Kecenderungan mereka bertentangan dengan kehidupan semula jadi bersifat fitrah berpasangan.
Kecenderungan mereka bertentangan dengan kehidupan semula jadi bersifat fitrah berpasangan.
Dr Lokman Ab Rahman

UFO (unidentified flying object) merupakan makhluk asing pernah dianggap ancaman kepada manusia di planet bumi.  Spesies UFO dikatakan kerap datang ke bumi bagi melihat perkembangan aktiviti manusia yang digambarkan seolah-olah mereka bakal mengambil alih dan menguasai bumi. Kesan-kesan makhluk ini seringkali menggemparkan masyarakat terutamanya dalam kalangan saintis dan pengkaji angkasa lepas.   Kadatangan UFO bukan sekadar menjadi isu makhluk asing tetapi ia melibatkan masalah keselamatan negara sehingga beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan Mexico membuka pusat kajian dan kawalan keselamatan negara masing-masing. 

Hal ini menjadi perdebatan semenjak 1947 setelah menemui kesan piring terbang. Misteri UFO dijawab oleh Amerika Syarikat bahawa ia merupakan kesan latihan tentera. Sama ada kita setuju atau tidak, kini ia tidak lagi menjadi bahan perdebatan dan dianggap bukan ancaman.

Fokus penulisan ini bukan makhluk UFO, tetapi golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) sebagai  golongan jantina ketiga yang dilihat seperti makhluk asing. Usaha normalisasi kewujudan LGBT mendapat sokongan kuat dalam kalangan pelobi di peringkat dalam dan luar negara. Kecenderungan mereka bertentangan dengan kehidupan semula jadi bersifat fitrah berpasangan. 

Kejadian manusia terdiri daripada lelaki dan wanita. Haiwan pula dipanggil jantan dan betina. Begitu juga sifat tumbuhan. Malahan sistem kehidupan alam ini diatur dalam susunan tertib berpasangan atau berlawanan seperti siang-malam, hidup-mati, benar-salah dan seumpamanya.   

Al-Quran secara jelas menyebut kejadian alam bersifat berpasangan bagi setiap ciptaan Allah supaya manusia mengingati kekuasaan-Nya (Az-Zariyat: 49). Imam al-Tabari menerangkan perkataan 'berpasangan' (zaujaini) dengan pengertian dua jenis berbeza seperti kesusahan lawan kebahagian, petunjuk lawan kesesatan. Ibn Kathir memperincikan lagi tafsirannya bahawa ayat tersebut menegaskan semua makhluk bersifat berpasangan sama ada melibatkan kejadian manusia, haiwan, tumbuhan sehinggalah kejadian langit, bumi serta laut dan daratan.  

Ini bermakna pergerakan alam dan sistem arkeologi berdasarkan sifat perbezaan sistem alami.  Dengan penegasan al-Quran tersebut Allah mencipta makhluk manusia dengan jantina lelaki dan wanita (al-Hujurat ayat 13). Penegasan ciptaan ini diulang pada surah al-Lail ayat 3. Tiada spesies manusia ketiga disebut dan diperakui, hanya lelaki dan wanita sahaja!

Malah al-Quran merakamkan amalan sodomi seumpama LGBT ini digambarkan mengundang bala bencana besar di zaman Nabi Lut AS sehingga menenggelamkan  Kota Sodom yang dipercayai  berada di lokasi antara Jordan-Israel hari ini! Kota tersebut diterbalikkan menyebabkan permukaan buminya paling rendah dari aras laut dan kewujudan laut mati menjadi saksi akibat perlakuan berkenaan! Namun, bencana di negara kita hanya sekadar ditenggelami banjir lumpur di beberapa bandar dan kota sudah memberi pelbagai kesulitan walaupun ramai mangsa terselamat.  

Dalam teori sejarah perkembangan evolusi manusia, yang menjadi pertikaian panjang dalam kalangan saintis dan agamawan ialah asal usul kejadian manusia. Dakwaan teori Charles Darwin berkenaan perkembangan beruk berubah bertahap kepada manusia. Tidak timbul isu jantina manusia.  

Teori Darwin lebih kepada andaian sesat dan tersasar kononnya manusia dikatakan hasil evolusi daripada spesies beruk yang bercanggah dengan akidah Islam bahawa manusia pertama ialah Adam. Pasangan Adam pula ialah Hawa.  Sungguhpun idea Darwin tersebut tersasar jauh tetapi tidak timbul isu menafikan atau membenarkan konsep kejadian fitrah manusia berpasangan seperti tuntutan golongan LGBT! Gerakan LGBT adalah gerakan songsang kemanusiaan dan menentang fitrah kosmologi!

