WAN Mohamad Amar Rifqi Wan Mohd Alias, 5, memberi makan kepada lembu di kandang ternakan milik Mohd Saiful Hafez Alias  di Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Nerus, semalam. FOTO Ghazali Kori
WAN Mohamad Amar Rifqi Wan Mohd Alias, 5, memberi makan kepada lembu di kandang ternakan milik Mohd Saiful Hafez Alias di Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Nerus, semalam. FOTO Ghazali Kori
Mohd Shahrizal Nasir

BEBERAPA hari lagi umat Islam akan menyambut hari raya Aidiladha. Selain dikenali sebagai hari raya haji, Aidiladha juga dipanggil sebagai hari raya korban. Umum mengetahui hari raya Aidiladha ini mempunyai perkaitan dengan pengorbanan seorang hamba menyahut seruan Allah SWT. Setiap tahun kita diingatkan dengan peristiwa tersebut. Ia satu peristiwa yang mesti diambil pengajaran daripadanya.

Peristiwa besar yang dimaksudkan merujuk kepada kehidupan seorang hamba Allah SWT bernama Ibrahim dan anaknya Ismail. Kedua-dua insan hebat ini sanggup meletakkan perintah Allah SWT melebihi kepentingan dan keinginan peribadi. Mereka berdua melaksanakan perintah Allah SWT hanya untuk menzahirkan ketaatan dan keakuran kedua-duanya sebagai hamba yang taat kepada Tuhannya.

Pengorbanan mereka diiktiraf Allah SWT sehingga menjadikan kedua-duanya termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang sabar.  Firman Allah SWT bermaksud:  "Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan dan dia pula mengikut agama Ibrahim yang lurus (yang tetap atas dasar tauhid) dan (kerana itulah) Allah menjadikan Ibrahim kesayangan-Nya."  (Surah an-Nisa', ayat 125)

Ayat al-Quran tersebut jelas menunjukkan pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim dalam hidup menjadikan dirinya termasuk dalam kalangan hamba yang disayangi Allah SWT. Bukan kecil pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim kerana ia melibatkan kehidupan zuriat kesayangannya yang lama dinantikan.

Sesiapapun boleh mengatakan dirinya mampu untuk melakukan pengorbanan. Namun pengorbanan sebenar perlu dilakukan semata-mata mengharapkan ganjaran Allah SWT. Pengorbanan hakiki yang ditunjukkan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail perlu dijadikan contoh agar kita menginsafi bahawa pengorbanan yang ikhlas kerana Allah SWT sahajalah yang akan menjadikan diri sebagai antara hamba-Nya yang disayangi.

Mungkin ramai orang boleh berkorban jika mereka pasti akan mendapat keuntungan daripada pengorbanan tersebut. Keuntungan sebegitu pastinya untuk memenuhi keinginan dan nafsu dalam kehidupan. Dalam hal ini, semua orang sanggup berkorban. Persoalannya, adakah setiap daripada kita sanggup berkorban pada jalan Allah SWT?

Semangat pengorbanan untuk agama boleh disebatikan dalam diri jika memiliki iman yang benar-benar mengakui keesaan Allah SWT. Apabila beriktikad hanya Allah SWT yang selayaknya memberi habuan dan kemudaratan, hati pasti tidak akan sangsi untuk melakukan pengorbanan hanya kerana-Nya. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim bulat hati mengorbankan anaknya semata-mata menurut perintah Allah SWT. Ia menggambarkan betapa utuhnya iman baginda yang tidak goyah meskipun anaknya Nabi Ismail amat disayanginya.

