FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Prof Madya Dr Nahrizul Adib Kadri

Tarikh 2 Julai diangkat menjadi Hari UFO Sedunia, bersempena tarikh 'insiden' di Roswell, Amerika Syarikat (AS) pada 1947. Kependekan akronim bahasa Inggeris ini tidak perlu penerangan lanjut, hatta dalam bahasa Arab sekali pun.

Walaupun kenyataan rasmi tentera udara AS menyebut serpihan yang dijumpai di Roswell itu hanyalah sisa belon kaji cuaca yang terhempas ke bumi, desas-desus di sebalik kejadian itu melancarkan kegilaan terhadap UFO (dan kejadian aneh lain) di seluruh dunia.

Dikatakan 12,000 penampakan UFO direkodkan di dalam Projek Buku Biru oleh tentera udara AS sehingga 1969. Keghairahan manusia untuk mengetahui sesuatu yang belum diketahuinya (terutamanya yang kelihatan ajaib di mata kasar), sentiasa memberi kekuatan yang luar biasa untuk kita berusaha mengorek erti sebenar di sebalik setiap kejadian.

Ia berikutan menjadi fitrah manusia sejak azali ingin mengetahui dan memahami apa yang terjadi di sekelilingnya. Bukan manusia biasa sahaja, malah golongan nabi-nabi juga tidak ketinggalan mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, apabila dipersembahkan dengan sesuatu fakta yang kelihatan aneh dan ajaib.

Kisah Nabi Musa AS bermusafir singkat bersama Nabi Khidir yang dikatakan lebih berilmu daripadanya, sebagaimana direkodkan di dalam surah Al-Kahfi, dengan jelas menunjukkan fitrah ingin tahu manusia itu terlalu meronta untuk dilegakan, sehingga sanggup menerima apa juga terma dan syarat yang diberi.

Di dalam kisah Nabi Musa AS ini, baginda sanggup menerima hukuman yang perjalanan singkatnya bersama Nabi Khidir itu terhenti setakat tiga kejadian aneh yang dilaluinya, dek kerana tidak sabar dan terlalu ingin tahu apakah sebabnya individu mulia ini melakukan perkara yang kelihatan pelik di pandangan mata kasar.

Bermula dengan membocorkan perahu, membunuh si anak kecil, dan membantu penduduk yang tidak mempedulikan mereka, semuanya kelihatan aneh dan tidak masuk akal, jika tidak disertakan dengan penjelasan oleh Nabi Khidir pada ayat 79 hingga 82.

Biarpun lumrah dan menjadi fitrah, sifat ingin tahu manusia ini bukan sewenangnya diletak atau diguna tanpa mengira tempat dan waktu.

Pada tahun kedua puluh, pada kurun ke-21, dunia digemparkan dengan kehadiran situasi yang aneh. Manakan tidak, virus yang halus, yang tugasnya hanya membuat pendua dirinya sendiri di dalam sel yang diterjah masuk, berupaya membolak-balikkan seluruh kehidupan manusia.

Bukan sahaja melumpuhkan sistem kesihatan, malah juga merencat sistem ekonomi, sosial, dan pentadbiran, daripada sekecil-kecil hingga sebesar-besar negara. Hebatnya ketumbukan musuh halus ini sehingga diisytihar pandemik di seluruh dunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Mac 2020, biarpun hanya beberapa bulan secara rasmi dikenal pasti kemunculannya di Wuhan, China.

Bukanlah kita tidak pernah berdepan dengan jenis virus yang tersebar di udara sebelum ini, namun seperti ada 'sesuatu' di sebalik kemunculan Covid-19 ini.

Keanehan virus ini antara lainnya adalah kemunculannya yang masih misteri sehingga kini. Walaupun laporan awal WHO mencadangkan beberapa aspek yang perlu dikaji lebih lanjut, terutamanya pasar basah yang menjual pelbagai jenis daging di Wuhan, namun orang ramai lebih menggemari teori konspirasi yang membabitkan makmal biologi yang terletak berhampiran.

Teori ini 'dienakkan' lagi dengan gembar-gembur kerajaan China yang dikatakan taasub ingin menakluk dunia. Teori kebocoran virus yang disengajakan ini tambah 'menyelerakan' dengan gandingan sifat virus ini yang sangat-sangat berbahaya - mampu tersebar dari manusia ke manusia melalui udara, tempoh inkubasi yang panjang (10 hingga 14 hari) sebelum pesakit menunjukkan simptom, penghasilan ribut sitokin (cytokine storm) oleh sistem imun tubuh pesakit yang mempunyai komorbiditi dan boleh menyebabkan penurunan oksigen dalam darah secara mendadak tanpa disedari (happy hypoxia).

Maka tidak hairanlah, jika sifat ingin tahu manusia itu sentiasa meluap-luap untuk apa sahaja jenis maklumat yang diterima. Lebih tidak masuk akal sesuatu yang diterima, lebih bertambahlah keberahiannya untuk menyelak, mencarik dan memangkasnya sehingga timbul 'kebenaran' yang kononnya dicari.

Lebih 'besar' isu yang ada, lebih 'nikmat' untuk dibincang dan dikongsi. Fitnah dan fakta semakin sukar dibezakan, apabila minda diasak sepanjang masa dengan persepsi sesetengah pihak sahaja. Sekadar contoh, masih ada keraguan sehingga kini mengenai bentuk bumi yang sfera, walaupun buktinya wujud sejak tamadun Yunani lebih 2,000 tahun dahulu.

Kerana sifat ini jugalah kita seolah-olah ketagih ingin mengetahui perkara sebenar (yang lebih benar daripada yang ditonjolkan oleh pihak berwajib) di sebalik bencana wabak Covid-19 yang belum menampakkan surutnya ini.

Teori konspirasi dan maklumat rahsia yang membabitkan kononnya 'bukti' daripada tangkap layar audio dan video seolah-olah hidangan jajanan yang dicari setiap hari.

Jika benar ingin membantu, carilah kenikmatan sebenar dalam sesuatu perkara yang tidak diketahui itu dengan menjadikan diri sebahagian daripada penyelesaian yang dicari dan bukannya sebahagian daripada masalah itu sendiri. Mempersenda, memperlekeh dan menuding jari dalam apa juga aspek di dalam tempoh pandemik ini hanya menambah keruh kepada apa yang sedia ada, tanpa menyelesaikan apa-apa.

Contohi Rasulullah SAW yang mendahului Stephen R Covey lebih 14 abad dengan tabiat yang dinamai: Seek First To Understand, Then To Be Understood. Berusaha untuk memahami, bukan dengan menyebarluas ketidakfahaman (termasuklah yang misteri dan menakutkan) kita mengenai sesuatu perkara.

Penulis ialah pensyarah dan penyelidik di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 6:15 AM