Data populasi yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan pada 2017 golongan gay (MSM) seramai 220,000 dan 15,000 orang bagi mak nyah. Data ini diperincikan oleh KKM dalam laporan  Country Progress Report On HIV/AIDS 2019. Jumlah populasi ini dikatakan meningkat berganda dalam beberapa tahun kemudian. Jumlah tersebut sebagai penunjuk bahawa mereka merupakan kelompok mampu menggugat masyarakat di mana generasi muda akan menjadi mangsa perlakuan negatif. Mereka terkeliru dengan identiti sendiri dan tidak menerima fitrah kejadian yang sudah pasti menafikan nilai keutuhan agama, bangsa dan negara. Kedegilan amalan LGBT terutamanya MSM menyumbang  kepada risiko jangkitan HIV/AIDS. Dalam Islam sudah pasti telah merosakkan institusi perkahwinan, nasab, keturunan, pembahagian faraid dan sekaligus menggugat kelangsungan generasi manusia.  

Bagi mempertahankan pelobi LGBT, mereka menggunakan teori  Born That Way Theory  kononnya  genetik warisan menentukan perlakuan mereka. Sebenarnya perlakuan LGBT bukan suatu bentuk warisan genetik seperti menentukan ketinggian dan iras wajah seseorang. Saintis sendiri tidak menyokong  dakwaan tersebut. Secara ringkas ada beberapa teori yang dilontarkan sebab-sebab berlakunya gejala LGBT. Pertamanya disebabkan oleh pengaruh hormon mendorong individu menjadi homoseksual atau transgender. Keduanya disebabkan kandungan sperma dan hormon yang rendah, namun kajian kemudian tidak menyokong pendapat ini. Ketiganya ialah otak lelaki gay dua kali ganda lebih kecil berbanding lelaki biasa.  

Maka golongan LGBT perlu diterima kewujudan mereka secara biologi disebabkan masalah genetik. Kajian ini pula dilihat bermasaalah dengan kaedah kajiannnya yang tidak boleh diulang semula dengan keputusan yang sama. Ini menunjukkan kajian sains dan penemuan tidak mampu menyokong sepenuhnya keberadaan golongan homoseksual.  Malah menurut Brad Harrub, B Thomson dan lainnya telah mendedahkan dalam kajian saintifik mereka,  This Is The Way God Made Me-A Scientific Examination of Homosexuality and the Gene. Mereka menyatakan bahawa neuro saintis mengakui otak bersifat anjal tiada kaitan dengan gaya hidup homoseksual.      

Nampaknya golongan LGBT tiada alasan saintifik untuk menyebelahi mereka. Gerakan berani golongan LGBT ialah menggunakan perundangan atas alasan kebebasan hak asasi manusia untuk membenarkan kewujudan mereka. Undang-undang negara sememangnya melindungi setiap warga negara berdasarkan  Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak sama rata dan Perkara 8 (2) mengenai boleh wujud diskriminasi terhadap warga negara. Tetapi atas alasan agama dan jantina tidak boleh dijadikan helah undang-undang terhadap kegiatan mereka kerana kebebasan yang dibenarkan bukanlah mutlak.

Di Malaysia, perlakuan LGBT dikawal melalui peruntukan undang-undang sivil dan jenayah syariah negeri. Contohnya seksyen 57 Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992 melibatkan perlakuan tidak sopan. Kesungguhan mereka terserlah apabila perkara ini dibawa ke peringkat antarabangsa melalui COMANGO sebagai suatu pembelaan untuk mendapat sokongan masyarakat global.

Justeru, sedarlah perubahan diri kepada fitrah insan perlu kekuatan dan kesedaran diri sendiri. Komitmen Jakim sebagai agensi Persekutuan mengatur pelbagai strategi untuk mendampingi komuniti ini agar mereka tidak tersisih dalam agenda utama negara. Buku khas keluaran Jakim bertajuk Menelusuri Fitrah Insani tulisan Dr Md Izwan Md Yusof, telah memperincikan pelbagai aspek dan cara mengatasi kekusutan golongan LGBT. Pihak kerajaan dan NGO berhempas pulas membantu dan membimbing mereka yang terlibat. Dalam usaha murni yang dilakukan, Jakim sendiri terpalit dengan tuduhan berat dikatakan menggunakan kekerasan dan paksaan melalui program dan aktiviti kesedaran. Sedangkan semua itu ciptaan golongan pelobi LGBT yang seronok melihat kerosakan masyarakat atas nama hak asasi manusia. Malah pihak berkuasa agama negeri dipotretkan begitu bengis ketika menggunakan kuasa perundangan dalam menangani isu ini terhadap individu tertentu sehingga ke luar negara! Tetapi kenapa ribuan yang lain masih berada di Malaysia dan masih setia bersama aktiviti berjadual seperti program mukhayyam, usrah dan ukhuwah kekeluargaan? Malahan mereka komited dengan program tersebut untuk kembali mencari indentiti diri yang selama ini telah hilang dari dalam diri sendiri.  Wallahu'alam    

Penulis Pengarah Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 5:59 AM