dailami)

Inilah persepsi yang sebenar terhadap konsep iman dalam kehidupan, bukannya sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan umat Islam bahawa iman hanya sekadar meniti di bibir dan bertapak di dalam hati sahaja.

Begitulah betapa pentingnya peranan iman dalam kehidupan seseorang Muslim dan sesebuah bangsa sehingga ia bertindak sebagai tonggak utama yang mendasari kelangsungan seseuatu umat dan negara. Maju dan mundur, kuat atau lemahnya sesuatu umat amat bergantung rapat kepada ketulenan akidah, kesolehan amalannya, perhiasan akhlak Islam dan kesejahteraan pemikirannya. Apabila umat itu baik daripada sudut akidahnya, amalannya, akhlaknya dan pemikirannya, barulah Allah akan mengurniakan nikmat kemakmuran serta keberkatan hidup dunia akhirat.

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 7:01 AM