HAYATILAH satu daripada prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan agar perpaduan masyarakat sentiasa terpelihara.
HAYATILAH satu daripada prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan agar perpaduan masyarakat sentiasa terpelihara.
Oleh Datuk Mohd Ajib Ismail

Ajaran Islam menetapkan asas penting yang menjadi teras kerukunan hidup bermasyarakat melalui Surah al-Hujurat yang terkandung di dalam al-Quran. Secara umumnya surah itu diturunkan antara lain bagi menekankan kepentingan untuk menjalani kehidupan dengan sifat saling berkasih sayang melalui adab dan tatasusila sebenar seorang Muslim. Sifat umat yang berpegang teguh kepada ajaran Nabi Muhammad SAW dalam memelihara hubungan sesama manusia disimpulkan berdasarkan firman Allah SWT dalam surah itu pada ayat 11 hingga 12 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, janganlah pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain serta janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran buruk. (Larangan itu menyebabkan orang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim. Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan serta keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."

Justeru perbuatan mencemuh dan merendah-rendahkan orang lain kerana sebab keturunan, darjat, rupa paras, kedudukan sosial, tahap pendidikan mahupun pekerjaan hendaklah dijauhkan. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Jika ada seseorang menghinamu dan mempermalukanmu dengan sesuatu yang ia ketahui ada padamu, janganlah engkau membalasnya dengan sesuatu yang engkau ketahui ada padanya. Akibat buruk biarlah dia yang menanggungnya." (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Islam menegah daripada menyatakan keaiban dan memberikan gelaran yang buruk kepada orang lain. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa ayat 148 yang bermaksud: "Allah tidak suka kepada perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang) kecuali oleh orang yang dizalimi dan (ingatlah) Allah sentiasa mendengar lagi Maha Mengetahui."

Islam melarang umatnya bersangka buruk sesama Muslim kerana sangkaan yang jahat akan mengundang malapetaka dan porak-peranda dalam masyarakat. Setiap perasaan syak wasangka hendaklah dibuktikan bukan sekadar mendengar khabar angin, membuat tuduhan melulu, mempercayai semberono tuduhan orang lain dan memfitnah semata-mata. Firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 58 bermaksud: "Dan orang yang mengganggu serta menyakiti lelaki beriman dan perempuan beriman dengan perkataan atau perbuatan tidak tepat dengan sesuatu kesalahan dilakukannya, sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta serta berbuat dosa yang amat nyata." Perbuatan buruk sangka akan mengakibatkan ummah berpecah-belah sekali gus merugikan masyarakat dan negara sebagaimana kata pepatah, 'Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.' Perasaan buruk sangka didorong kepentingan peribadi dan sifat hasad dengki hanya mencetuskan kebencian serta dendam walaupun sangkaan itu belum terbukti benar. Sesungguhnya syaitan tidak pernah berdiam daripada menghasut manusia bermusuhan dan berbalah.

Umat Islam sepatutnya membudayakan semangat untuk saling mempelajari dan memberikan penghargaan kepada orang lain serta tidak mudah mempercayai berita diterima tanpa usul periksa. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa serta bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)."

Islam melarang perbuatan mencerca dan menggunakan perkataan yang kasar kerana didorong sentimen dan emosi yang tidak terkawal. Allah SWT melarang umat Islam menyakiti hati orang lain yang akhirnya menimbulkan permusuhan dan pertengkaran berpanjangan. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Tidak ada sesuatu apa pun yang paling berat di dalam timbangan seorang Mukmin pada hari kiamat nanti daripada akhlak yang mulia. Sesungguhnya Allah sungguh membenci orang yang berkata kotor lagi jahat." (Riwayat At Tirmidzi)

Seseorang Muslim yang baik sentiasa sopan dalam berbicara termasuk dengan bukan Islam. Dalam hal ini Allah SWT mengingatkan agar menjauhi sifat ekstrem dan melampau seperti firman-Nya dalam Surah al-An'am ayat 108 bermaksud: "Dan janganlah kamu cerca benda yang mereka sembah selain Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan."

Hayatilah satu daripada prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan agar perpaduan masyarakat sentiasa terpelihara. Setiap warga di pelbagai peringkat sama ada pemimpin mahupun rakyat wajib mendokong prinsip itu bagi menggapai matlamat keamanan dan keharmonian. Perbuatan membiarkan mana-mana pihak untuk saling mencela dan menghina adalah sesuatu yang berbahaya kerana akhirnya akan menyemarakkan api kebencian serta permusuhan sehingga mencetuskan ketegangan yang mengganggu gugat kestabilan dan kemakmuran negara.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 6:00 AM