Nabi Ibrahim diiktiraf Allah SWT sebagai hamba yang tidak sekali-kali menyekutukan-Nya dengan sesuatu makhluk lain kerana keakurannya melakukan pengorbanan yang besar. Firman Allah SWT bermaksud:  "Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah dan berdiri teguh atas dasar tauhid. Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang yang mempersekutukan (Allah)."  (Surah an-Nahl, ayat 120)

Setiap insan juga perlu menyedari bahawa dirinya adalah hamba yang diciptakan Allah SWT untuk beribadah kepada-Nya. Sekiranya manusia sentiasa menyedari hakikat ini, maka tidak mungkin diri akan cuai dalam melaksanakan tugas sebagai hamba-Nya. Umat Islam sepatutnya sentiasa sanggup melakukan pengorbanan harta dan tenaga demi untuk menyahut seruan Tuhan yang mencipta sekalian makhluk di dunia ini.

Umat Islam yang susah untuk berkorban demi agama ialah golongan yang mungkin lupa hakikat dirinya amat bergantung kepada rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Apa sahaja yang dilakukan perlu dengan sedar ditujukan kepada Allah SWT bagi memperoleh rahmat daripada-Nya. Firman Allah SWT bermaksud:  "Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Daku."  (Surah al-Anbiya', ayat 92)

Muslim perlu sentiasa menyedari dirinya amat mengharapkan keredaan Allah SWT untuk kehidupan abadi di akhirat. Justeru, kehidupan di dunia ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk melakukan kebaikan agar dapat meraih rahmat Allah SWT. Dengan rahmat itulah manusia boleh berada di dalam syurga-Nya kelak. Bagi insan yang memahami hakikat adanya kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti, maka apa juga bentuk pengorbanan demi agama akan mampu dilakukan tanpa sebarang keraguan.

Mungkin ada orang yang terpaksa mengorbankan harta, masa dan tenaganya untuk Islam namun tidak mendapat sebarang habuan di dunia ini. Percayalah apabila kita yakin dengan adanya nikmat balasan baik yang adil daripada Allah SWT nanti, tidak timbul rasa kecewa dalam diri kerana melakukan pengorbanan untuk Islam.

Firman Allah SWT bermaksud:  "Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan akhirat)."  (Surah al-Ankabut, ayat 64)

Sesungguhnya Islam tidak bergantung kepada pengorbanan umatnya, tetapi yang tepat adalah umat amat bergantung kepada Islam untuk mendapatkan kebahagiaan di akhirat nanti. Berusahalah melakukan pengorbanan memastikan Islam terus pada kedudukan tinggi. Jika setiap umat Islam sanggup berkorban demi agamanya, tidak akan ada pihak yang berani merendahkan Islam meskipun mereka berusaha melakukannya.

Dalam konteks sekarang pula, kita dapat saksikan pengorbanan oleh wira negara yang dilakukan meskipun menggadaikan nyawa mereka. Sehingga kini, petugas barisan hadapan (frontliners) masih bertungkus-lumus mengekang penularan wabak Covid-19. Mereka menggadaikan nyawa demi memastikan orang ramai terselamat daripada wabak yang belum dapat dibasmi sepenuhnya. Petugas barisan hadapan bukan saja mendedahkan diri mereka dengan bahaya dijangkiti Covid-19, malah ahli keluarga mereka juga berdepan dengan kemungkinan dijangkiti wabak ini jika mereka tidak berhati-hati dalam melaksanakan tugas mereka.

Semangat pengorbanan yang ditunjukkan petugas barisan hadapan perlu dihargai oleh setiap anggota masyarakat. Jagalah diri masing-masing sebaiknya dengan mematuhi setiap ketetapan yang dibuat pihak berwajib seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pastikan setiap tindakan kita tidak memberi mudarat kepada diri sendiri dan orang lain. Ketidakpatuhan terhadap SOP yang ditetapkan boleh menyebabkan diri dijangkiti Covid-19. Manakala sikap mempengaruhi orang lain agar tidak mematuhi SOP akan menyebabkan semakin ramai yang boleh dijangkiti wabak tersebut. Rasulullah SAW berpesan dalam hadis yang bermaksud:  "Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain."  (Hadis riwayat Ibn Majah)

Penulis Pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 8:49 AM