DENGAN bersikap positif, kita akan mendapat ganjaran pahala kerana Allah tidak pernah mensia-siakan perbuatan baik yang dilakukan.
DENGAN bersikap positif, kita akan mendapat ganjaran pahala kerana Allah tidak pernah mensia-siakan perbuatan baik yang dilakukan.
Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Kehidupan setiap insan di dunia ini mempunyai warna warni tersendiri. Tidak ada insan yang hidupnya sentiasa dihiasi dengan kegembiraan kerana pastinya ada ketika dia perlu melalui detik kesedihan, kemurungan dan kegelisahan. Memang menjadi lumrah kehidupan insan diwarnai dengan suka dan duka. Namun, segalanya berbalik kepada pilihan diri untuk menangani apa sahaja suasana dengan penuh kesabaran.

Tatkala ada insan yang menikmati kegembiraan dalam hidupnya, lantas dia bersyukur kepada Ilahi. Dia menzahirkan kegembiraannya pada kadar yang dibenarkan, malah turut berusaha menggembirakan hati orang lain kerana dirinya sedang merasai nikmat daripada Allah SWT. Insan seperti ini juga berusaha menjauhkan dirinya daripada bersikap bangga diri, takjub dengan kejayaan sendiri, merendahkan orang lain dan semua perkara negatif. Menjauhkan diri daripada perkara negatif inilah antara perkara yang dianjurkan Islam.

Firman Allah SWT dalam al-Quran berkenaan anjuran bersyukur tatkala menerima nikmat daripada-Nya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Dari sudut pandang yang lain, ada juga insan yang diberikan ujian kehidupan oleh Allah SWT. Ujian daripada-Nya pula dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Ada insan yang sedang dihimpit masalah kewangan hingga sukar untuk makan dan minum seperti insan biasa yang lain. Ada pula yang diberi ujian masalah rumah tangga yang tidak berkesudahan seolah-olah tiada lagi jalan keluar untuk menyelamatkan keluarga. Bagi pelajar pula, mungkin ada yang sedang menanggung kesedihan kerana gagal dalam peperiksaan dan sebagainya.

Baru-baru ini ada orang yang rumahnya musnah dilanda banjir besar. Segala harta benda musnah dihanyutkan air sedangkan kejadian seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Lebih menyayat hati, ada keluarga yang kehilangan orang kesayangan kerana ujian wabak Covid-19. Semuanya ujian dalam kehidupan dan tiada siapa yang dapat lari sekiranya ia telah ditakdirkan oleh-Nya.

Sebenarnya kepelbagaian dugaan yang dihadapi oleh manusia berdasarkan kemampuan dirinya sendiri. Allah SWT tidak sekali-kali membebani hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu ditanggung oleh kemampuan diri. Penyelesaian kepada masalah yang timbul pula boleh ditemui dalam pelbagai bentuk dan cara. Cumanya individu yang ditimpa ujian tersebut perlu mengambil sikap positif.

Tidak mudah untuk bersikap positif tatkala fikiran runsing dengan pelbagai perkara bagi menyelesaikan masalah. Tetapi yakinlah, dengan fikiran yang positif, banyak jalan keluar yang boleh diusahakan dan pasti tidak menemui kebuntuan. Biasanya manusia gagal untuk bersikap positif kerana dirinya dihantui oleh banyak prasangka buruk. Dengan prasangka buruk yang belum pasti itulah, mungkin timbul pelbagai masalah lain dalam kehidupan.

Allah SWT menjelaskan hal ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa…" (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Pada banyak keadaan, kita mudah untuk bersikap negatif, bukan sahaja pada diri sendiri malah terhadap orang lain. Lebih buruk lagi apabila sikap negatif yang ada dalam diri disebarkan kepada orang lain yang akhirnya turut terjebak dalam dosa. Ada kalanya kita melihat orang lain berkongsi kegembiraan yang sedang dikecapinya. Kita boleh sahaja turut berkongsi kegembiraan tersebut atau setidaknya bercita-cita untuk mencapai kejayaan yang sama satu hari nanti. Namun, ada kalanya terdetik dalam hati sikap negatif mengatakan orang yang sedang bergembira itu sengaja menunjuk-nunjuk kegembiraannya agar dicemburui oleh orang lain.

Ada kalanya pula kita melihat orang lain bahagia dengan zuriat keturunannya yang hebat. Kita boleh sahaja belajar daripada kejayaan yang diperoleh oleh orang tersebut. Namun ada juga yang berasa sakit hati melihatnya dan mendoakan agar kebahagiaan tersebut cepat hilang daripada orang itu. Begitulah perihal hati sekiranya dijangkiti penyakit hasad dengki.

Begitu juga tatkala mendengar ada orang yang ditimpa musibah tertentu. Kita boleh sahaja mengambil pendekatan untuk berdoa agar musibah tersebut cepat berakhir dan orang itu dikurnia ganjaran yang besar. Namun, ada juga individu yang membuat kesimpulan bahawa musibah yang menimpa individu tersebut adalah disebabkan perbuatannya yang itu dan ini.

Pendek kata, kita boleh sahaja mengambil pendirian yang positif terhadap apa yang berlaku pada orang lain, namun ada juga yang selesa memilih sikap negatif yang sebenarnya hanya berdasarkan sangkaan buruk yang ada dalam dirinya. Sebenarnya dengan bersikap positif, kita juga boleh mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT kerana Dia tidak pernah mensia-siakan perbuatan baik yang dilakukan oleh setiap hamba-Nya yang beriman.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Sebenarnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang yang berbuat kebaikan." (Surah Yusuf, ayat 90)

Pilihan untuk bersikap positif berada dalam tangan sendiri. Sekiranya kita membuat pilihan yang positif maka semuanya akan membawa kebaikan kepada diri sendiri. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin (orang yang beriman). Sesungguhnya semua perkaranya adalah baik baginya dan hal itu tidak dimiliki oleh siapa pun kecuali oleh orang Mukmin. Jika diberi sesuatu yang menggembirakan, dia bersyukur, maka hal itu merupakan kebaikan baginya dan apabila dia ditimpa suatu keburukan (musibah), dia bersabar, maka hal itu juga baik baginya." (Hadis riwayat Muslim)

Kita perlu pastikan bahawa diri sentiasa bersikap positif terhadap perkara yang sememangnya kita perlu bersikap sedemikian. Walau bagaimanapun, bersikap positif perlu diletakkan pada tempatnya. Usah pula jika ada perkara bahaya yang secara logiknya memerlukan tindakan berhati-hati, namun kita masih lagi mengambil sikap 'positif' yang bukan pada tempatnya. Bersikap positiflah pada perkara yang boleh membawa kebaikan.

Selain itu, kita juga tidak akan rugi sekiranya mengambil pendirian positif dalam perkara yang melibatkan orang lain, malah pastinya kita akan lebih disayangi dan dihormati atas pendirian tersebut. Jauhkanlah diri daripada bersangka buruk kerana ia merupakan antara masalah hati sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: "Jauhilah kamu daripada prasangka kerana sesungguhnya prasangka itu adalah sebohong-bohong rekaan rasa hati (berita hati)." (Muttafaq 'alaih)

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 6:00 AM